Tidak kira si kecil atau orang dewasa, aiskrim antara hidangan yang tidak boleh dilepaskan. Keenakan rasanya sebaik mencecah bibir, satu nikmat yang cukup mengasyikkan. Tidak hairanlah, ke mana saja anda pergi ais krim antara hidangan yang pasti hendak dicuba.
Baik perisa buah-buahan yang unik, mahupun sekadar rasa biasa seperti vanila dan coklat. Antara ais krim yang menjadi sebutan, tentunya ais krim durian, ais krim kelapa dan ais krim teh hijau yang sering dihidangkan di restoran Jepun.
Menyedari cita rasa masyarakat itu, kafe Lecka-Lecka yang terletak di gedung beli-belah berprestij, Starhill Gallery tampil memberi kelainan dengan menawarkan aiskrim segar dihasilkan daripada resipi yang diturunkan sejak 60 tahun lalu.
Bagi mereka yang menggemari kelainan, cubalah hidangan aiskrim yang diberi nama Danger. Aiskrim coklat berasaskan tenusu diisikan dalam bekasnya, tetapi tampak garang dengan hiasan hirisan cili merah di atasnya.
Sekali imbas, mungkin ada yang menyangka ais krim berkenaan pedas rasanya, walaupun berwarna coklat berikutan kehadiran hirisan cili merah itu. Tetapi, apabila berada di dalam mulut, rasa susu segar yang ditambah coklat pasti membangkit selera.
Antara perasa yang lain turut menjadi kegemaran dan tidak boleh dilepaskan peluang ialah aiskrim yang berasaskan tenusu (gelato) segar seperti coklat, vanila dan kopi selain sorbets buah-buahan termasuk tembikai, pisang serta epal.
Begitu pun, bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti penghidap kencing manis dan alahan kepada produk tenusu, jangan bimbang. Lecka- Lecka turut menyediakan aiskrim khusus. Cubalah ais krim berperisa soya yang 100 peratus bebas gula.
Menarik mengenai aiskrim di kafe berkenaan, kebanyakan adalah 94.9 peratus bebas lemak dan sesuai untuk pengamal vegeterian kerana ia tidak dibancuh dengan telur. Selain itu, aiskrim lazat terdapat di premis itu juga tidak mengandungi udara tambahan yang mampu membuatkan pengambilannya menjadi kembung.
Tidak cukup dengan aiskrim, Lecka-Lecka juga menyediakan hidangan enak dan istimewa yang berasaskan pasta, pizza, nachos, salad, spageti dan kebab sesuai memenuhi selera dan menambat hati semua kaum tidak kira pelancong mahupun warga negara tempatan.
Seperti vegi risotto, ia dihasilkan daripada nasi berkanji dihidangkan bersama sayuran. Ditambah pula dengan vegi samosa dicelup dengan sos dadih sesuai bagi mereka yang mengamalkan pengambilan makanan sayuran.
Piza Maghanetten Hawaiee yang dihasilkan Lecka-Lecka juga memberi kelainan ketika menjamu selera kerana ia boleh didapati dengan taburan daging kebab yang dicincang dan disertakan dengan sos pasta di atasnya bagi memberi kelainan.
INFO: Lecka-Lecka
* Lokasi: Starhill Gallery
* Waktu operasi: Bermula petang hingga ke larut malam.
* Produk: Ais krim sebagai menu utama, tetapi turut menyediakan hidangan berat bagi mereka yang ingin menikmati makan tengah hari atau pun malam.