Korset moden Lytess


Sejak berzaman lagi usaha melangsingkan tubuh diperoleh menerusi pemakaian korset. Di kalangan orang Inggeris korset dipakai sebelum mengenakan gaun untuk memperlihatkan tubuh kemas dan seksi. Di kalangan orang Melayu pula, penggunaan bengkung ketika hamil, mempercepatkan lagi proses pelangsingan badan kerana secara tidak langsung ia mengurangkan selera makan.

Kesengsaraan mendapatkan tubuh idaman menerusi pakaian menjadikan tidak ramai wanita sanggup memakainya sepanjang hari. Apatah lagi sekiranya ia meninggalkan kesan kegatalan pada kulit akibat fabrik kasar atau peluh. Menyedari masalah itu, maka kosmetoteksil dihasilkan menerusi revolusi pakaian pembentukan badan inovatif baru. Fabrik dicipta tidak sekadar menyerlahkan lengkung badan sebaliknya melembapkan kulit, menjadikannya licin dan lembut.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Lytess Perancis, Marc Vautier, berkata walaupun produk berkenaan baru dibawa masuk ke negara ini, hakikatnya ia sudah bertapak kira-kira enam tahun di Perancis dan diterima ramai kerana ia bukan saja melangsing, tetapi pada masa sama mencantikkan kulit.

“Bagaikan satu fenomena global, kosmetotekstil menawarkan rangkaian produk yang luas menggunakan teknologi fabrik pengaitan tidak berkelim termasuk formula pengurungan mikro yang berkesan dan inovatif menerusi produk dikenali Lytess. Agen kosmetik yang terkandung dalam berjuta-juta kapsul mikro dalam semua produk Lytess, merangsangkan bentuk badan.

“Formula pelangsingan yang dipatenkan itu mengandungi kafein, ramuan yang dikenali dengan keupayaan untuk menggerakkan lemak. Ia kemudian digabungkan dengan mentega shea bagi meningkatkan tindakan rangsangan dengan menyediakan kesan kelembapan pada permukaan kulit, menjadikannya lebih licin. Tindakan sokongan itu adalah serta-merta dengan pengguna dapat melihat pemulihan segera.

“Hingga kini rangkaian produk Lytess adalah produk pelangsingan badan paling selesa dalam pasaran hari ini. Dipakai secara berasingan atau di dalam pakaian, kerana ringan fabrik itu menjadikan ia bagaikan kulit kedua,” katanya.
LAI menunjukkan jenis Lytess yang mempunyai fungsi berbeza untuk mendapatkan tubuh langsing.

Beliau berkata, produk berkenaan diwujudkan selepas penyelidikan dan pembangunan yang rapi selama bertahun-tahun lalu berterusan hingga kini. Untuk membangun prestasi yang lebih baik dalam produk secara berterusan, kawalan ketat terhadap kualiti bagi memastikan pematuhan peraturan kosmetik dan fabrik dilakukan.

Majlis itu turut hadir François Matraire dari Jabatan Komersial Kedutaan Republik Perancis ke Malaysia, mewakili Duta Perancis; Pengarah Urusan inLife (M) Sdn Bhd (inLife), SW Lee dan Penasihat Korporat inLife Sdn Bhd, KK Lai. Produk berkenaan boleh diperoleh di Malaysia menerusi pengedar tunggal mereka, inLife.

Lytess adalah jenama pertama didedikasikan kepada bidang tekstil aktif-bio dan mempunyai visi untuk terus mewujud dan membangunkan kosmetotekstil inovatif menerusi makmal penyelidikan serta pembangunan lanjut yang terletak di Paris. Produk yang dikategorikan dalam tiga siri pembentukan, pemulihan dan antiselulit itu, terdiri daripada Pedal-Pusher Pelangsingan dan Sarung Balut Kaki Pelangsingan Lytess.

Rupanya anggun, mudah dibawa dan tidak menonjol, namun apa yang lebih penting produk pelangsingan itu memberikan keselesaan optimum dan sokongan sempurna. Ia membalut garis badan untuk membentuk mereka secara bebas.

Pengaitan tidak berkelim memberikan keseragaman dan kelicinan untuk kesan kulit kedua. Dijangka 15 peratus daripada ramuan aktif boleh dikekalkan selepas 30 kali cucian mesin basuh. Pedal-Pusher Pelangsingan didapati dalam warna hitam dan berharga RM432, manakala sarung pembalut kaki pelangsingan didapati dalam warna hitam dan berharga RM684.

Tali pinggang pemulihan Lytess atau pembalut bahagian tengah uniseks ini mudah digunakan untuk mengurangkan saiz pinggang anda dengan selesa. ‘Belt’ pinggang unik ini mengandungi kafeina dan mentega shea yang lembap, sebagai kapsul mikro dalam fabrik. Apabila dipakai di dalam pakaian, tali pinggang yang menyerupai bengkung itu dengan perlahan mengeluarkan ramuan berkenaan selain menyediakan sokongan kukuh dan teguh yang secara beransur-ansur memberikan pemakai pinggang dan abdomen lebih langsing dan berbentuk.

Ia disyorkan dicuci selepas penggunaan tiga hingga empat kali dan dijangka 15 peratus ramuan aktif boleh dikekalkan sehingga 30 kali cucian mesin basuh. Selain hitam, produk itu juga didapati dalam warna kulit dan dijual pada harga RM432.

Seluar dalam keanjalan pemulihan Lytess pula memberikan pemulihan pada tahap kulit dan membentuk tanpa mampat. Ia memberikan garis bentuk sempurna sementara tidak menonjolkan. Memulihkan bentuk badan menerusi tindakan berganda, pemulihan serta merta dan bentuk badan yang lebih melengkung. Ia boleh didapati dalam warna putih kuning dan dijual pada harga RM362.

Pedal Pusher Anti-Selulit Lytess pula dihasilkan bertujuan menghapuskan selulit. Sepanjang hari, produk pengurutan-mikro ini adalah penyelesaian dalam mengatasi selulit. Bahan yang dilindungi paten, pengurutan-mikro pengaitan berganda mewujudkan tindakan mekanikal melintang dan menegak seiring dengan pergerakan badan. Sistem eksklusif ini mengurut dan menguatkan badan dan menangani selulit dengan berkesan. Ia didapati dalam warna hitam dan dijual pada harga runcit RM620-00.

Amalkan pemakanan, senaman

PENASIHAT Korporat inLife (M) Sdn Bhd (inLife), KK Lai, berkata walaupun Lytess mencanangkan keberkesanan produk untuk tempoh 21 hari bagi pemakaian sekurang-kurangnya lapan jam sehari, tetapi pengguna disarankan turut mengamalkan pemakanan sihat selain meneruskan senaman ringan.

“Walaupun kami mempromosi pakaian untuk pelangsingan badan, pengguna juga harus mengubah cara hidup lebih sihat untuk hasil maksimum. Bahan kosmetotekstil yang dipatenkan, dicipta dengan penggabungan formulasi kosmetik berasaskan tumbuh-tumbuhan sepenuhnya, tekstil dan teknologi pengurungan mikro, adalah tekstil yang digunakan dalam semua rangkaian Lytess sedia pakai.

“Dengan menggabungkan diet sihat dan pemakaian produk itu menurut spesifikasi yang dicadangkan akan memastikan pengguna melihat kulit yang lebih lembap dan berbentuk dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Katanya, InLife adalah syarikat Malaysia milik penuh yang mengamalkan model perniagaan yang dipacu oleh Lohas dalam operasi harian mereka. Lohas adalah singkatan bermaksud kehidupan yang sihat dan mampan (Lifestyles Of Health And Sustainability), iaitu segmen pasaran yang fokus terhadap kesihatan, kecergasan, persekitaran, pembangunan peribadi, kehidupan mampan dan tanggungjawab sosial.

“Menerusi prinsip inilah yang menjadikan kami terpanggil untuk menjadi pengedar produk mesra alam ini. Walaupun kami membawa masuk beberapa jenis saja produk pakaian pelangsing, pada masa depan kami mungkin akan membawa banyak lagi, berdasarkan permintaan ramai, seperti seluar jeans dan pembalut lengan,” katanya.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Bidasari Spa & Beauty - Pecah lemak cara tradisional

Pecah lemak cara tradisional

Kaedah unik gabungkan teknik urutan guna minyak pati herba dan pemanasan tubuh mampu singkirkan toksid


Senaman adalah satu-satunya cara untuk memecahkan lemak degil yang berkumpul bertahun lamanya. Namun tidak semua orang sanggup melakukannya, sama ada kerana sibuk atau malas. Berdasarkan alasan itu ramai yang memilih ke pusat melangsingkan badan untuk mengurangkan berat badan.

Bidasari Spa & Beauty antara yang turut menawarkan pakej mengurangkan berat badan dan membentuk tubuh menggunakan kaedah tradisional. Kaedah unik itu menggabungkan teknik urutan menggunakan pati minyak herba dan pemanasan tubuh yang mampu memecahkan lemak serta menyingkirkan toksid dalam badan.

Pemilik Bidasari, Rafidah Musa, berkata istimewanya pakej berkenaan kerana menggunakan pati minyak tumbuh-tumbuhan yang terkenal mengandungi anti oksida. Antaranya, minyak zaitun, patchouli yang berbentuk seakan lada hitam, minyak limau, minyak pati beras, halia dan lavender.

“Gabungan Patchouli, limau, halia dan pati beras dapat menyingkirkan toksin yang terkumpul di dalam badan manakala bahan seperti ruby passion dan sitrus pula mampu memecahkan lemak. Urutan dilakukan selama 45 minit yang juga dapat merangsang titik limfatik bagi menyahtoksin tubuh,” katanya.

Kaedah urutan di sini berbeza dengan urutan biasa kerana ia menggunakan teknik mengurut menggunakan jari dan tepukan. Urutan bermula dari bahagian belakang pinggang ke bahagian titik limfatik seperti bawah lengan dan leher.

Urutan itu membawa toksin ke titik berkenaan untuk dikeluarkan daripada tubuh. Selesai mengurut bahagian belakang, tubuh ditepuk-tepuk dengan tapak tangan untuk merangsang peredaran limfatik. Bahagian kaki sehingga paha turut diurut dan menjalani teknik sama.

Selesai diurut, tubuh yang masih disaluti pati minyak ini dibiarkan dan seterusnya dibalut dengan plastik putih bermula dari dada sehingga ke tapak kaki selama 15 minit. Sepanjang tempoh itu, anda dapat merasakan tindak balas pati minyak dengan haba panas yang mula melingkari tubuh.

“Plastik yang membalut tubuh ini dapat menebat haba dan menjadikan tubuh lebih panas. Pati minyak mula menyerap ke tubuh dan bertindak memecahkan lemak serta berlaku perpeluhan. Sebaik dibuka, pelanggan boleh merasakan tubuh basah akibat berpeluh tetapi badan mula terasa ringan. Pelanggan diberikan air suam sebelum mandi dengan air agak hangat bagi mengelakkan demam,” katanya.

Rawatan memecahkan lemak tidak berhenti begitu saja tetapi diteruskan dengan melakukan mandi wap di dalam kotak sauna selama 15 minit. Menggunakan herba tradisional, tubuh terasa hangat selepas beberapa minit dan menyebabkan seluruh badan berpeluh.

Aroma herba menusuk hidung sebaik saja anda melangkah ke dalam kotak sauna ini. Sekali lagi, lemak degil dipecahkan dengan haba panas dan herba pada masa sama meningkatkan kesihatan kulit dan diri.

“Berdasarkan pengalaman pelanggan yang pernah menjalani pakej mengurangkan dan membentuk tubuh ini, mereka kehilangan sekurang-kurangnya 1/2 kilogram setiap kali selepas menjalani rawatan ini. Sebaiknya rawatan ini dibuat seminggu sekali sebanyak lima kali tetapi ini bergantung kepada saiz badan dan jumlah berat badan yang disasarkan,” katanya.

Katanya Bidasari turut memberikan khidmat kaunseling dari sudut pemakanan bagi membantu mempercepatkan penurunan berat badan. Pendidikan pengambilan makanan seimbang penting agar tidak timbul masalah di kemudian hari seperti gastrik atau aneroxia.

“Jika pusat pelangsingan badan lain meminta pelanggan menyekat pengambilan makanan mereka tetapi Bidasari menggalakkan pelanggan makan enam kali sehari. Ini penting bagi memastikan fungsi metabolisma atau proses pembakaran makanan dalam tubuh tidak terganggu dan teratur. Individu yang menyekat makanan dengan tidak mengambil makan tengah hari atau malam hanya membuatkan sistem metabolisma mereka menjadi lemah dan akhirnya tidak dapat membakar makanan dengan sempurna. Akibatnya, mereka bukan saja gagal menurunkan berat badan tetapi menjadi lebih gemuk.

“Mereka yang ingin mengurangkan berat badan perlu berhati-hati dengan makanan yang tinggi kandungan minyak dan lemak. Sebaiknya ambil makanan yang dikukus atau dibakar. Sarapan adalah hidangan yang amat penting dan tidak boleh ditinggalkan. Jika sarapan pada pukul lapan pagi, makan snek seperti roti dengan secawan teh pada dua jam berikutnya apabila perut terasa lapar. Hidangan lain yang tidak boleh ditinggalkan adalah makan tengahari, minum petang dan makan malam iaitu sebaiknya sebelum tujuh malam,” katanya.

Bidasari Spa & Beauty turut menawarkan khidmat lain seperti rawatan wajah, rambut, rawatan tubuh seperti menegangkan payu dara, penyental dan lulur badan, urutan tradisional dan urutan aromaterapi. Terdapat juga rawatan kuku tangan dan kaki dan refleksologi.

Oleh Halina Mohd Noor

Advanced Night Repair Estee Lauder

Advanced Night Repair Estee Lauder Memulihkan Kulit

Kajian terkini menunjukkan kerosakan dialami deoksiribonukleik (DNA) adalah satu isyarat kepada sel untuk bertindak balas, seterusnya menjadi panduan kepada manusia mengenai kerosakan yang berlaku pada kulit disebabkan ancaman persekitaran.

Fungsi DNA juga bukan sekadar memperincikan identiti manusia, sebaliknya menjadi penanda aras kepada kerosakan yang sedang berlaku terhadap kulit manusia secara keseluruhannya selain memberi peringatan bahawa kulit wajah juga adalah sebahagian daripada kulit yang mengalami kerosakan itu.

Secara tidak langsung, kita boleh membuat tanggapan DNA mempunyai 1,001 keistimewaan kerana selain menjadi ‘penjaga’ kepada kesejahteraan kulit, ia turut berfungsi merawat sebarang kerosakan yang berlaku terhadap kulit kita secara keseluruhannya.

Timbalan Penasihat Kanan, Kajian dan Pembangunan, Kajian Asas Sains, Estee Lauder, Dr Dan Yarosh, berkata keistimewaan DNA ialah ia mampu bekerja sendiri untuk memulihkan mana-mana bahagian yang mengalami kerosakan akibat ancaman persekitaran seperti cuaca dan bendasing yang hinggap pada kulit wajah.

“Fakta kajian menunjukkan DNA boleh memperbaiki kejadiannya sendiri. Tiada molekul dalam badan manusia mampu bertindak seperti DNA. Bahkan, kajian yang saya lakukan juga memperlihatkan bagaimana ia bertindak pada kulit dan apa yang kami boleh lakukannya untuk menjadikan ia lebih berkesan terhadap kulit.

“Ini kerana pembaikan DNA dan kesihatan kulit amat rapat kaitannya. DNA menjadi teras kepada sel kulit dan bertanggungjawab memindahkan maklumat daripada satu generasi ke generasi lain selain berfungsi memberitahu sel apa yang boleh dilakukan oleh sel sekiranya mengalami kerosakan,” katanya.

Justeru, keunikan DNA yang berupaya membaikpulih molekulnya sendiri memberi kelebihan kepada kesihatan kulit wajah apabila pada waktu siang.

DNA juga berupaya menerima kerosakan alam sekitar membabitkan matahari, manakala waktu malam adalah saat terbaik ia ‘bekerja’ membaik pulih.

“DNA rosak kerana banyak sebab. Antaranya berpunca daripada cahaya matahari, kerosakan oksidan yang disebabkan oleh radikal bebas dan kerosakan akibat pencemaran udara yang dinamakan alkylation yang menyerang DNA siang dan malam.

“Selain DNA, ada satu lagi bahagian menarik iaitu sirtuins yang termasuk dalam kategori gen manusia khusus membantu manusia menghadapi masalah kemusnahan membabitkan kulit. Sirtuins mengawal dan mengaktifkan DNA untuk mengatasi masalah berkenaan,” katanya.

Yarosh berkata, sirtuins dan DNA mempunyai mekanisme sama apabila beroperasi terhadap manusia. Bertepatan dengan falsafah Estee Lauder, beliau membuat kajian mendalam terhadap kulit sehingga ke peringkat paling optimum dan berharap penemuan itu berupaya membantu manusia menangani masalah kulit dengan baik.

“Kami di Estee Lauder berpegang kepada tiga langkah dalam usaha penyelidikan yang dilakukan iaitu molekul biologi, neurologi dan kimia hijau yang merujuk kepada kajian bersifat mesra alam sekitar.

“Falsafah saya juga adalah ‘melindungi,’ terutama melindungi kulit daripada kerosakan disebabkan matahari, kedua menyediakan nutrien untuk kulit dan ketiga mendapat tidur yang cukup kerana dengan tidur yang cukup, kulit bekerja membaikpulih untuk kesihatan kulit yang lain,” katanya.

Sama ada disedari atau tidak, DNA yang berfungsi menghuraikan setiap inci tubuh manusia itu juga memainkan peranan penting terhadap kulit wajah kerana ia berupaya memperbaiki kerosakan secara semula jadi tanpa bantuan bahan lain ketika kita enak diulit mimpi pada waktu malam.

Teknologi terbaru diperkenalkan Estee Lauder berhubung penjagaan kulit mengambil manfaat daripada perawatan kulit pada waktu malam, Advanced Night Repair Synchronized Recovery Complex Baru (Advance Night Repair) diyakini mampu membekalkan perawatan pada waktu malam secara berterusan terhadap kulit wajah manusia.

Advanced Night Repair memulihkan kulit melalui teknologi kronolux yang menyokong pelarasan semula jadi perawatan dan perlindungan kulit untuk membantu kulit tampak lebih muda.

Penggunaan Advanced Night Repair pada setiap malam juga membantu kulit merawat penampilan kerosakan lalu yang disebabkan oleh setiap serangan persekitaran yang utama secara berterusan seperti serangan lembayung ungu, asap, pencemaran, ozon, malah tekanan emosi, sebelum ia menjadi kekal.

Lebih mengejutkan, adunan khas antioksidan bersama asid hyaluronik dalam Advanced Night Repair yang terbukti tahap ketinggiannya membekalkan kelembapan, bertindak balas untuk membantu mencipta persekitaran ideal untuk perlindungan dan perawatan semula jadi kulit.

Advanced Night Repair juga sudah pun melalui ujian dermatologi, olphthalmologi, tidak menyebabkan jerawat, bebas wangian dan sesuai digunakan pada semua jenis kulit. Ia boleh diperoleh di semua kaunter Estee Lauder pada harga RM210 untuk 30 mililiter dan RM290 (50ml).

Produk Penjagaan Rambut Kerastase Volumorphose, Loreal

Kerastase Volumorphose, Loreal




Kesempurnaan paras rupa bukan saja dengan memiliki kulit yang bersih dan gebu, malah rambut juga penting kerana ia sering digelar mahkota bagi segala kecantikan dan tidak hairanlah jika perbelanjaan besar dilaburkan untuk mengekalkan kecantikan yang dimiliki itu.

Rambut juga diibaratkan seperti aksesori fesyen, menarik untuk dipelbagaikan dengan gaya yang terkini. Kebebasan rambut yang dibiarkan bergerak dengan alunan membuatkan pemiliknya tampak yakin dan bergaya ketika keluar melangkah.

Pengurus Pemasaran Kerastase Loreal Malaysia Sdn Bhd, Joey Lai, mengakui rambut adalah aset utama wanita menyebabkan ia sentiasa diberi perhatian lebih dalam proses penjagaan supaya tampak sempurna sepanjang masa.

"Dalam kebanyakan situasi, wanita tanpa mengira usia akan memastikan rambut mereka sihat, bersinar, tidak mengalami masalah gugur, kelemumur atau bercabang pada bahagian hujung. Bagaimanapun, mungkin ada yang tidak mengetahui cara betul menjaga rambut dengan menggunakan bahan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui pada acara pengenalan produk penjagaan rambut terbaru Kerastase, baru-baru ini.

Kajian di Eropah menunjukkan 42.5 peratus wanita memiliki rambut yang halus dan tidak terlindung daripada kerosakan yang berbahaya serta 24.4 peratus wanita di negara Barat mengalami masalah berkaitan rambut yang serius dan langkah penjagaan yang rapi diperlukan bagi mengembalikan keseimbangan kesihatannya.

“Bagi ingin memberikan kesan alunan semula jadi kepada rambut yang halus dan tidak bermaya, kini boleh dirawat secara kaedah urutan pada rambut dengan penggunaan produk keluaran Kerastase, Volumorphose, satu-satunya bahan bertindak mempertingkatkan kandungan air antara liang rambut yang nipis agar nampak jauh lebih berat dan tebal.

“Rambut yang sangat halus ia mengandungi beberapa lapisan gentian. Gentian ini perlu diperbaiki supaya ia akan membuatkan rambut anda nampak lurus serta tidak mengalami kekeringan," katanya.

Cebisan zarah Silane akan bertukar menjadi pepejal sebaik bertindak balas dengan air. Teknologi Intra-Cylane dapat membantu badan untuk menyuntik masuk himpunan gentian dan membina semula kerosakan serta menebalkan gentian yang terkandung pada kulit kepala.

Katanya, langkah penjagaan bertambah lengkap jika kombinasi tiga bahan, iaitu Bain Volumactive, masque volumactive dan Mousse Volumactive dan koleksi itu perlu digunakan mengikut penggunaan yang betul.

Produk itu mampu memberi rawatan, membetulkan tekstur dan mengawal gerbang rambut agar strukturnya berada dalam keadaan yang kembang, lurus, lembut dan mudah diurus.