(Ulasan Novel) Cinta Suci Zahrana oleh Habiburrahman El Shirazy

Cinta Suci Zahrana

- Penulis: Habiburrahman El Shirazy
- Penerbit: Ar Risalah Product Sdn Bhd
- Harga: RM16 senaskhah
- Bintang:****

Cinta Suci Zahrana adalah naskhah terbaik Habiburrahman ElShirazy, meskipun tema pilihannya masih tidak jauh daripada persoalan keagamaan, tetapi tindakannya meneroka sudut pandang sepasang suami isteri yang gentar kerana anak perempuan masih bujang, memberi kelainan.

Novel ini mengangkat kisah pensyarah seni bina, Dewi Zahrana yang berjaya dalam akademik, tetapi belum berkahwin, meskipun sudah berusia 34 tahun dan keputusan gadis itu mendahulukan kerjaya menyebabkan ibu mahupun bapanya gelisah.

Mereka tambah tertekan dengan pertanyaan dan sindiran masyarakat keliling, meskipun Zahrana sendiri tidak peduli dengan kata-kata orang lain kerana bulat dengan tekadnya dalam memburu kejayaan dalam kerjaya.

Cinta Suci Zahrana

Gadis terpelajar taat ibu bapa

Seperti biasa, tulisan Habiburrahman tebal roh keislaman, justeru watak Zahrana digambarkan meskipun terpelajar tetap taat kepada ibu bapanya, selain gadis itu kemudiannya digambarkan membuka hatinya untuk berkahwin, tetapi mahu mencari lelaki beriman biarpun tidak kaya.

Ketika itulah Zahrana diuji apabila ketua jabatannya di Universitas Mangunkar, Semarang, Sukarman masuk meminang sedangkan lelaki itu berakhlak rendah dan si gadis pula tidak berminat.

Penolakan lamaran itu bukan saja menyebabkan bapanya, Munajat, patah hati, tetapi Sukarman juga mengambil tindakan menghantar pesanan ringkas berbaur ugutan, termasuk mengarahkan Zahrana berhenti kerja sebelum dipecat.

Kesungguhan Zahrana untuk memenuhi hajat bapanya yang terlalu ingin bermenantu, mendorongnya reda untuk dikahwinkan dengan seorang penjual keropok, Rahmat, lelaki miskin harta, tetapi berakhlak mulia.

Malang menimpa Zahrana apabila Rahmat meninggal dunia pada malam sebelum pernikahan berlangsung, tetapi `ujian' itu akhirnya dibalas apabila diper- temukan jodoh dengan Hassan, bekas pelajarnya di kampus.

Kisah cinta bersegi-segi

Habiburrahman memang dikenali kerana kisah cinta bersegi-segi dalam novelnya, sama seperti dalam Ayat-Ayat Cinta dan Bumi Cinta, selain calon yang berjaya menawan watak utama selalunya di luar jangkaan pembaca.

Cinta Suci Zahrana naskhah bersulam pengajaran dan tema pilihan Habiburrahman menarik, tetapi beliau gagal meneroka lebih jauh pergolakan dalam diri Zahrana sebagai perempuan lanjut usia yang akhirnya tunduk kepada tekanan dan desakan keluarga.

Kelemahan ini mungkin kerana Habiburrahman adalah pengarang lelaki dan sesetengah pembaca wanita akan berasa watak Zahrana yang digambarkan Habiburrahman tidak adil, khususnya kepada wanita berkerjaya yang masih sendiri.

Naskhah ini sangat tipis berbanding Bumi Cinta, novel kedua terbaik Habiburrahman dan pasti pembaca berasa pengakhiran kisah dalam novel ini kelihatan tergesa-gesa, memandangkan penerokaan kisah masih boleh dipanjangkan.

Cinta Suci Zahrana sudah berada di pasaran Indonesia dua tahun lalu, tetapi memasuki pasaran Malaysia awal tahun ini dengan naskhah terjemahan bahasa Melayu, namun sedikit mengecewakan kerana terjemahannya tidak sempurna pada beberapa bahagian.

Lenggok bahasa Indonesia masih jelas dalam naskhah terjemahan, terutama dialongnya dan beberapa perkataan Jawa, turut tidak diterjemahkan.

Habiburrahman El-Shirazy berasal dari Jawa Tengah, Indonesia, adalah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. Bermula dengan Ayat-Ayat Cinta yang terbit pada 2004, Habiburrahman terus cemerlang dengan Di Atas Sejadah Cinta (2004), Ketika Cinta Berbuah Surga (2005), Pudarnya Pesona Cleopatra (2005), Ketika Cinta Bertasbih (2007), Ketika Cinta Bertasbih 2 (2007) Dalam Mihrab Cinta (2007) dan Bumi Cinta, (2010). Hampir semua tulisan Habiburrahman sudah difilemkan atau didramakan.

~ BH

Hari Koperasi Negara 2013 @ Dataran Darul Aman

Sukacita dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mengadakan Hari Koperasi Negara 2013 (HKN2013) seperti butiran berikut:

Tarikh: 23 - 25 Ogos 2013 (Jumaat - Ahad)
Masa: 8.30 pagi - 11.00 malam
Tempat: Dataran Darul Aman, Bandar Darul Aman, Kedah



Terdapat pelbagai aktiviti menarik untuk disertai seperti pameran auto show, forum perdana, pertandingan tomoi dan banyak lagi!!! Masuk pun percuma!

Semua dijemput hadir.

Bufet Ramadan (Iftar) TH Hotel - Hotel TH (Tabung Haji) 2013


Mari nikmati Bufet Ramadan sambil beramal bersama TH Hotel Kelana Jaya dan TH Hotel Penang. Hidangan istimewa daripada Timur Tengah ( BBQ Kibas dan Nasi Mandi )

*RM 1.00 daripada bayaran anda akan didermakan kepada rumah anak-anak yatim

Untuk hidangan berbuka ini, hanya RM45 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak.

Selain Hotel TH di Kelana Jaya, cawangan lain seperti di Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu tidak ketinggalan menyediakan hidangan daging kibas ini.

Buffet Ramadan Hotel TH (Tabung Haji)
Hidangan kambing golek atau panggang amat sinonim dengan menu iftar di hotel terkemuka negara. Lazimnya ruangan yang menyediakan hidangan itu menerima sambutan menggalakkan hingga ada yang sanggup beratur lama untuk menikmatinya.

Sesekali apa kata tukar selera dengan hidangan kibas panggang yang diimport dari Timur Tengah. Kibas sering didengar dalam kisah nabi dan jarang dalam kalangan kita dapat menikmatinya biarpun berpeluang melihat haiwan itu ketika mengerjakan umrah dan haji di Makkah.


Justeru, Hotel TH (Tabung Haji) memperkenalkan menu istimewa dari negara Arab itu sepanjang Ramadan ini.

Menurut Chef Eksekutifnya, Shahrul Hisam Lahuri, menu kibas ini pertama kali dihidangkan kerana rasa serta khasiatnya berbanding daging kambing biasa.

"Daging kibas lebih lembut dan lebih berkhasiat malah tidak terlalu hamis seperti kambing biasa. Walaupun boleh dimasak dalam pelbagai jenis hidangan, ia lebih enak dinikmati apabila dipanggang atau barbeku.

"Nasi mandi pula sebagai pelengkap kepada hidangan kibas yang menampilkan rempah ratus dari negara Arab," katanya.

Tanpa mengenepikan selera tempatan, Hotel TH turut menampilkan bermacam hidangan desa antaranya asam pedas daging tetel, nangka masak lemak bersama ikan masin, sup tulang, variasi mi, kuih-muih dan minuman.

"Kami juga menukar menu nasi setiap hari antaranya nasi jagung, nasi tomato, nasi minyak dan nasi hujan panas, selain nasi mandi," tambahnya.