Jean perempuan pertama diperkenalkan oleh Levi's adalah pada tahun 1935. Ketika itu pemakaian jean lebih kepada unsur lasak iaitu ketika menunggang kuda mahupun melakukan kerja-kerja di ladang.
Fungsi jean wanita berubah seiring perubahan arus masa dan trend. Levi's Lady terutamanya amat unggul dalam menghasilkan potongan seluar jean wanita yang amat selesa dipakai dan praktikal.
Daripada fungsi lasak, Lady Levi's kini lahir dengan ciri penuh feminin menyerlahkan lagi penampilan wanita.
Baru-baru ini bertempat di The C. Club, Pavilion Levi's melancarkan kempen pengiklanan seluruh Asia sekali gus memperkenalkan Levi's Lady Style 2009, koleksi pemakaian fesyen jean.
Koleksi ini didedikasi kepada wanita Asia yang berani tampil menyerlahkan ciri kewanitaan mereka.
Kempen yang dinamakan Sculpt Your Silhouette mengetengahkan konsep penampilan dari hujung rambut ke hujung kaki dalam potongan yang lebih seksi menampakkan susuk tubuh si pemakainya.
"Levi's Lady Style ini akan menjanjikan penampilan seseorang wanita itu sentiasa elegan walaupun dalam apa jua majlis formal atau tidak sekalipun. Koleksi ini juga lengkap dengan aksesori tambahan yang menjadikan wanita kelihatan lebih yakin dan sempurna bukan untuk pandangan orang lain malah untuk kepuasan dirinya juga," ujar Anitha Narayanan, ketua jenama Levi's.
Pelancaran kempen tersebut turut dihadiri oleh para artis dan selebriti tanah air terdiri dari pengacara Daphne Iking, peragawati antarabangsa, Amber Chia, pensyarah dan penyanyi, Syafinaz Selamat, penyanyi, Noryn Aziz, bekas ratu Malaysia, Deborah Henry, pelakon dan model antarabangsa, Carmen Soo, juga pengacara dan model, Stephanie Chai.
Kempen ini akan bermula pada September ini bersempena pelancaran Levi's Lady Style koleksi musim luruh 2009 di seluruh butik Levi's di Asia.