Berbelanja Untuk Kecantikan

Wajah tampak suram dan letih, manakala kulit pula kasar serta mula menampakkan tanda-tanda penuaan. Saya pasti, semua itu tidak disukai mana-mana wanita, baik yang muda mahupun sudah berusia.

Percayalah, berasa resah atau runsing saja tidak akan memberikan sebarang kesan, malah boleh menyebabkan keadaan bertambah lebih rumit jika anda tidak mengambil sebarang langkah untuk mencegah, menjaga atau merawat masalah itu.

Alasan yang kerap diberi, produk yang ada di pasaran terlalu mahal dan berasa sayang sekali untuk mengeluarkan wang bagi membeli produk berkenaan. Namun, anda sebenarnya ada pilihan kerana terdapat juga produk penjagaan kulit wajah yang harganya berpatutan dan mampu dibeli.

Jadi, jika anda inginkan kulit yang cantik, bersih dan mulus atau cemburukan wanita lain yang memiliki kulit wajah sempurna, sebaik-baiknya janganlah terlalu berkira.

Penuhi impian diri dan kepuasan yang anda cari. Berbelanja sedikit untuk kecantikan tentu tidak salah kerana ia juga memberikan kebahagiaan dan keseronokan pada diri anda juga.

Kulit selembut baldu

SOTHYS memperkenalkan rawatan wajah terkini edisi terhad, Rhubarb-Berry Velvety bagi memberikan kulit wajah sentiasa lembap dan selembut baldu. Melalui rawatan wajah itu, rumusan aktif yang diperbuat daripada rhubarb (sejenis tumbuhan yang tebal dan berair batangnya) dan rasberi akan digunakan untuk memberi keberkesanan pada kulit.

Rhubarb mengandungi antioksidan yang membantu penuaan positif pada sel kulit dan meningkatkan keanjalan kulit. Ia juga kaya dengan vitamin C dan potasium serta mempunyai keupayaan mencerahkan kulit. Rasberi pula kaya dengan vitamin E, C dan P serta kalsium dan zat besi bagi meningkatkan pembawa penentang terhadap pelindung kulit daripada radikal bebas.

Produk yang digunakan ketika rawatan termasuklah Rhubarb an Raspberry Modelling Cream, Rasberry Smoothie Emulsion dan pupur Raberry Peel Off Mask.
Harga: RM188 untuk satu sesi (harga normal RM260)

Kulit wajah sekata

BAGI membantu mendapatkan ton kulit wajah yang sekata, Vichy Laboratories memperkenalkan B-White Reveal Double Corrective Whitening Day SPF20 bersama dua kesan pemutihan - pemutihan sel secara mendalam dan tekstur pemutihan segera. Sapuan krim akan membantu membetulkan ton kulit yang nampak suram dan kesan lain yang tidak diingini.

Teksturnya didatangkan dalam bentuk ultra ringan, mudah meresap dan tidak likat serta membuatkan kulit sentiasa lembap dan berasa selesa. Bagi melengkapkan rawatan, dapatkan juga rangkaian produk lain seperti Double Corrective Whitening Deep Cleansing Foam, Double Corrective Whitening Lotion, Anti-Dark Circles Whitening Corrective Eye Cream, Double Corrective Whitening Essence, Double Corrective Whitening Emulsion dan Double Corrective Whitening Night Cream.

Harga: RM99 (B-White Reveal Double Corrective Whitening Day SPF20) & Produk lain RM95 hingga RM160

Organik pilihan alternatif

MENYEDARI setiap wanita inginkan kesegaran, The Body Shop melancarkan himpunan produk penjagaan kulit organik, Nutriganics yang dirumus khusus bagi mengenalpasti tanda penuaan awal yang lazimnya mula kelihatan apabila usia seseorang itu mencecah 30-an. Himpunan produk baru membolehkan anda menikmati amalan penjagaan kulit harian yang lengkap - pencuci, penyegar, pelembap dan pupur.

Produk ini memberikan kesan kemewahan pada kulit dengan teksturnya yang halus dan meresap cair dalam kulit, manakala minyak pati serta haruman semula jadi menyegarkan diri anda. Apabila disentuh kulit juga memberikan kesan lembut, malah tampak halus serta lebih bertenaga.

Semua bahan rumusan dalam produk itu menggunakan sumber semula jadi seperti minyak babassu dari Brazil, lidah buaya, lobak, tebu, serai dan sebagainya.

Harga: RM69 hingga RM99


Kurangkan tekanan

HIMPUNAN Origins Brighter by Nature daripada Origins direka khusus untuk pengguna Asia bagi mengurangkan tekanan menggunakan kaedah berkuasa semula jadi dan diluluskan oleh sains.

Produk itu berfungsi sebagai antioksidan, antikeradangan, agen pencerahan, memulihkan kulit dan sebagainya. Rumusan aktif tumbuhan berkuasa yang terdapat dalam produk berkenaan mensasarkan enam langkah mengurangkan tekanan bagi mencapai kulit cerah, telus dan segar.

Antaranya, memperbaiki semula penghalang pelindung kulit semula jadi dengan bantuan bahan kandungan biji bunga matahari, manakala dengan menggunakan manfaat timun dan barli, ia membantu mencerahkan kulit merangkumi pada lapisan permukaan yang memperlihatkan sel kusam dan hitam sudah terlalu lama pada kulit wajah.

Harga: RM110 hingga RM190

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Rumah Acara

Rumah Acara turut menyediakan perkhidmatan rakaman video bagi merakamkan saat-saat bersejarah termasuk ketika majlis perkahwinan.

Pernah menonton filem The Wedding Planner lakonan Jeniffer Lopez? Kalau pernah, tentu sekali sekarang ini anda dapat membayangkan betapa sukarnya menguruskan sesebuah majlis termasuk majlis perkahwinan.

Biar kecil atau besar mana pun majlis tersebut, tidak kira rasmi atau santai, ia tetap memerlukan persediaan rapi agar tidak timbul cacat-cela.

Bermula daripada menyelia, merancang dan mengurus perjalanan majlis, pendek kata tugas tidak akan berhenti sehinggalah segalanya selesai.

Kesuntukan masa untuk melakukan persiapan sesebuah majlis sering menyebabkan khidmat pengurusan acara diperlukan.

Apatah lagi kini sudah ada pihak yang bersedia melakukan segala tugas-tugas tersebut dari A hingga Z, malah 'tuan majlis' tidak perlu risau hal-hal yang mungkin dianggap remeh-temah.

Justeru tugas berat menguruskan sesebuah majlis diserahkan sepenuhnya kepada pengendali atau pengurus acara.

Bagi Pengurus Rumah Acara Sdn. Bhd., Hirzee Mohamad, tanggungjawab besar mengurus dan mengendali sesebuah majlis tidak pernah menggerunkannya.

Bahkan ia dianggap sebagai satu cabaran yang menguji kemampuannya menghasilkan kerja yang terbaik.

''Tugas sebagai perunding dan pengurus majlis memerlukan komitmen tinggi.

"Ini kerana kita memegang amanah orang yang sudah tentu mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk majlis mereka," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai Rumah Acara, Hirzee, 24, berkata, ia adalah sebuah syarikat pengurusan acara dan produksi yang bertindak sebagai pencetus, perunding, pengendali dan pengurus bagi pelbagai acara atau majlis.

Ini termasuk majlis pelancaran rasmi dan kasual, pameran, seminar dan bengkel, serta acara tahunan membabitkan pelbagai sektor.

"Penubuhan Rumah Acara sejak tiga tahun lalu adalah berdasarkan sokongan rakan-rakan yang memberi kepercayaan ke atas idea-idea kami," katanya.

Sebagai salah satu tenaga penggerak di Rumah Acara, Hirzee bertanggungjawab memastikan sesebuah majlis yang dikendalikannya berjalan seperti yang dirancang.

"Dalam hal ini kesungguhan dan kebijaksanaan berkomunikasi sangat penting. Maklumlah kerja-kerja ini melibatkan kita berurusan dengan individu yang sudah tentunya mempunyai cita rasa yang berbeza-beza.

"Oleh itu kerjasama dan persefahaman kedua-dua pihak iaitu 'tuan majlis' dan pihak pengurus majlis mesti diambil kira bagi memastikan ia berjalan lancar," ujarnya bersungguh.

Selain itu pengurus majlis yang baik juga harus sentiasa peka termasuk pada perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh.

''Contohnya dalam mengendalikan majlis persandingan. Selain memerlukan persediaan awal supaya tidak menjadi kelam kabut pada saat-saat akhir perkara-perkara yang dianggap kecil seperti penyediaan cenderamata, fotografi, rakaman video dan sebagainya juga perlu diberi perhatian.

"Semua itu boleh menjejaskan kemeriahan perkahwinan jika diabaikan dan membuatkan tuan rumah tidak berpuas hati dengan khidmat yang diberi,'' ujarnya.

Pemegang diploma dalam bidang penyiaran ini, mengakui persaingan dalam bidang pengurusan acara ketika ini amat sengit.

Namun Hirzee percaya, kesabaran dan komitmen yang dipupuk menjadi kelebihan kepada Rumah Acara untuk membuktikan ia adalah sebuah syarikat yang cukup berwibawa apatah lagi apabila ia diterajui oleh anak-anak muda yang beriltizam tinggi dan kreatif.

Ditanya apakah impiannya, Hirzee mengakui ingin menjadikan Rumah Acara sebagai pusat sehenti kepada segala keperluan dan perkhidmatan bagi penganjuran sesuatu majlis daripada sekecil-kecil hinggalah ke sebesar-besar acara.

''Saya ingin menyediakan semua peralatan dan perkhidmatan penganjuran majlis di bawah satu bumbung tanpa melibatkan vendor dan orang luar.

''Dengan kemudahan yang ada akan memberi keselesaan kepada pengguna untuk menjadikan perkhidmatan kami sebagai pilihan mereka,"

Bagi yang ingin mendapat khidmat Rumah Acara, boleh terus menghubungi 012 3676346, 017-3660667 atau email ke rumahacara@gmail.com.

Oleh ZUHAYATI YAZID

Lotus Racing | Minuman pemberi tenaga LR8

Kembalikan tenaga dan hilangkan dahaga dengan LR8 perasa tropika campuran sitrus dan nanas. Minuman pemberi tenaga daripada Lotus Racing mempunyai lebih rasa buah dan sarat dengan vitamin yang diperlukan.

Mengandungi lapan bahan teras yang dirumuskan khas untuk meningkatkan tenaga supaya kekal cergas sepanjang masa, minuman terbaru itu mampu memberi kesan maksimum kepada penggemar minuman berkenaan.

LR8 dihasilkan untuk memberi tenaga semula jadi dengan rasa menakjubkan dan bagi memenuhi kehendak permintaan masyarakat Malaysia beragama Islam kerana produk minuman pemberi tenaga berkenaan dijamin halal.

Ketua Eksekutif (CEO) LR8 Limited, David Hepworth, berkata minuman pemberi tenaga LR8 berlainan dengan minuman lain seperti kopi atau teh hijau.

“Selaras dengan perkembangan semasa, maka terhasil beberapa jenama minuman bertenaga di pasaran negara ini. Berikutan itu, Lotus Racing, mengorak langkah menerokai pasaran pengeluaran minuman jenis ini selepas melihat kepada potensi pasaran minuman jenis itu yang kian berkembang bukan saja di pasaran tempatan, tetapi antarabangsa.

“Anda akan menikmati kebaikan semula jadi kombinasi unik perasa tropika campuran sitrus dan nanas yang akan memberi satu rasa hebat bagi penggemar minuman pemberi tenaga,” katanya pada majlis pelancaran minuman pemberi tenaga, Lotus Racing, di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir memeriahkan pelancaran Natural Energy LR8, pemandu Lotus Formula satu (F1), Heikki Kovalainen yang sempat menunjukkan bakat bermain drum. Beliau berkata, LR8 adalah minuman rasmi Lotus Racing pasukan Formula Satu yang diberi kemasukan untuk Formula Satu musim 2010.

“Produk minuman ini adalah produk minuman pertama yang dihasilkan Lotus Racing. Rangkaian produk minuman ini dihasilkan secara semula jadi bertujuan memberi tenaga berkekalan tanpa memberi kesan hasil daripada kombinasi kandungan semula jadi buah-buahan.

“Walaupun pelbagai produk minuman pemberi tenaga di pasaran, minuman dinamik baru dihasilkan bagi memenuhi permintaan ramai. LR8 adalah minuman pemberi tenaga semula jadi dan vitamin yang memberi kamu segala tenaga yang diperlukan,” katanya.

Katanya, Lotus Racing menyasarkan golongan remaja atau dewasa berumur 17 hingga 29 tahun untuk produk berkenaan ekoran gaya hidup dan aktiviti lasak yang memungkinkan mereka menggunakan tenaga banyak seharian.

Produ itu juga didatangkan khas dengan perisa Cola dan Ginseng dengan paket buah-buahan 100 peratus tema semula jadi. Minuman ini akan dipasarkan di pasaran Asia bermula dengan Indonesia dan Filipina.