Naik seri wajah pengantin

Kala bersanding di pelaminan indah, pastinya semua mata memberi tumpuan. Bukan saja terpesona pada busana indah berjahit labuci dan jemeki, juga pada pelamin mewah dengan hiasan moden.

Paling penting, senyuman mempelai yang tentunya menjadi perhatian tetamu. Sebagai raja sehari, setiap wanita mahukan kesempurnaan pada hari bahagia mereka bukan saja dari segi luaran, namun kecantikan dalaman yang menjadi keutamaan.

Menjelang tiga bulan sebelum tarikh perkahwinan walau sesibuk mana sekalipun tugasan di pejabat, wanita yang akan bergelar ratu sehari seharusnya meluangkan masa memberi kemanjaan serta belaian pada tubuh dengan mengunjungi pusat kecantikan yang menyediakan rawatan khusus untuk bakal pengantin.

Antara rawatan khusus berkenaan termasuk sauna, jakuzi, mandi wap, urut dan menyental badan sebagai rawatan asas. Rawatan ini bukan setakat mencantikkan kulit, malah memberi keyakinan kepada mempelai untuk tampil anggun pada hari bahagia mereka.

Menurut pemilik dan Pengarah Urusan Spa D Aura, Dina Abu Bakar, bakal pengantin seharusnya mengambil perhatian dengan mengunjungi spa untuk membuat rawatan badan sekurang-kurangnya tiga kali sebelum tarikh majlis berlangsung.

Ramai wanita tidak tahu rawatan untuk bakal pengantin mampu menaikkan seri wajah serta keanggunan mempelai tatkala bersanding di atas pelaminan indah.

"Antara rawatan asas yang boleh dilakukan adalah sauna, jakuzi, mandi wap dan urut badan. Rawatan ini bukan setakat mencantikkan kulit, tetapi mampu memberi kesegaran pada tubuh dan memastikan bakal pengantin tampil anggun dan yakin pada hari bahagia mereka," katanya.

Dina mengakui sauna mempunyai banyak kebaikan iaitu membuka rongga liang roma, mengeluarkan segala kekotoran atau toksin dalam kulit, menjadikan kulit lebih sihat dan rambut bertambah segar, lebat dan berupaya mengurangkan masalah kelemumur.

Menerusi sauna, kesan panas yang terhasil daripada alat pemanasan itu akan melegakan otot, sekali gus menghilangkan sengal, bisa dan kebas tubuh badan.

"Proses ini akan membolehkan badan mengagihkan lebih banyak zat terutama kepada bahagian kulit dan menggantikan sel mati. Oleh itu, kesan yang amat ketara sekali, diri kelihatan lebih segar dan tampak semula jadi beberapa jam selepas melakukannya," katanya.

Bagi rawatan mandi wap pula, pelanggan akan memasuki sebuah bilik panas dengan suhu tertentu selama 30 minit. Selepas 20 minit, pelanggan akan berasa kadar denyutan pernafasan dan denyut nadi mereka meningkat daripada 75 denyut seminit kepada 100 hingga 150 seminit dalam masa 15 hingga 20 minit mandi wap.

"Apabila ini berlaku, ia akan meningkatkan kadar peredaran darah (bukan tekanan darah) kerana haba daripada wap air akan mengembangkan saluran darah untuk menampung peningkatan pengaliran darah ke seluruh badan.

"Wap juga akan masuk ke rongga pernafasan dan terus ke sistem perjalanan darah serta memberi kesan yang baik kepada organ dalaman badan. Dari aspek perubatan, wap yang masuk melalui rongga pernafasan ini amat baik untuk rawatan resdung, radang paru-paru dan asma," jelas Dina.

Selain sauna dengan keluasan spa 14,710 kaki persegi, D Aura yang menjadi spa terbesar Malaysia, turut menyediakan kolam air panas (jakuzi) dengan reka bentuk yang indah dikelilingi batu dan kayu serta air terjun buatan yang mendamaikan.

Untuk bakal pengantin, berendam dalam air bukan sekadar air panas biasa sebaliknya disertakan tekanan yang dapat memberi kelegaan pada individu.

Istimewanya D Aura apabila jakuzi terbahagi kepada dua bahagian iaitu kolam air panas dan sejuk. Untuk lebih kelegaan serta haruman, titiskan minyak lavendar, pudina dan lemon ke dalamnya.

"Ia membantu untuk memecahkan lemak, mengurangkan selulit serta mengurangkan tekanan selepas penat bekerja.

"Sekiranya suhu air dibekalkan antara 32 hingga 35 darjah Celsius, ia mampu membuka liang rongga serta membantu mengeluarkan toksin dalam tubuh," jelasnya.

Menurutnya, rawatan urut badan mampu memulihkan ketegangan sekali gus mengurangkan tekanan. Rawatan yang dilakukan sebulan sekali atau dua minggu sekali selain mengurangkan masalah angin, memperbetulkan urat juga mampu memberi kesegaran pada tubuh.

"Spa D Aura menyediakan pakar urut terlatih terdiri daripada enam ahli terapi Melayu yang mahir dalam bidang urut tradisional Bali.

"Mereka melakukan urutan untuk antitekanan menggunakan minyak terpilih seperti lavendar, lemon dan pudina. Biasanya urutan selama 30 minit sehingga satu jam bergantung kepada kemampuan pelanggan," kata Dina.

Pakej perkhidmatan untuk bakal pengantin bermula daripada harga RM138 sehingga RM498 yang menyediakan rawatan asas seperti sauna, jakuzi, mandi wap dan urut badan.

Bayaran dikenakan turut merangkumi perkhidmatan menonton televisyen, berehat di ruang bacaan dan menjamu selera di kafe spa.

Sekiranya bosan mengunjungi spa sendirian, anda disarankan membawa teman atau suami. Ini kerana rawatan untuk pasangan juga disediakan dalam bilik yang sama.

Usah bimbang mengenai keluasan ruang kerana D Aura mampu memuatkan antara 30 hingga 50 orang pada satu masa.

Bagi mendapatkan sesi rawatan badan pula, pengunjung tidak perlu menunggu lama memandangkan ia menyediakan 20 bilik rawatan yang dilengkapi bilik air serta bilik berbentuk bulatan untuk VIP yang dipenuhi cermin besar dari atas ke bawah. Setiap bilik dengan rekaan menarik serta romantik diiringi haruman segar dan mengasyikkan serta alunan muzik tradisi Jawa.

"Saya berhasrat menjadikan spa ini pusat sehenti untuk wanita. Selain itu, kami dalam perancangan untuk menempatkan gimnasium dengan peralatan senaman canggih, juga butik menjual pakaian, perhiasan serta produk kesihatan. Saya mahu memastikan semua wanita tampil cantik dengan hanya mengunjungi spa saja," kata Dina menyatakan impiannya.

Spa D Aura boleh dikunjungi di D Aura Beauty Centre, G30 & LG30, Plaza South City Seri Kembangan, Selangor atau layari laman sesawang www.dauraspa.com.