Novel Playboy itu Suami Aku?

Playboy itu Suami Aku?

Novel Playboy itu Suami Aku? karangan Suri Ryana mengangkat kisah Afina yang mengahwini Adrian, meskipun sedar pemuda itu seorang `playboy' kerana mereka berdua mempunyai agenda sendiri dan perkahwinan itu sebenarnya bersyarat.

Afina ditakdirkan koma akibat kemalangan dan mengalami amnesia sesudah pulih hingga langsung tidak mengenali Adrian, selain dalam ingatannya yang kekal ialah lelaki berkenaan hidung belang yang mesti dijauhi wanita.

Kemuncak novel ini, hubungan Afina dan Adrian memutikkan bunga cinta dan pertengkaran sesama mereka adalah `ramuan' terbaik naskhah ini yang menyebabkan puluhan ribu unit novel ini berjaya dijual di pasaran.

Pembaca semakin ingin tahu ke mana arah hubungan pasangan suami isteri ini, apabila Afina mengambil keputusan untuk meninggalkan Andrian.


Meskipun kisah cinta dalam novel ini klise dan tiada yang luar biasa, tetapi Suri ternyata ada gaya tersendiri melalui bahasanya yang mudah dan bagus, walaupun tidak puitis, selain bijak mengolah plot cerita menjadikan novel ini mantap dalam kategorinya.

Suri Ryana, nama samaran Sharifah Nurilyana Syed Fesal yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang. Anak sulung daripada tiga beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Binaan (Fakulti Perumahan, Bangunan Perancangan). Playboy itu Suami Aku? adalah novel ketiganya selepas M.A.I.D dan Isteri Separuh Masa. Suri Ryana kini menetap di Dongdaemoongu, Seoul, Korea Selatan.


Ulasan Hafizah Iszahanid

Playboy itu Suami Aku?

* Penulis: Suri Ryana

* Terbitan: Kaki Novel

* Harga: RM24

* Bintang: ***

Novel Di Ruang Itu Ada Kamu - Zulina

Di Ruang Itu Ada Kamu

Karya Zulina ini berkisar adik-beradik yang berbeza perwatakan dan gaya hidup, iaitu Sharil dan Adam, terjerat dalam percintaan tiga segi apabila mencintai gadis yang sama, Amy kerana kecantikannya.

Adakah perhubungan kekeluargaan mereka akan terlerai kerana cinta dan siapakah menjadi pilihan Amy bakal terjawab dengan memperoleh naskhah berkonsepkan cinta romantik ini.




- Harga: RM21

- Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd

- Halaman: 540

- Penilaian: ***

Novel Lelaki Eksklusif oleh Wan Awliya Rayqal

LELAKI EKSKLUSIF – Wan Awliya Rayqal

NORA hanya gadis biasa-biasa saja. Tak serupa perempuan langsung. Tapi di mata Wan Mukriz, Nora sangat istimewa. Jadi tak salah dia serahkan hati dan perasaan buat gadis comel itu. Namun sangka Nora, Wan Mukriz sekadar bergurau. Apalah yang diharap pada gadis sepertinya. Jadi Nora buat bodoh saja.

“Kalau saya cari girlfriend, saya cari macam Nora.”

“Uiks, kalau macam tu ambik Nora saja tak boleh?”

“Serius?”

“Ngee, melampau bos ni.”

“Nora, saya serius ni.”

“Ya ke?”

Kemesraan yang terjalin, menjadi halangan apabila Wan Ariff , abang sebapa Wan Mukriz juga menaruh hati terhadap Nora. Mahu memiliki Nora tanpa mempedulikan perasaan Wan Mukriz.

Akhirnya, Wan Mukriz ambil keputusan untuk menikahi Nora tanpa pengetahuan sesiapa. Dan Nora terima lamaran Wan Mukriz demi menyelesaikan masalah peribadinya.

Mereka bahagia, namun bahagia mereka bersulam resah. Wan Ariff tak sudah datang mengganggu tanpa disedari yang menjadi idamannya itu ialah adik ipar sendiri.

Mampukah mahligai bahagia yang dibina dalam rahsia itu bertahan sedangkan Wan Mukriz tidak sanggup untuk berpisah dengan Nora?



Tajuk: Lelaki Eksklusif
Penulis: Wan Awliya Rayqal.
Penerbit ; Karyaseni
ISBN: 978-967-0246-43-7
Harga: RM18 (Semenanjung) // RM21 (Sabah & Sarawak)