Semak status peraduan

Apakah hukum asas dalam menyertai peraduan yang diadakan sama ada menerusi media massa atau pihak lain?

RAZALI: Secara asasnya, hukum asal bagi pertandingan dan peraduan adalah harus. Para ulama fiqh telah sepakat menyatakan hukum ini. Antaranya al- Kasani, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitab- kitab kerangan mereka.

Para ulama ini berhujah dengan firman Allah SWT yang maksudnya: dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya, dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (al-Anfal: 60)

Ketika menghuraikan ayat ini, Imam al- Mawardi telah menyatakan arahan menyediakan kekuatan untuk berperang tidak akan sempurna melainkan dengan adanya latihan dan pertandingan.

Oleh yang demikian, secara umumnya, pertandingan adalah suatu yang harus dan dibenarkan oleh agama selagi tidak bercanggah dengan prinsip asas Islam.

Syarat-syarat yang saya maksudkan adalah antaranya seperti berikut:


a) Peraduan tersebut mestilah peraduan yang bermanfaat contohnya menguji minda, peraduan yang mengajak orang ramai cintakan ilmu dan sebagainya.

b) Peraduan tersebut mestilah tidak membawa kepada kelekaan contohnya sehinggakan meninggalkan perintah wajib iaitu solat dan seumpamanya

c) Peraduan tersebut mestilah tidak boleh mempunyai sebarang unsur judi dan bertenung nasib.

Dalam ayat 90 surah al-Maidah, Allah mengharamkan judi dan mengundi nasib. Soalnya, apakah unsur-unsur yang membawa kepada judi dan bertenung nasib dalam peraduan yang perlu dielakkan?

RAZALI: Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hukum asal bagi peraduan ataupun pertandingan adalah diharuskan dalam Islam. Walaubagaimanapun keharusan ini diikat dengan syarat-syarat yang tertentu iaitu mestilah tidak mengandungi apa jua elemen yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.

Jika peraduan tersebut mempunyai unsur perjudian dan mengundi nasib maka secara automatik hukumnya adalah haram. Oleh yang demikian, unsur judi dan tenung nasib inilah yang perlu dielakkan dalam sebarang peraduan yang mahu dianjurkan.

Persoalannya, bagaimana kita boleh mengenal pasti sesuatu peraduan tersebut mengandungi unsur judi atau tidak? Suka saya merujuk Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah, Jakim yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke- 84 bertarikh 15 Disember 2008.

Perkara 6.1 (i)

a) Penganjur tidak boleh mengenakan apa- apa caj atau yuran kepada peserta sebagai bayaran pendaftaran untuk menyertai peraduan yang dianjurkan bagi mengelakkan wujudnya unsur- unsur perjudian dan pertaruhan.

Ulasan: Maknanya sebarang peraduan yang mengenakan caj sebagai bayaran pendaftaran sebagai syarat untuk menyertai peraduan adalah mengandungi unsur pertaruhan dan judi. Peraduan seumpama ini mesti dielakkan.

Perkara 6.1 (ii)

b) Tiada sebarang caj tambahan boleh dikenakan kepada peserta peraduan contohnya caj kos pengurusan, caj ke atas setiap set soalan peraduan dan seumpamanya.

Ulasan: Maknanya sebarang peraduan yang mengenakan caj tambahan kepada peserta contohnya untuk mendapatkan soalan peraduan mesti membayar sejumlah wang terlebih dahulu sebagai syarat, maka kaedah ini juga mempunyai unsur judi yang mesti dielakkan.

Perkara 6.1 (iii)

c) Jika peraduan dianjurkan melalui telefon dan seumpamanya, pihak penganjur tidak boleh menaikkan caj perbualan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada caj semasa bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian.

Ulasan: Mana-mana peraduan menerusi SMS atau memerlukan untuk membuat panggilan telefon contohnya peraduan melalui radio atau TV, di mana penganjur menaikkan kadar caj semasa SMS atau telefon tersebut, maka ini juga mempunyai unsur judi yang diharamkan oleh agama.

Pendapatan lumayan dengan Nuffnang

Cakap sahaja Nuffnang, mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan Filipina.



Sumbangan Nuffnang amat besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap.

Iklan-iklan daripada Nuffnang yang merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap hari.

Ia membenarkan pengiklan untuk memaparkan iklan grafik dan video di blog-blog dalam pelbagai genre. Kejayaan Nuffnang kini dapat dilihat melalui pembangunan pejabatnya di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia.

Menarik tentang syarikat Nuffnang Sdn. Bhd. yang terletak di Kuala Lumpur, ia diteraju jejaka yang baru berusia 26 tahun. Timothy Tiah, sebagai pengarah urusan, turut meneraju cawangan Nuffnang bersama pengasas bersama, Cheo Ming Shen yang kini menguruskan pejabat di Singapura.

Menurut Timothy, blogger mampu menjana pendapatan lumayan berdasarkan jumlah pelawat blog. Semakin tinggi jumlah pelawat semakin tinggi pendapatan sehingga mampu mencapai puluhan ribu ringgit dalam masa sebulan.

"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana pendapatan.

"Selain itu, kami juga menganjurkan majlis-majlis untuk blogger seperti tayangan filem, seminar, bengkel, parti dan sebagainya untuk merapatkan hubungan sesama komuniti blogger di bawah Nuffnang," katanya.

Menceritakan kewujudkan Nuffnang, Timothy memberitahu idea itu timbul di London ketika dia dan Ming Shen berbual mengenai pelan perniagaan mereka apabila pulang ke tanah air. Kedua-dua mereka adalah pelajar jurusan perniagaan dan bermula sebagai blogger.

"Kami berbincang mengenai perniagaan yang ingin kami jalankan selepas pulang ke Malaysia dan Singapura. Kemudian timbul idea untuk berkolaborasi mewujudkan Nuffnang selepas mempertimbangkan populariti blog yang semakin meningkat.

"Kami melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang lain dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan hanya selepas beberapa tahun syarikat itu ditubuhkan," katanya mengenai syarikat itu yang memulakan pejabat pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 2006.

Katanya, pada akhir tahun pertama Nuffnang ditubuhkan iaitu pada tahun 2007 mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 7,523 orang blogger dan ia meningkat kepada 30,708 pada tahun 2008. Tahun 2009 pula jumlahnya meningkat kepada 68,455 orang, manakala sehingga Ogos lalu jumlahnya ialah 105,464 orang blogger.

"Komuniti blogger Nuffnang meningkat dengan pantas dan ini menunjukkan blog menjadi medium pengiklanan yang mendapat sambutan hangat daripada klien pengiklan. Ia menjadi pilihan baru selain medium utama iaitu media cetak dan elektronik.

"Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai blogger yang berpendapatan tinggi, seseorang itu mestilah bekerja keras dan mewujudkan blog atas sebab yang betul. Ini kerana sekiranya blog diwujudkan semata-mata untuk mencari keuntungan, ia tidak akan berjaya," katanya.

Keahlian Kelab Ibu Dutch Lady

Sebagai penghargaan kepada para ibu yang memilih jenama susu Dutch Lady iaitu Susu Untuk Membesar 123, 456 dan enam tahun ke atas, peneraju produk tenusu Malaysia, Dutch Lady Milk Industries telah melancarkan sebuah kelab baru-baru ini.

Dutch Lady Moms Club merupakan sebuah program keahlian baru khas untuk wanita bergelar ibu yang menjadikan susu jenama itu sebagai sumber nutrisi penting bagi anak-anak mereka.

"Produk Dutch Lady merupakan satu jenama yang sudah lama dipercayai oleh ibu-ibu sebagai sumber nutrisi utama yang diperlukan oleh si manja mereka.

"Dengan penubuhan Dutch Lady Moms Club, kami meraikan kasih sayang dan keprihatinan ibu-ibu terhadap anak-anak mereka dengan memberikan pelbagai mata ganjaran," kata Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Rahul Colaco.

Kelab itu menjanjikan pelbagai manfaat sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen para ibu dalam memberikan sesuatu yang terbaik kepada anak-anak mereka.

Ibu-ibu yang menjadi ahli dapat menebus mata ganjaran bagi meraih hadiah menarik seperti barangan premium Disney atau Ben 10 mahupun hadiah bagi keperluan si ibu sendiri.

Ahli-ahli kelab itu juga akan menerima majalah berita sendiri dan boleh melayari laman web yang mengandungi maklumat mengenai keperluan nutrisi penting, resipi pemakanan seimbang mengikut umur, nasihat tentang penjagaan anak, imuniti dan lain-lain lagi.

Laman web itu juga mengandungi pelan harian interaktif bagi si ibu untuk merakam saat-saat manis bersama anak-anak mereka.

PRODUK Dutch Lady merupakan satu jenama yang dipercayai sejak dahulu.

Selain itu, maklumat berguna mengenai ibu hamil turut dimuatkan dalam laman tersebut bagi melengkapkan mereka dengan informasi terkini sepanjang proses tersebut.

Sempena pelancaran Dutch Lady Moms Club itu juga, Dutch Lady Malaysia menawarkan ganjaran kepada semua ahli yang mendaftar sehingga 30 September 2010.

Dengan setiap penyertaan dalam tempoh tersebut, ahli-ahli akan mendapat dwi mata ganjaran dan berpeluang memenangi Proton Exora baru.

Sementara itu, penyertaan yang ke-100 akan menerima baucar membeli-belah bernilai RM50 yang boleh digunakan untuk membeli Susu Cair Dutch Lady, produk sejuk Dutch Lady atau Susu Tepung Dutch Lady 123, 456, 6 tahun ke atas dan sebagainya.

Borang penyertaan boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai yang terpilih dan melalui laman web www.dutchlady.com.my. Setiap penyertaan mesti disertakan dengan potongan kod bar yang terdapat pada setiap pek Susu Untuk Membesar Dutch Lady.

Hari ini, Susu Untuk Membesar Dutch Lady adalah satu rumusan unik TT-Ratio Advance yang mengandungi asid amino penting seperti tirosina dan tryptophan dan diperbaharui dengan sumber karbohidrat, vitamin B (B1, B2, B6 & B12), DHA, AA, SA, taurina, kolin, omega 3 dan omega 6.

Formula yang diperbaharui membekalkan nutrisi yang boleh membantu penyerapan yang lebih baik dan pemprosesan maklumat bagi pembelajaran yang lebih berkesan.

Untuk maklumat lanjut tentang Dutch Lady Moms Club, sila layari www.dutchlady.com.my.