Keistimewaan Koleksi Tudung Myza - Tudung 2 dalam 1


Pelbagai rekaan tudung diperkenalkan di pasaran bagi memberi pilihan kepada wanita. Jika dulu, dua bahan diperlukan untuk mengenakan tudung iaitu anak tudung dan tudung sama ada selendang atau tudung segi empat, kini tudung dua dalam satu yang mula diperkenalkan awal tahun ini menjadi pilihan ramai.

Bukan saja ia mudah dan mempercepatkan proses pemakaian, tetapi juga praktikal bagi wanita bekerjaya mahupun pelajar. Melihat kecenderungan trend fesyen hari ini, Myza Worldwide mengambil inisiatif memperkenalkan Koleksi Myza yang menampilkan rekaan unik gabungan anak tudung dan tudung.

Koleksi Myza menampilkan kelainan apabila anak tudung yang turut menutupi bahagian leher dan dada dicantumkan dengan selendang sifon tanpa memerlukan pemakainya melilit atau menggunakan kerongsang kecil bagi mencantumkan tudung pada pertembungan kain di leher.

Presiden Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak, berkata rekaan tudung berkenaan mengambil kira cita rasa wanita khususnya yang bekerjaya, seiring dengan gaya hidup golongan hawa hari ini.

“Ketika kita hendak memperkenalkan koleksi ini, kita mengenal pasti keperluan wanita hari ini. Ada rekaan tudung yang menghasilkan gaya sesuai untuk satu majlis saja, contohnya tampak terlalu glamor, tetapi tidak boleh digayakan ke pejabat. Ada pula yang tampak terlalu ringkas, tidak sesuai ke majlis rasmi.

“Antara cadangan yang kita dapat, ialah mereka memerlukan tudung yang mudah dan praktikal. Jadi, daripada situ pereka tudung Myza tampil dengan tudung dua dalam satu ini yang memudahkan pemakaian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Tudung Myza, di Ampang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Myza Worldwide, anak syarikat di bawah Yayasan Pembangunan Nur Hikmah turut memperkenalkan duta bagi Koleksi Tudung Myza, Maizawati Zainal yang bakal tampil menggayakan tudung berkenaan pada pelbagai majlis.

Ameer berkata, koleksi itu menggunakan fabrik sifon Itali yang mempunyai rekaan moden dan eksklusif sesuai dengan imej muslimah hari ini, manakala bagi anak tudung pula memanfaatkan fabrik jersi kapas yang telap peluh dan selesa.

“Pemilihan fabrik dilakukan secara teliti dengan mengambil kira semua aspek. Selain telap peluh, kita juga dapati wanita inginkan fabrik yang lembut dan memeri. Jadi, kain jersi kapas ini memudahkan pengguna tanpa mengira saiz wajah dan ia lembut pada kulit serta mudah dibentuk,” katanya.

Selain sesuai digayakan wanita bekerja, koleksi ini juga disasarkan bagi pelajar dan kanak-kanak dengan rekaan lebih bercirikan keremajaan dan tampak ranggi tidak kira apa saja kegiatan yang dilakukan.

Koleksi Tudung Myza mempunyai pelbagai pilihan warna bagi setiap rekaan, namun buat permulaan hanya ada lapan warna saja yang disediakan.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli tudung Myza, boleh melayari laman web www.myza.com.my dengan memilih warna atau rekaan yang bersesuaian dengan cita rasa masing-masing.

Myza Worldwide juga menjemput wanita yang berminat untuk menjadi usahawan dengan menjadi wakil pengedar bagi jenama itu. Untuk maklumat lanjut, e-mel ke alamat info@myza.com.my.

INFO: Empat keistimewaan tudung Myza:

* Mudah dipakai - Pemakai hanya perlu menyarungkan tudung kerana tudung Myza mencantumkan anak tudung dan tudung.

* Fabrik bermutu - Tudung Myza diperbuat daripada kain jersi kapas dan tudungnya daripada kain sifon, sekali gus menjamin telap peluh dan sesuai dengan cuaca di Malaysia.

* Harga murah - Setiap tudung berharga daripada RM55 hingga RM180. Ini agak murah kerana pada satu harga boleh dapat dua bahan (anak tudung dan tudung).

* Hasil tangan - Berbanding tudung lain yang dibuat secara pukal di kilang, tudung Myza pula menggunakan hasil tangan secara manual oleh wanita di Felda Tronoh, Perak. Ini menjamin hasil yang bermutu.

Burqini - Baju Renang Muslimah

Bergaya sopan, cantik dan tampil kemas sememangnya dituntut dalam Islam kerana ia menyerlahkan peribadi, di samping mampu meningkatkan diri serta keyakinan. Justeru, walau ke mana saja kaki melangkah penampilan perlulah dijaga supaya ia bukan saja dapat menjaga dan meningkatkan imej diri, tetapi turut membuatkan orang lain berasa senang untuk berdamping dengan kita.

Bagi umat Islam di negara ini, memilih fesyen sesuai yang memenuhi aspirasi sedemikian bukanlah begitu sukar kerana kini sudah pun semakin banyak pilihan. Malah, kebanyakan ragam fesyen yang mempunyai ciri-ciri itu diketengahkan mengikut arus aliran terkini dan dapat diterima semua.

Cuma elemen Muslimah mencantikkan lagi wanita Islam memakainya.

Dalam pada itu, Pengarah Projek Aktif Bestari, Nuraini Mohd. Ariffin yang merupakan pelopor baju renang Muslimah di Malaysia memberitahu, baju ini mempunyai kualiti yang sama dengan baju renang moden.

Burqini yang mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2006 ini masih berada di tahap baru era fesyen dunia.

"Ia merupakan baju renang tertutup. Pada awalnya ia juga sukar diterima di negara kita. namun, saya yakin dengan adanya peranan kerajaan dan media, ia mula diterima secara perlahan-lahan.

"Sebagai seorang Muslimah, kita perlu menutup aurat dan tidak bermakna kita perlu membataskan pergerakan. Dengan adanya baju ini, ia dapat membantu wanita mudah melakukan aktiviti fizikal," katanya.

Berbeza dengan Dubai, baju renang warna-warni tidak dibenarkan.

Kerajaan mereka mahu pakaian yang polos untuk tidak menarik perhatian orang ramai.

"Di malaysia setakat ini ada pihak pengurusan hotel yang memahami situasi ini dan membenarkan golongan wanita berenang memakai burqini.

"Bagi saya, ia bukan halangan kerana baju ini juga mempunyai keistimewaan. Ia tidak berbulu, ringan dan mudah kering. Sama baju renang biasa," ujarnya.

Pihak pengurusan hotel tidak mahu menerima baju berbulu kerana takut bulu yang terjatuh di kolam akan menyebabkan kolam tersumbat.

Jelas Nuraini, ia akan menyebabkan kos menguruskan kolam mereka meningkat.

"Dengan menggunakan fabrik spandex lycra, saya berani memberi jaminan bahawa pakaian mandi ini adalah ringan dan memeri. Ia secara tidak langsung akan menjadikan si pemakai bukan sahaja selesa tetapi tidak panas serta mudah kering dan pakaian mandi, ia tidak mudah berbulu.

"Dengan kelebihan ini juga, pemakai boleh terus memakainya dari rumah, terus ke kolam renang malah selepas itu pulang dengan pakaian sama. Ia juga sesuai untuk mandi di laut atau sungai," jelasnya yang boleh dihubungi di talian 03-7843 0272.

Nuraini turut menyediakan pakaian yang boleh digunakan untuk semua pelanggan iaitu berlengan panjang dan bertudung yang boleh dileraikan. Terpulang kepada pelanggan yang bukan Islam sama ada ingin memakai tudung tersebut atau tidak.

"Seperti yang berlaku di perancis, ia sepatutnya tidak berlaku kerana Islam agama global dan ramai pemimpinnya terdiri daripada penganut Islam.

Sepatutnya sebagai memberi sokongan kepada wanita Islam yang ingin melakukan aktiviti fizikal," tegasnya.

Berkaitan dengan hukum menutup aurat wanita secara jelasnya telah dinyatakan oleh Allah Taala dalam al-Quran sebagai satu perintah dan kewajipan yang harus dilaksanakan oleh hamba-Nya mengikut keadaan dan situasinya yang tertentu. Adalah menjadi satu kemestian "wajib" bagi setiap wanita akur dengan perintah Allah untuk memakai pakaian yang menutup seluruh badan kecuali muka, tapak tangan dan tapak kaki tanpa banyak alasan yang tidak ikhlas dan jika perlu termasuk juga mukanya.

Di bawah ini diperturunkan petikan khas maksud ayat-ayat al-Quran berkaitan perintah-perintah tersebut, sama-samalah kita renungi dan menghayatinya, Insya Allah akan memberi keberkatan kepada kita, di samping dapat menjauhkan kemurkaan Allah.

"Katakanlah kepada wanita yang beriman:

Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak saudara lelaki mereka, atau anak saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. Surah An-Nur (31).

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Bersukan bersama Sloggi Sporty!

Pernahkah anda mengalami rasa gatal-gatal dan ruam selepas giat bersenam? Jika ya, besar kemungkinan anda memakai baju dalam yang tidak sesuai dari segi keselesaan dan sokongan yang diperlukan.

Secara amnya, aspek sokongan dan keselesaan adalah dua elemen penting yang harus diutamakan ketika memilih baju dalam sukan. Memahami keperluan itu rangkaian sloggi Sporty terbaru menawarkan ciri berkenaan yang direka khas buat gadis yang aktif dan menampilkan revolusi penggunaan fabrik tencel yang diperbuat daripada kombinasi gentian semula jadi dan buatan manusia.

Hasilnya, pakaian dalam rangkaian sloggi Sporty bukan saja terasa seperti lapisan kedua kulit anda, tetapi memberikan sentuhan selembut kain sutera, sesejuk kain linen dan daya penyerapan bak kain kapas! Selain itu, fabrik tencel yang digunakan juga membenarkan pengaliran udara baik, kelicinan yang sensual serta keselesaan maksimum.

Tambahan pula, rangkaian ini juga memberi perlindungan semula jadi daripada pertumbuhan bakteria. Bagi memastikan pengudaraan kulit yang optimum, fabrik tencel yang lembut, licin, ringan dan mudah menyerap, kekal sedemikian sepanjang masa walaupun bersentuh dengan kulit yang lembap. Ia menyerap kelembapan pada kulit dan seterusnya anda akan berasa kering, selesa dan bebas daripada kegatalan biarpun cergas bersukan, malah pertumbuhan bakteria turut dicegah.

Fabrik ini yang tahan daripada pengecutan dan kedutaan, menjadikan sloggi Sporty teman baik anda setiap hari. Anda pasti cinta pada ciri-ciri mudah jaga, cepat kering dan tanah lama yang terdapat dalam koleksi ini.

Sloggi Sporty menawarkan pelbagai stail dan warna mengikut kesesuaian mood dan jenis pakaian sukan yang dikenakan. Dapatkan kemeja T sloggi Sporty tanpa lengan dengan mangkuk disertakan bersama. Setiap helaian ini mempunyai seluar pendek yang sepadan. Luangkan sedikit masa pada seleksi coli yang berwarna menarik, yakni dari ungu dan gandaria kepada hitam dan putih.

Sloggi Sporty dijual pada harga RM34.90 bagi seluar pendek dan RM99.00 untuk coli.