Kemodenan gaya hidup yang dilalui masyarakat kota menyebabkan ramai di antara kita lebih suka memilih sesuatu yang ringkas dan cepat bersesuaian dengan tuntutan masa yang dianggap sangat berharga.
Bagaimanapun, alangkah baiknya jika kita dapat memperuntukkan sedikit waktu untuk menikmati seni urutan tradisional Melayu sepenuhnya yang semakin sukar diperoleh pada masa ini.
Sentuhan urutan tangan dengan haruman minyak aromaterapi menggunakan bahan tradisional mampu membangkitkan perasaan lega selepas penat keletihan bekerja dan menguruskan rumah tangga sepanjang hari.
Malah, bagi mereka yang baru melahirkan anak, rawatan tradisional seperti itu mampu mengembalikan kesegaran tubuh badan dan mempercepatkan proses pemulihan tenaga.
Kemudahan itu boleh dinikmati di Tanamera Wellness Spa di Pertama Kompleks, Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menyediakan rangkaian pakej tradisional Melayu yang lengkap bermula sebelum wanita berkahwin.
Pengusaha spa berkenaan, Rohana Muhd, berkata kekayaan seni rawatan tradisional Melayu berasaskan Kesultanan Perak menjadi pertaruhannya ketika memulakan perniagaan spa itu bermula September tahun lalu.
Antara khidmat yang disediakan menggunakan produk Tanamera itu termasuk urutan tradisional Melayu, pakej rawatan untuk perkahwinan, cucian muka tradisional, rawatan kaki, rawatan selepas bersalin, rawatan rambut dan mandian wap dan herba.
"Kita menyediakan empat bilik rawatan iaitu dua bilik untuk urutan holistik (urutan minyak panas), rawatan wajah dan menyental badan, manakala satu bilik khusus untuk urutan tradisional Melayu yang dilakukan atas lantai, selain bilik untuk mandian wap dan herba," katanya.
Ada lapan jenis skrub digunakan untuk urutan iaitu lulur yang mengandungi kunyit jawa, beras pulut hitam dan daun pandan; boreh yang mengandungi halia, bunga cengkih dan pandan; kopi tropikal (beras, kopi, daun limau purut, pandan); kelapa kering; skrub halia limau purut; koko; garam bukit himalaya yang bercampur minyak halia dan serai wangi serta skrub gula perang yang dicampur minyak kenanga dan tebu.
Paling istimewa, selain menggunakan minyak selasih untuk urutan, Tanamera turut menggunakan minyak halia, minyak herba campuran serai wangi, minyak kopi hijau dan minyak kelapa dara, tetapi ditambah dengan campuran bawang merah, lengkuas, limau purut dan pandan untuk urutan panas.
Untuk rawatan wajah, skrub kacang hijau, minyak kelapa dara dan masker beras hitam digunakan.
Tiga pakar urut disediakan untuk memberi khidmat rawatan yang disediakan khusus untuk wanita dengan pakej khas untuk bakal mempelai sebelum melangkah ke dunia baru.
"Seeloknya, sebulan sebelum berkahwin, bakal pengantin disaran menjalani empat kali rawatan dalam sebulan untuk membelai wajah, badan, rambut dan kaki serta menaikkan seri, melembut, menyegar dan melembapkan kulit.
"Selepas berkahwin pula, mereka boleh meneruskan rawatan yang disukai untuk mengekalkan kesegaran tubuh badan, sekali gus memelihara kesihatan dan mampu melambatkan penuaan," katanya.
Spa itu juga menyediakan pakej lengkap rawatan selepas bersalin dengan urutan tradisional Melayu, sama seperti yang diberikan bidan kampung sebelum ini.
Antara lima hingga 10 kali urutan badan ditawarkan mengikut kemahuan pelanggan yang antara lain berfungsi untuk menaikkan peranakan, memulihkan tenaga, melancarkan peredaran darah dan mengembalikan kesegaran.
"Kemudahan disediakan di sini dapat mengatasi masalah kesukaran masyarakat kota untuk mendapatkan khidmat urutan dan rawatan tradisional seperti di kampung. Walau bagaimana moden sekali pun, kita pasti tidak melupakan akar umbi masyarakat Melayu yang kaya dengan keunikan tradisional yang memberi kesan baik jika diamalkan.
"Di sini, wanita yang bersalin diberi rawatan bertungku dan demah menggunakan alat khas yang mengandungi bahan herba yang mampu menyerap dalam kulit. Kesannya, badan bukan saja berbau wangi, malah kita rasa segar selepas banyak kehilangan tenaga ketika melahirkan anak," katanya.
Rohana berkata, wanita kemudian akan menjalani proses mandi wap atau herba, bertangas, meletakkan tapel iaitu campuran tanah liat dan herba pada perut sebelum dibarut (bengkung), menyapu param di seluruh tubuh dengan campuran herba untuk membantu mengurangkan air dalam badan dan melancarkan peredaran darah, meletakkan pilis di dahi dan diakhiri dengan minuman teh herba limau purut atau serai wangi yang dicampur halia.
"Semua proses ini hanya mengambil masa selama dua jam setengah saja sehari dan mereka boleh menjalani rawatan ini secara pilihan sama ada selama lima atau 10 hari. Rawatan ini juga mampu mengembalikan bentuk tubuh wanita yang sedikit terjejas akibat mengandung selama sembilan bulan.
"Berdasarkan maklum balas yang diterima, masih ramai yang memilih rawatan tradisional secara manual menggunakan tangan, berbanding peralatan moden," katanya.
Mengulas penggunaan produk Tanamera untuk semua rawatan di spa miliknya itu, Rohana berkata, ia bersesuaian dengan konsep tradisional Melayu yang ditampilkan kerana produk itu berasaskan limau purut, pandan, serai wangi dan rempah ratus termasuk cengkih dan kayu manis.
"Kita menggalakkan mereka membuat temu janji terlebih dulu sebelum membuat rawatan bagi memudahkan persiapan awal dilakukan, sekali gus mengelakkan mereka menunggu lama," katanya.