Korset moden Lytess


Sejak berzaman lagi usaha melangsingkan tubuh diperoleh menerusi pemakaian korset. Di kalangan orang Inggeris korset dipakai sebelum mengenakan gaun untuk memperlihatkan tubuh kemas dan seksi. Di kalangan orang Melayu pula, penggunaan bengkung ketika hamil, mempercepatkan lagi proses pelangsingan badan kerana secara tidak langsung ia mengurangkan selera makan.

Kesengsaraan mendapatkan tubuh idaman menerusi pakaian menjadikan tidak ramai wanita sanggup memakainya sepanjang hari. Apatah lagi sekiranya ia meninggalkan kesan kegatalan pada kulit akibat fabrik kasar atau peluh. Menyedari masalah itu, maka kosmetoteksil dihasilkan menerusi revolusi pakaian pembentukan badan inovatif baru. Fabrik dicipta tidak sekadar menyerlahkan lengkung badan sebaliknya melembapkan kulit, menjadikannya licin dan lembut.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Lytess Perancis, Marc Vautier, berkata walaupun produk berkenaan baru dibawa masuk ke negara ini, hakikatnya ia sudah bertapak kira-kira enam tahun di Perancis dan diterima ramai kerana ia bukan saja melangsing, tetapi pada masa sama mencantikkan kulit.

“Bagaikan satu fenomena global, kosmetotekstil menawarkan rangkaian produk yang luas menggunakan teknologi fabrik pengaitan tidak berkelim termasuk formula pengurungan mikro yang berkesan dan inovatif menerusi produk dikenali Lytess. Agen kosmetik yang terkandung dalam berjuta-juta kapsul mikro dalam semua produk Lytess, merangsangkan bentuk badan.

“Formula pelangsingan yang dipatenkan itu mengandungi kafein, ramuan yang dikenali dengan keupayaan untuk menggerakkan lemak. Ia kemudian digabungkan dengan mentega shea bagi meningkatkan tindakan rangsangan dengan menyediakan kesan kelembapan pada permukaan kulit, menjadikannya lebih licin. Tindakan sokongan itu adalah serta-merta dengan pengguna dapat melihat pemulihan segera.

“Hingga kini rangkaian produk Lytess adalah produk pelangsingan badan paling selesa dalam pasaran hari ini. Dipakai secara berasingan atau di dalam pakaian, kerana ringan fabrik itu menjadikan ia bagaikan kulit kedua,” katanya.
LAI menunjukkan jenis Lytess yang mempunyai fungsi berbeza untuk mendapatkan tubuh langsing.

Beliau berkata, produk berkenaan diwujudkan selepas penyelidikan dan pembangunan yang rapi selama bertahun-tahun lalu berterusan hingga kini. Untuk membangun prestasi yang lebih baik dalam produk secara berterusan, kawalan ketat terhadap kualiti bagi memastikan pematuhan peraturan kosmetik dan fabrik dilakukan.

Majlis itu turut hadir François Matraire dari Jabatan Komersial Kedutaan Republik Perancis ke Malaysia, mewakili Duta Perancis; Pengarah Urusan inLife (M) Sdn Bhd (inLife), SW Lee dan Penasihat Korporat inLife Sdn Bhd, KK Lai. Produk berkenaan boleh diperoleh di Malaysia menerusi pengedar tunggal mereka, inLife.

Lytess adalah jenama pertama didedikasikan kepada bidang tekstil aktif-bio dan mempunyai visi untuk terus mewujud dan membangunkan kosmetotekstil inovatif menerusi makmal penyelidikan serta pembangunan lanjut yang terletak di Paris. Produk yang dikategorikan dalam tiga siri pembentukan, pemulihan dan antiselulit itu, terdiri daripada Pedal-Pusher Pelangsingan dan Sarung Balut Kaki Pelangsingan Lytess.

Rupanya anggun, mudah dibawa dan tidak menonjol, namun apa yang lebih penting produk pelangsingan itu memberikan keselesaan optimum dan sokongan sempurna. Ia membalut garis badan untuk membentuk mereka secara bebas.

Pengaitan tidak berkelim memberikan keseragaman dan kelicinan untuk kesan kulit kedua. Dijangka 15 peratus daripada ramuan aktif boleh dikekalkan selepas 30 kali cucian mesin basuh. Pedal-Pusher Pelangsingan didapati dalam warna hitam dan berharga RM432, manakala sarung pembalut kaki pelangsingan didapati dalam warna hitam dan berharga RM684.

Tali pinggang pemulihan Lytess atau pembalut bahagian tengah uniseks ini mudah digunakan untuk mengurangkan saiz pinggang anda dengan selesa. ‘Belt’ pinggang unik ini mengandungi kafeina dan mentega shea yang lembap, sebagai kapsul mikro dalam fabrik. Apabila dipakai di dalam pakaian, tali pinggang yang menyerupai bengkung itu dengan perlahan mengeluarkan ramuan berkenaan selain menyediakan sokongan kukuh dan teguh yang secara beransur-ansur memberikan pemakai pinggang dan abdomen lebih langsing dan berbentuk.

Ia disyorkan dicuci selepas penggunaan tiga hingga empat kali dan dijangka 15 peratus ramuan aktif boleh dikekalkan sehingga 30 kali cucian mesin basuh. Selain hitam, produk itu juga didapati dalam warna kulit dan dijual pada harga RM432.

Seluar dalam keanjalan pemulihan Lytess pula memberikan pemulihan pada tahap kulit dan membentuk tanpa mampat. Ia memberikan garis bentuk sempurna sementara tidak menonjolkan. Memulihkan bentuk badan menerusi tindakan berganda, pemulihan serta merta dan bentuk badan yang lebih melengkung. Ia boleh didapati dalam warna putih kuning dan dijual pada harga RM362.

Pedal Pusher Anti-Selulit Lytess pula dihasilkan bertujuan menghapuskan selulit. Sepanjang hari, produk pengurutan-mikro ini adalah penyelesaian dalam mengatasi selulit. Bahan yang dilindungi paten, pengurutan-mikro pengaitan berganda mewujudkan tindakan mekanikal melintang dan menegak seiring dengan pergerakan badan. Sistem eksklusif ini mengurut dan menguatkan badan dan menangani selulit dengan berkesan. Ia didapati dalam warna hitam dan dijual pada harga runcit RM620-00.

Amalkan pemakanan, senaman

PENASIHAT Korporat inLife (M) Sdn Bhd (inLife), KK Lai, berkata walaupun Lytess mencanangkan keberkesanan produk untuk tempoh 21 hari bagi pemakaian sekurang-kurangnya lapan jam sehari, tetapi pengguna disarankan turut mengamalkan pemakanan sihat selain meneruskan senaman ringan.

“Walaupun kami mempromosi pakaian untuk pelangsingan badan, pengguna juga harus mengubah cara hidup lebih sihat untuk hasil maksimum. Bahan kosmetotekstil yang dipatenkan, dicipta dengan penggabungan formulasi kosmetik berasaskan tumbuh-tumbuhan sepenuhnya, tekstil dan teknologi pengurungan mikro, adalah tekstil yang digunakan dalam semua rangkaian Lytess sedia pakai.

“Dengan menggabungkan diet sihat dan pemakaian produk itu menurut spesifikasi yang dicadangkan akan memastikan pengguna melihat kulit yang lebih lembap dan berbentuk dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Katanya, InLife adalah syarikat Malaysia milik penuh yang mengamalkan model perniagaan yang dipacu oleh Lohas dalam operasi harian mereka. Lohas adalah singkatan bermaksud kehidupan yang sihat dan mampan (Lifestyles Of Health And Sustainability), iaitu segmen pasaran yang fokus terhadap kesihatan, kecergasan, persekitaran, pembangunan peribadi, kehidupan mampan dan tanggungjawab sosial.

“Menerusi prinsip inilah yang menjadikan kami terpanggil untuk menjadi pengedar produk mesra alam ini. Walaupun kami membawa masuk beberapa jenis saja produk pakaian pelangsing, pada masa depan kami mungkin akan membawa banyak lagi, berdasarkan permintaan ramai, seperti seluar jeans dan pembalut lengan,” katanya.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof