Vibrance Kegel Device bantu kesukaran mengawal kencing

Kajian oleh Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat mendapati kira-kira 30 peratus wanita pernah mengalami kesukaran mengawal kencing.

Kajian sama yang dilakukan di Malaysia menunjukkan wanita di negara ini juga berdepan dengan situasi yang sama.


Kesukaran mengawal kencing sebenarnya bukan sahaja memalukan, malah sering membuatkan kaum wanita berada dalam keadaan serba-salah.

Sebenarnya masalah ini berpunca daripada otot lantai pelvis yang lemah.

''Kehamilan, melahirkan bayi, berat badan berlebihan, usia tua dan tabiat merokok biasanya akan menyebabkan kaum wanita terdedah kepada masalah seperti ini,'' kata Presiden Continence Foundation Malaysia, Dr. Peter Ng.

Katanya, wanita yang memiliki otot lantai pelvis yang kuat akan memberikan pelbagai kelebihan kepada mereka.

''Ia yang membolehkan seseorang wanita itu melalui tempoh mengandung dengan selamat kerana dapat menanggung tambahan berat bayi dan kelahiran juga akan berjalan dengan lancar,'' katanya.

Selain itu, katanya, otot lantai pelvis yang kuat juga akan membuatkan seseorang wanita yang sudah putus haid mampu mengawal kencing.

Secara keseluruhan ia juga turut membantu meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan wanita serta meninggikan keyakinan diri.

''Kaum wanita juga akan memiliki pengalaman seksual yang lebih tinggi dan hubungan yang sihat dengan pasangan mereka,'' katanya.

Menurut Dr. Ng, masalah otot lantai pelvis yang lemah tidak semestinya bersifat kekal. sebaliknya ia masih boleh diatasi terutama melalui senaman Kegel.

Katanya, senaman Kegel yang diperkenalkan oleh Dr. Arnold Kegel sekitar tahun 1940-an telah terbukti mampu menguatkan dan mengentalkan otot lantai pelvis yang lemah antaranya disebabkan faktor penuaan, melahirkan anak dan sebagainya.

Senaman itu melibatkan pergerakan regangan dan merehatkan otot lantai pelvis yang kadang kala juga dipanggil otot Kegel.

Untuk menjadikan senaman itu berkesan, satu alat peranti canggih yang dikenali sebagai Vibrance Kegel Device telah diperkenalkan.

Pengarah Pembangunan Pemasaran Bioinfinity (M) Sdn. Bhd., Ng Shea Kang, berkata, ia merupakan peralatan sokongan bagi senaman Kegel yang merupakan pilihan yang selamat untuk menguatkan otot lantai pelvis.

Selain itu, katanya, alat peranti ini paling berkesan untuk menyokong senaman Kegel kerana ia dapat menentukan sama ada otot yang betul telah diberikan senaman.

''Pengguna dapat merasai getaran maklum balas bio yang lembut dengan menghasilkan rangsangan positif terhadap otot,'' katanya.

Katanya, alat peranti itu direka untuk meningkatkan kekuatan pengecutan otot vagina, menguatkan otot cerut pundi kencing, membantu memperbaiki kualiti kehidupan, menambah baik postur tubuh, mencantikkan tona otot abdomen dan mengembalikan bentuk badan.

''Peranti yang mesra pengguna ini direka dengan mengutamakan aspek keselamatan dan keselesaan,'' tambahnya.

Selain itu, ia berbentuk kompak, ringan dan sesuai bagi golongan wanita yang sentiasa bergerak cergas kerana mereka bebas untuk menggunakannya pada bila-bila masa tanpa rasa malu,'' katanya.

Malah jelasnya, alat peranti ini yang berharga RM598 ini boleh didapati daripada ahli urologi dan pakar ginekologi di seluruh negara yang mampu dimiliki berbanding pembedahan yang mungkin mendatangkan komplikasi.