Hotel Kucing di Bangi

Kucing-kucing yang menginap di hotel haiwan di Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra, Bandar Baru Bangi akan dikenakan caj RM12 hingga RM15 sehari.

Semua haiwan di Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra akan mendapat kemudahan serta layanan yang sangat istimewa.


Malah, melengkapkan layanan kelas pertama tersebut, haiwan di situ diberikan khidmat rawatan kesihatan kerana doktor bertugas akan memantau tahap kesihatan dari semasa ke semasa.

Seorang pengaturcara komputer di sebuah syarikat swasta, Nuraini Ibrahim, 23, mula menghantar kucing kesayangannya Ricky Bobo ke klinik haiwan yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor itu, sejak Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

“Saya akan menghantar Ricky Bobo yang berusia setahun setengah apabila ada tugasan luar dan ketika balik ke kampung beraya. Biasanya paling singkat Bobo menginap di sini selama dua hari dan paling lama dua minggu.

“Sebelum ini saya menghantar Bobo di tempat lain tetapi memandangkan pelbagai perkhidmatan ditawarkan di sini selain dikenakan caj yang berpatutan, saya lebih selesa di sini,” katanya sambil mendukung Bobo seberat 5.2 kilogram (kg) itu.

Tambahnya, klinik tersebut bukan sahaja menyediakan perkhidmatan penginapan tetapi turut menyediakan perkhidmatan rawatan, grooming dan barang-barang keperluan haiwan. Pendek kata, segala-galanya ada di situ.

“Kos penginapan di sini RM12 sehari lengkap dengan penyediaan makanan selain ia dijaga oleh veterinar yang bertauliah,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik kucing jantan jenis Mancoon Mix, Mohd. Azhar Abdul Aziz, 29, sependapat mengenai caj yang dikenakan terhadap setiap pelanggan.


Pegawai Eksekutif yang berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran itu akan menghantar kucingnya bernama Ronaldo ‘bercuti’ ke situ apabila dia mempunyai tugasan di luar daerah mahupun bercuti.

“Paling lama pernah saya tinggalkan Ronaldo selama lima hari. Keadaan di sini selesa, jadi saya tidak risau jika tinggalkan Ronaldo lama di sini.

“Selain menggunakan perkhidmatan ‘hotel haiwan’. saya juga membawa kucing ke sini untuk menjalankan rawatan rutin, suntikan vaksin, mendapatkan ubat cacing dan sebagainya,” katanya.


Mohd. Azhar berpendapat pemilik kucing dulu dan kini sangat berbeza.

“Kini, mereka lebih mampu membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan memandangkan klinik-klinik haiwan sudah banyak dibuka,” ujarnya.

Empat cawangan hotel kucing

Pemilik Klinik Haiwan dan Surgeri Mesra, Dr. Wan Ahmad Kusairy Wan Sulaiman, 45, yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang veterinar memberitahu, sebelum haiwan didaftar masuk, keadaan mereka diperiksa dan diberikan suntikan vaksin terlebih dahulu sebelum diberikan lampu hijau untuk menginap di ‘hotel’nya.

“Pemeriksaan awal perlu bagi mengelakkan penyakit berjangkit dengan kucing-kucing lain yang menginap di tempat yang sama. Jika didapati kucing itu tidak sihat, ia akan dikuarantin di bilik khas.

“Jika kucing tersebut sakit selepas pulang dari tempat ini, pemilik mereka boleh mendapatkan rawatan tanpa dikenakan sebarang caj,” katanya yang sebelum ini berkhidmat dengan Institut Haiwan Kluang, Johor.

Wan Ahmad merupakan pemegang Ijazah Kedoktoran Perubatan Veterinar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan kliniknya sendiri pada tahun 2008 di Bangi turut menyediakan asrama untuk haiwan lain seperti arnab, hamster, iguana dan kura-kura.

Caj yang dikenakan ialah RM12 untuk sangkar standard dan RM15 untuk sangkar yang lebih besar. Caj tersebut merangkumi kos penginapan dan makanan sahaja.

Permintaan tambahan daripada pemilik kucing untuk mandi dan grooming akan dikenakan caj tambahan.

Menurutnya, kebiasaannya ‘bilik’ kucing di kliniknya habis ditempah pada musim perayaan terutamanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baru-baru ini, kliniknya menjaga lebih kurang 500 ekor kucing di empat buah cawangan kliniknya iaitu di Seksyen 7, Bangi; Presint 15, Putrajaya; Saujana Impian, Kajang dan Taman Seri Serdang, Seri Kembangan.

Angka tersebut meningkat sebanyak 100 ekor berbanding 400 ekor tahun lalu dan setiap kali raya, Wan Ahmad menghabiskan hampir RM15,000 untuk membeli sangkar-sangkar baru untuk keselesaan ‘tetamunya', malah sangkar-sangkar lama pula akan dijual pada harga istimewa.

“Paling singkat pemilik haiwan menghantar haiwan kesayangan mereka ke sini adalah empat hari dan paling lama pula lebih dua minggu. Sambutan yang menggalakkan menyebabkan saya tidak hanya membuka perkhidmatan penginapan pada musim perayaan sahaja, malah turut membukanya untuk musim haji dan cuti sekolah yang panjang.

“Bagi mereka yang bakal menunaikan umrah atau haji, kami akan memberikan diskaun sebanyak 30 hingga 50 peratus,” ujarnya yang mempunyai pelanggan daripada segenap golongan.

Semua di bawah satu bumbung

Para pemilik haiwan yang meninggalkan haiwan kesayangan mereka di klinik tersebut tidak perlu gusar kerana haiwan dijaga dan dipantau oleh kakitangan bertugas yang terdiri daripada tiga orang doktor veterinar dan 10 orang pembantu 24 jam sehari, tujuh hari seminggu di semua cawangan klinik.

Selain menawarkan khidmat penginapan, klinik haiwan milik Wan Ahmad juga menjalankan perkhidmatan pembiakan baka kucing.

“Pelanggan hanya dikenakan caj sebanyak RM200 sekali masuk dan andai kata proses tersebut tidak mendatangkan sebarang hasil, kami akan memberikan peluang kedua kepada kucing mereka secara percuma.

MOHD. AZHAR sentiasa berkunjung ke Klinik Haiwan & Surgeri Mesra untuk mendapatkan keperluan kucing-kucing kesayangan.

“Kami juga membuat program khidmat masyarakat istimewa buat pemilik-pemilik haiwan. Pada bulan April lalu kami mengadakan program ultra bunyi percuma untuk kucing dan arnab,” katanya yang merancang untuk membuka cawangan di Temerloh, Pahang tahun depan.

Wan Ahmad memberitahu, bermula 8 November ini, dia bercadang untuk memberikan suntikan vaksin penyakit kurap bagi kucing dan arnab secara percuma sehingga 30 November.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga mahu memberi peluang kepada pelajar veterinar lepasan universiti untuk membuat latihan praktikal sekali gus menyediakan peluang pekerjaan buat mereka.

Naik seri wajah pengantin

Kala bersanding di pelaminan indah, pastinya semua mata memberi tumpuan. Bukan saja terpesona pada busana indah berjahit labuci dan jemeki, juga pada pelamin mewah dengan hiasan moden.

Paling penting, senyuman mempelai yang tentunya menjadi perhatian tetamu. Sebagai raja sehari, setiap wanita mahukan kesempurnaan pada hari bahagia mereka bukan saja dari segi luaran, namun kecantikan dalaman yang menjadi keutamaan.

Menjelang tiga bulan sebelum tarikh perkahwinan walau sesibuk mana sekalipun tugasan di pejabat, wanita yang akan bergelar ratu sehari seharusnya meluangkan masa memberi kemanjaan serta belaian pada tubuh dengan mengunjungi pusat kecantikan yang menyediakan rawatan khusus untuk bakal pengantin.

Antara rawatan khusus berkenaan termasuk sauna, jakuzi, mandi wap, urut dan menyental badan sebagai rawatan asas. Rawatan ini bukan setakat mencantikkan kulit, malah memberi keyakinan kepada mempelai untuk tampil anggun pada hari bahagia mereka.

Menurut pemilik dan Pengarah Urusan Spa D Aura, Dina Abu Bakar, bakal pengantin seharusnya mengambil perhatian dengan mengunjungi spa untuk membuat rawatan badan sekurang-kurangnya tiga kali sebelum tarikh majlis berlangsung.

Ramai wanita tidak tahu rawatan untuk bakal pengantin mampu menaikkan seri wajah serta keanggunan mempelai tatkala bersanding di atas pelaminan indah.

"Antara rawatan asas yang boleh dilakukan adalah sauna, jakuzi, mandi wap dan urut badan. Rawatan ini bukan setakat mencantikkan kulit, tetapi mampu memberi kesegaran pada tubuh dan memastikan bakal pengantin tampil anggun dan yakin pada hari bahagia mereka," katanya.

Dina mengakui sauna mempunyai banyak kebaikan iaitu membuka rongga liang roma, mengeluarkan segala kekotoran atau toksin dalam kulit, menjadikan kulit lebih sihat dan rambut bertambah segar, lebat dan berupaya mengurangkan masalah kelemumur.

Menerusi sauna, kesan panas yang terhasil daripada alat pemanasan itu akan melegakan otot, sekali gus menghilangkan sengal, bisa dan kebas tubuh badan.

"Proses ini akan membolehkan badan mengagihkan lebih banyak zat terutama kepada bahagian kulit dan menggantikan sel mati. Oleh itu, kesan yang amat ketara sekali, diri kelihatan lebih segar dan tampak semula jadi beberapa jam selepas melakukannya," katanya.

Bagi rawatan mandi wap pula, pelanggan akan memasuki sebuah bilik panas dengan suhu tertentu selama 30 minit. Selepas 20 minit, pelanggan akan berasa kadar denyutan pernafasan dan denyut nadi mereka meningkat daripada 75 denyut seminit kepada 100 hingga 150 seminit dalam masa 15 hingga 20 minit mandi wap.

"Apabila ini berlaku, ia akan meningkatkan kadar peredaran darah (bukan tekanan darah) kerana haba daripada wap air akan mengembangkan saluran darah untuk menampung peningkatan pengaliran darah ke seluruh badan.

"Wap juga akan masuk ke rongga pernafasan dan terus ke sistem perjalanan darah serta memberi kesan yang baik kepada organ dalaman badan. Dari aspek perubatan, wap yang masuk melalui rongga pernafasan ini amat baik untuk rawatan resdung, radang paru-paru dan asma," jelas Dina.

Selain sauna dengan keluasan spa 14,710 kaki persegi, D Aura yang menjadi spa terbesar Malaysia, turut menyediakan kolam air panas (jakuzi) dengan reka bentuk yang indah dikelilingi batu dan kayu serta air terjun buatan yang mendamaikan.

Untuk bakal pengantin, berendam dalam air bukan sekadar air panas biasa sebaliknya disertakan tekanan yang dapat memberi kelegaan pada individu.

Istimewanya D Aura apabila jakuzi terbahagi kepada dua bahagian iaitu kolam air panas dan sejuk. Untuk lebih kelegaan serta haruman, titiskan minyak lavendar, pudina dan lemon ke dalamnya.

"Ia membantu untuk memecahkan lemak, mengurangkan selulit serta mengurangkan tekanan selepas penat bekerja.

"Sekiranya suhu air dibekalkan antara 32 hingga 35 darjah Celsius, ia mampu membuka liang rongga serta membantu mengeluarkan toksin dalam tubuh," jelasnya.

Menurutnya, rawatan urut badan mampu memulihkan ketegangan sekali gus mengurangkan tekanan. Rawatan yang dilakukan sebulan sekali atau dua minggu sekali selain mengurangkan masalah angin, memperbetulkan urat juga mampu memberi kesegaran pada tubuh.

"Spa D Aura menyediakan pakar urut terlatih terdiri daripada enam ahli terapi Melayu yang mahir dalam bidang urut tradisional Bali.

"Mereka melakukan urutan untuk antitekanan menggunakan minyak terpilih seperti lavendar, lemon dan pudina. Biasanya urutan selama 30 minit sehingga satu jam bergantung kepada kemampuan pelanggan," kata Dina.

Pakej perkhidmatan untuk bakal pengantin bermula daripada harga RM138 sehingga RM498 yang menyediakan rawatan asas seperti sauna, jakuzi, mandi wap dan urut badan.

Bayaran dikenakan turut merangkumi perkhidmatan menonton televisyen, berehat di ruang bacaan dan menjamu selera di kafe spa.

Sekiranya bosan mengunjungi spa sendirian, anda disarankan membawa teman atau suami. Ini kerana rawatan untuk pasangan juga disediakan dalam bilik yang sama.

Usah bimbang mengenai keluasan ruang kerana D Aura mampu memuatkan antara 30 hingga 50 orang pada satu masa.

Bagi mendapatkan sesi rawatan badan pula, pengunjung tidak perlu menunggu lama memandangkan ia menyediakan 20 bilik rawatan yang dilengkapi bilik air serta bilik berbentuk bulatan untuk VIP yang dipenuhi cermin besar dari atas ke bawah. Setiap bilik dengan rekaan menarik serta romantik diiringi haruman segar dan mengasyikkan serta alunan muzik tradisi Jawa.

"Saya berhasrat menjadikan spa ini pusat sehenti untuk wanita. Selain itu, kami dalam perancangan untuk menempatkan gimnasium dengan peralatan senaman canggih, juga butik menjual pakaian, perhiasan serta produk kesihatan. Saya mahu memastikan semua wanita tampil cantik dengan hanya mengunjungi spa saja," kata Dina menyatakan impiannya.

Spa D Aura boleh dikunjungi di D Aura Beauty Centre, G30 & LG30, Plaza South City Seri Kembangan, Selangor atau layari laman sesawang www.dauraspa.com.

Spesifikasi Nikon D3100

Hobi merakam gambar menjadikan semakin ramai anak muda memiliki kamera digital sendiri. Tentunya kamera jenis DSLR antara yang menjadi pilihan pengguna disebabkan kualiti rakaman gambar yang jauh lebih mengagumkan berbanding kamera lain di pasaran.



Bak jurugambar profesional, kepuasan merakamkan gambar daripada kamera jenis sebegini umpama tiada tandingan hingga membuatkan pelbagai idea dan gaya baru mampu dicetuskan hanya pada hujung jari.

Berbekalkan kreativiti sendiri, hasil gambar lensa mampu menzahirkan kualiti gambar mengagumkan. Semestinya tumpuan ketika ini diberikan kepada model Nikon terbaru iaitu D3100 yang dikhususkan kepada pengguna baru dengan nilai harga cukup berpatutan.

Dilengkapi dengan pengesan CMOS baru serta janaan EXPEED 2, Nikon D3100 menjadi antara kegilaan baru buat penggemar kamera DSLR.

Tidak perlu bergelar pro, memandangkan Nikon D3100 memberi panduan berguna buat pengguna baru untuk merakamkan gambar seperti yang dikehendaki. Anggun, reka bentuk menarik serta kualiti gambar yang memukau, tentu kamera DSLR jenis ini yang terbaik untuk diri anda!



SPESIFIKASI

Produk: Nikon D3100

Pengesan imej: Nikon DX format (23.1 x 15.4 mm) CMOS

Saiz imej: 4,608 x 3,072 [L], 3,456 x 2,3404 [M], 2,304 x 1,536 [S]

Sensitiviti: ISO 100 hingga 3200 - 1 EV, plus HI-1 (ISO 6400) and HI-2 (ISO 12800)

Format: NEF, JPEG ; MOV (H.264/MPEG-4 AVC)

Storan: Kad memori SD

Hayat bateri: 550 rakaman

Berat: 455 gram

Dimensi: 124 x 96 x 74.5 mm

Harga: RM2,198