Novel Playboy itu Suami Aku?

Playboy itu Suami Aku?

Novel Playboy itu Suami Aku? karangan Suri Ryana mengangkat kisah Afina yang mengahwini Adrian, meskipun sedar pemuda itu seorang `playboy' kerana mereka berdua mempunyai agenda sendiri dan perkahwinan itu sebenarnya bersyarat.

Afina ditakdirkan koma akibat kemalangan dan mengalami amnesia sesudah pulih hingga langsung tidak mengenali Adrian, selain dalam ingatannya yang kekal ialah lelaki berkenaan hidung belang yang mesti dijauhi wanita.

Kemuncak novel ini, hubungan Afina dan Adrian memutikkan bunga cinta dan pertengkaran sesama mereka adalah `ramuan' terbaik naskhah ini yang menyebabkan puluhan ribu unit novel ini berjaya dijual di pasaran.

Pembaca semakin ingin tahu ke mana arah hubungan pasangan suami isteri ini, apabila Afina mengambil keputusan untuk meninggalkan Andrian.


Meskipun kisah cinta dalam novel ini klise dan tiada yang luar biasa, tetapi Suri ternyata ada gaya tersendiri melalui bahasanya yang mudah dan bagus, walaupun tidak puitis, selain bijak mengolah plot cerita menjadikan novel ini mantap dalam kategorinya.

Suri Ryana, nama samaran Sharifah Nurilyana Syed Fesal yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang. Anak sulung daripada tiga beradik ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Binaan (Fakulti Perumahan, Bangunan Perancangan). Playboy itu Suami Aku? adalah novel ketiganya selepas M.A.I.D dan Isteri Separuh Masa. Suri Ryana kini menetap di Dongdaemoongu, Seoul, Korea Selatan.


Ulasan Hafizah Iszahanid

Playboy itu Suami Aku?

* Penulis: Suri Ryana

* Terbitan: Kaki Novel

* Harga: RM24

* Bintang: ***