Bidasari Spa & Beauty - Pecah lemak cara tradisional

Pecah lemak cara tradisional

Kaedah unik gabungkan teknik urutan guna minyak pati herba dan pemanasan tubuh mampu singkirkan toksid


Senaman adalah satu-satunya cara untuk memecahkan lemak degil yang berkumpul bertahun lamanya. Namun tidak semua orang sanggup melakukannya, sama ada kerana sibuk atau malas. Berdasarkan alasan itu ramai yang memilih ke pusat melangsingkan badan untuk mengurangkan berat badan.

Bidasari Spa & Beauty antara yang turut menawarkan pakej mengurangkan berat badan dan membentuk tubuh menggunakan kaedah tradisional. Kaedah unik itu menggabungkan teknik urutan menggunakan pati minyak herba dan pemanasan tubuh yang mampu memecahkan lemak serta menyingkirkan toksid dalam badan.

Pemilik Bidasari, Rafidah Musa, berkata istimewanya pakej berkenaan kerana menggunakan pati minyak tumbuh-tumbuhan yang terkenal mengandungi anti oksida. Antaranya, minyak zaitun, patchouli yang berbentuk seakan lada hitam, minyak limau, minyak pati beras, halia dan lavender.

“Gabungan Patchouli, limau, halia dan pati beras dapat menyingkirkan toksin yang terkumpul di dalam badan manakala bahan seperti ruby passion dan sitrus pula mampu memecahkan lemak. Urutan dilakukan selama 45 minit yang juga dapat merangsang titik limfatik bagi menyahtoksin tubuh,” katanya.

Kaedah urutan di sini berbeza dengan urutan biasa kerana ia menggunakan teknik mengurut menggunakan jari dan tepukan. Urutan bermula dari bahagian belakang pinggang ke bahagian titik limfatik seperti bawah lengan dan leher.

Urutan itu membawa toksin ke titik berkenaan untuk dikeluarkan daripada tubuh. Selesai mengurut bahagian belakang, tubuh ditepuk-tepuk dengan tapak tangan untuk merangsang peredaran limfatik. Bahagian kaki sehingga paha turut diurut dan menjalani teknik sama.

Selesai diurut, tubuh yang masih disaluti pati minyak ini dibiarkan dan seterusnya dibalut dengan plastik putih bermula dari dada sehingga ke tapak kaki selama 15 minit. Sepanjang tempoh itu, anda dapat merasakan tindak balas pati minyak dengan haba panas yang mula melingkari tubuh.

“Plastik yang membalut tubuh ini dapat menebat haba dan menjadikan tubuh lebih panas. Pati minyak mula menyerap ke tubuh dan bertindak memecahkan lemak serta berlaku perpeluhan. Sebaik dibuka, pelanggan boleh merasakan tubuh basah akibat berpeluh tetapi badan mula terasa ringan. Pelanggan diberikan air suam sebelum mandi dengan air agak hangat bagi mengelakkan demam,” katanya.

Rawatan memecahkan lemak tidak berhenti begitu saja tetapi diteruskan dengan melakukan mandi wap di dalam kotak sauna selama 15 minit. Menggunakan herba tradisional, tubuh terasa hangat selepas beberapa minit dan menyebabkan seluruh badan berpeluh.

Aroma herba menusuk hidung sebaik saja anda melangkah ke dalam kotak sauna ini. Sekali lagi, lemak degil dipecahkan dengan haba panas dan herba pada masa sama meningkatkan kesihatan kulit dan diri.

“Berdasarkan pengalaman pelanggan yang pernah menjalani pakej mengurangkan dan membentuk tubuh ini, mereka kehilangan sekurang-kurangnya 1/2 kilogram setiap kali selepas menjalani rawatan ini. Sebaiknya rawatan ini dibuat seminggu sekali sebanyak lima kali tetapi ini bergantung kepada saiz badan dan jumlah berat badan yang disasarkan,” katanya.

Katanya Bidasari turut memberikan khidmat kaunseling dari sudut pemakanan bagi membantu mempercepatkan penurunan berat badan. Pendidikan pengambilan makanan seimbang penting agar tidak timbul masalah di kemudian hari seperti gastrik atau aneroxia.

“Jika pusat pelangsingan badan lain meminta pelanggan menyekat pengambilan makanan mereka tetapi Bidasari menggalakkan pelanggan makan enam kali sehari. Ini penting bagi memastikan fungsi metabolisma atau proses pembakaran makanan dalam tubuh tidak terganggu dan teratur. Individu yang menyekat makanan dengan tidak mengambil makan tengah hari atau malam hanya membuatkan sistem metabolisma mereka menjadi lemah dan akhirnya tidak dapat membakar makanan dengan sempurna. Akibatnya, mereka bukan saja gagal menurunkan berat badan tetapi menjadi lebih gemuk.

“Mereka yang ingin mengurangkan berat badan perlu berhati-hati dengan makanan yang tinggi kandungan minyak dan lemak. Sebaiknya ambil makanan yang dikukus atau dibakar. Sarapan adalah hidangan yang amat penting dan tidak boleh ditinggalkan. Jika sarapan pada pukul lapan pagi, makan snek seperti roti dengan secawan teh pada dua jam berikutnya apabila perut terasa lapar. Hidangan lain yang tidak boleh ditinggalkan adalah makan tengahari, minum petang dan makan malam iaitu sebaiknya sebelum tujuh malam,” katanya.

Bidasari Spa & Beauty turut menawarkan khidmat lain seperti rawatan wajah, rambut, rawatan tubuh seperti menegangkan payu dara, penyental dan lulur badan, urutan tradisional dan urutan aromaterapi. Terdapat juga rawatan kuku tangan dan kaki dan refleksologi.

Oleh Halina Mohd Noor