www.doorstep.com.my -Doorstep Retails -Barang dihantar ke depan pintu rumah

Budaya beli-belah barangan runcit warga kota hari ini semakin berubah.

Sambil duduk di rumah melayan anak-anak atau menonton TV, dengan satu klik di internet sahaja selepas beberapa jam barangan yang dibeli akan tiba di depan pintu rumah.

Itulah antara perubahan gaya hidup dan budaya beli-belah yang dibawakan Doorstep Retails Sdn. Bhd.

Syarikat itu telah membangunkan laman web www.doorstep.com.my dalam menawarkan dan menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan harian rumah sehingga ke pintu pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ragavan P. Nair berkata, laman web berkenaan dibangunkan untuk memberi platform alternatif kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan harian rumah mereka.

“Kebanyakan masyarakat hari ini mempunyai gaya hidup yang agak sibuk dan tidak mempunyai masa berkualiti untuk membeli barangan keperluan harian rumah mereka.

“Justeru itu, laman web ini akan dapat membantu memudahkan pengguna kerana mereka tidak perlu lagi keluar rumah mendapatkan produk sebaliknya hanya melayari alam maya dan produk akan dihantar ke rumah atau pun pejabat,” katanya kepada Kosmo!.

Pada mulanya, Ragavan menambah, laman web tersebut hanya menawarkan produk barangan korporat terutamanya dalam industri hotel, institusi kewangan, hospital, syarikat telekomunikasi dan televisyen.


Bagaimanapun, melihat sambutan yang diberikan segmen tersebut amat positif, ia telah dikembangkan kepada pasaran pengguna pada tahun lalu.

“Terdapat 5,000 produk pengguna manakala lebih 1,000 produk korporat pada harga kompetitif yang boleh dipilih pengguna apabila melayari laman web ini.

“Antara kategori produk yang ditawarkan kepada pengguna termasuk makanan sejuk beku, sayur-sayuran, buah-buahan, penjagaan diri, barangan runcit dan banyak lagi,” katanya.

Selain daripada itu, dia memberitahu, terdapat juga kategori produk import daripada negara Jepun, Korea, India, Eropah dan Timur Tengah.

Katanya, produk-produk yang terdapat dalam laman web tersebut akan sentiasa dikemaskini secara berperingkat-peringkat untuk memenuhi permintaan pengguna.

“Saya juga berharap pembangunan laman web ini dapat membantu pengusaha industri kecil sederhana (IKS) tempatan.

“Ini kerana melalui laman web produk yang dihasilkan mereka dapat diperluaskan dengan lebih mudah dan berkesan,” ujarnya.

Penghantaran setiap hari

Dalam pada itu, Ragavan menambah, pengguna hanya perlu membuat pembelian minimum sebanyak RM100 sahaja, manakala caj penghantaran pula dikenakan dari RM1 sehingga RM5.

Apa yang menarik tentang laman web itu katanya, pengguna boleh mendapatkan produk-produk tersebut setiap hari.

Buat masa ini, Ragavan memberitahu, penghantaran barangan hanya dilakukan di Lembah Klang.

Katanya, pengguna boleh menentukan slot masa penghantaran ataupun mengikut jadual dikeluarkan untuk memudahkan lagi pengguna dalam pembelian barangan secara dalam talian.

“Penghantaran akan dibuat dari pukul 10 pagi hingga 10 malam bagi produk barangan pengguna. Penghantaran barangan korporat pula dilakukan dari pukul 9 hingga 6 petang.

“Pengguna boleh membuat bayaran menggunakan beberapa kaedah termasuk pembayaran secara tunai, kad kredit, kad debit atau melalui perbankan internet,” ujarnya.

Laman web yang mesra pengguna itu hanya memerlukan mereka mendaftar secara percuma dan memilih produk serta masa penghantaran yang diingini.

Setiap kali tempahan dan penghantaran produk dilakukan, e-mel akan dihantar secara automatik untuk memudahkan semakan dilakukan mereka.

Sementara itu pengarahnya, Datin Shiamala Arumugam memberitahu, promosi turut diadakan setiap bulan untuk memberi faedah kepada pengguna.

“Melalui promosi ini pengguna akan dapat membeli produk pada harga istimewa sekali gus menguntungkan mereka dalam pembelian dalam talian.

“Kita akan sentiasa menukar produk promosi untuk memberi pilihan kepada pengguna dalam pembelian mereka,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu Shiamala berkata, terdapat beberapa kelebihan membuat pembelian dalam talian terutamanya produk barangan keperluan harian rumah.

“Ia membantu pengguna membuat perbelanjaan produk keperluan harian dengan lebih berhemah kerana terdapat harga dipaparkan dalam laman web berkenaan.

“Pengguna juga dapat membantu memulihara alam sekitar apabila penghantaran yang dilakukan tidak menggunakan beg plastik,” katanya.

Ujarnya lagi, penjimatan penggunaan bahan api turut dapat dilakukan oleh pengguna kerana mereka tidak perlu memandu untuk mendapatkan produk sekali gus membantu mengurangkan pencemaran.

Katanya, pengguna juga dapat mengatur masa mereka dengan lebih mudah kerana tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas dan sebagainya.

Menyentuh mengenai perancangan masa hadapan Ragavan menambah, dia bercadang mengembangkan lagi lokasi penghantaran ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

“Kita juga sedang dalam perancangan untuk membangunkan kategori baru pusat beli-belah alam maya yang menawarkan pelbagai produk kepada pengguna,” katanya.

Restoran Ayam Panggang Lima Bintang (Nara Seafood) di Taman Bukit Angkasa

Restoran Ayam Panggang Lima Bintang (Nara Seafood)

* Dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 2 pagi
* Beroperasi sejak 20 tahun yang lalu di lokasi sama
* Lebih dikenali sebagai Ayam Golek Nara bagi pelanggan tetap
* Terletak di Taman Bukit Angkasa, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur
* Hubungi 03-74501752 untuk tempahan

Dari jauh, sudah dapat dihidu bau ayam panggang yang sungguh menyelerakan. Makin menghampiri deretan kedai, mata terus tertumpu kepada pelanggan yang beratur panjang di hadapan Restoran Ayam Panggang Lima Bintang (Nara Seafood) di Taman Bukit Angkasa, Jalan Pantai Permai, dekat Pantai Dalam di Kuala Lumpur.


Inilah senario yang dilihat saban hari di restoran ini. Bagi pelanggan tetap, mereka tidak kisah beratur panjang asalkan dapat menikmati hidangan istimewa Ayam Panggang Lima Bintang yang cukup popular bagi warga KL.

Rahsianya, ayam panggang istimewa ini diperap selama tiga jam sebelum dibakar dan dihidangkan panas-panas kepada pelanggan. Keenakan terletak pada ramuan rempah ratus yang dilumur hingga sebati dengan daging ayam segar.

Menurut Pengurus Pemasaran Restoran Ayam Panggang Lima Bintang, Hafizuddin Razak, resipi yang digunakan dalam sajian ayam panggang adalah warisan turun temurun dan menjadi rahsia keluarga pemilik kedai, Malkasom Abdul Kadir atau mesra digelar Mek dan suami.

"Sejak dulu lagi, hanya Mek yang menyediakan bahan untuk memerap ayam. Ia menjadi rahsia istimewa keluarga dan kami hanya menggunakan rempah ratus dan bahan perap semula jadi tanpa ada langsung bahan pewarna dan perisa tambahan.

"Setiap langkah ada cara yang tersendiri, bermula dari menyediakan bahan mentah hingga kepada cara memerap ayam. Ketika memanggang, kami menggunakan arang dan tidak menggunakan pembakar elektronik," katanya kepada kolum Makan Luar.

Walaupun tampak leceh dan memerlukan masa panjang untuk disiapkan, bagi Mek, itulah yang menjadi keistimewaan Ayam Panggang Lima Bintang yang terus dijaga keaslian rasanya.

Setiap hari, restoran ini membakar sebanyak 250 ekor ayam dan ketika Ramadan, mereka membakar sehingga 800 ekor ayam. Sehingga kini, rekod tertinggi yang pernah dicapai restoran ini ialah membakar 1,600 ekor ayam sehari!

Selain dari hidangan ayam panggang, restoran ini turut menyediakan hidangan lain seperti masakan ala-Thai dan juadah tempatan. Kebanyakan pelanggan mereka adalah pengunjung tetap dan yang menetap di sekitar Lembah Klang.

"Pelancong juga ramai menjamu selera di restoran ini dan maklum balas yang kami terima sangat menggalakkan. Kami juga menerima tempahan ayam panggang dari seluruh negara," katanya.

Minyak Organik Trilogy : Atasi kesan regangan kehamilan

Minyak Organik Trilogy yang diuji secara klinikal membantu menyelesaikan masalah kulit wanita selepas bersalin. Kekayaan sumber vitamin C berserta kombinasi bahan aktif 100 peratus formula semula jadi terkandung memberikan kesan penyelesaian efektif tanpa kesulitan.


Kehadiran kandungan nutrien utama dalam formulanya mengekalkan kesihatan kulit dan membantu pembaharuan sel kulit, pertumbuhan semula dan membaiki kesan kerosakan akibat matahari dan tekanan gaya hidup yang mengakibatkan penuaan wajah.

Minyak Organik Trilogy juga mudah diserap kulit tanpa rasa berminyak kerana kandungan lipid padanya hampir sama dengan lipid pada kulit manusia. Setiap sapuan membantu memperbaiki rupa kulit yang teruk dan cacat seperti parut, kesan regangan, kedutan dan kulit kering.

Kesannya dapat dilihat dalam tempoh 12 minggu menerusi dua hingga kali sapuan setiap hari. Minyak itu boleh didapati di www.caremark.com.my atau rangkaian farmasi terkemuka serta kedai makanan kesihatan dan organik.

Harga: RM66 bagi 20 mililiter (ml); RM115 (45 ml).

Penggunaan pada kesan regangan

Langkah 1: Titiskan 2-3 titis minyak pada tapak tangan
Langkah 2: Dengan menggunakan jari, sapu minyak dengan lembut pada kesan regangan.
Langkah 3: Sapu dua kali sehari selama minimum 12 minggu untuk hasil yang terbaik.