Keuntungan Maxis RM2.44b pada 2014

Keuntungan Maxis RM2.44b pada 2014

Maxis Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai RM502 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat 17 peratus berbanding RM428 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi kukuh suku keempat itu disumbangkan oleh pertumbuhan 2.2 peratus hasil perkhidmatannya kepada RM2.09 bilion, daripada RM2.05 bilion pada suku terdahulu.


Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, syarikat telekomunikasi itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM2.44 bilion, bersandarkan pendapatan sebanyak RM8.38 bilion.

Maxis terus meningkatkan hasil daripada segmen data, walaupun mengalami impak daripada hasil yang terjejas sebanyak RM16 juta berikutan kajian semula harga caj bayar bagi setiap penggunaan (PPU) untuk segmen pascabayar.

Hasil internet mudah alih (MI) meningkat 8.4 peratus pada suku keempat, didorong oleh momentum yang diperoleh daripada bahagian segmen produk 'bebas berasa risau' dan penembusan telefon pintar lebih tinggi.

Setakat akhir Disember 2014, Maxis mempunyai 8.8 juta pengguna internet mudah alih dengan penembusan telefon pintar 57 peratus.

Hasil daripada MI syarikat itu kini merangkumi 32 peratus daripada pendapatan mudah alih.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Morten Lundal, berkata terdapat banyak perubahan yang perlu dilakukan syarikat ketika ia melangkah ke tahun 2014, namun berjaya melaksanakan perubahan terbabit.

Malah, katanya peralihan Maxis kepada sebuah syarikat digital berprestasi tinggi juga semakin mantap.

"Kami terus berjaya menambahkan lagi pelanggan yang menjana hasil, terutama dalam segmen prabayar yang mengalami kemerosotan besar sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Mengenai masa depan, Lundal berkata Maxis mempunyai momentum positif dan dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan rangkaian data terbaik dan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan.

Buku: Jurnal Haji Pengubat Rindu

Judul: Jurnal Haji Pengubat Rindu
Penulis: Intan Yaacob
Penerbit: Telaga Biru
Harga: RM20

Jurnal Haji Pengubat Rindu ini mengisahkan pengembaraan tetamu Allah dalam mengerjakan haji di Tanah Suci.

Pengembaraan haji ini bermula pada hari pertama bergerak ke Tanah Suci dan berakhir sebaik saja tiba di tanah air.

Pelbagai pengalaman suka duka dan pahit manis diceritakan dalam buku ini supaya menjadi panduan berguna kepada bakal jemaah haji.

Buku: Jurnal Haji Pengubat Rindu

Membaca buku ini seperti kita sendiri berada di Tanah Suci dan merasai pengalaman indah penulis ketika berada di sana.

Penyampaian jurnal berbentuk catatan harian dalam bentuk penulisan mudah menimbulkan keinginan kepada pembaca untuk ke Tanah Suci dan merasai sendiri pengalaman menarik itu.

Penulis juga memberi pelbagai tip berguna kepada pembaca mengenai cara menjaga adab dan tatasusila ketika berada di Tanah Suci yang boleh dijadikan panduan kepada semua.

Rangkaian pembersih wajah Hada Labo

Rangkaian pembersih wajah Hada Labo

Wajah anggun menawan bermula dengan kulit yang bersih. Oleh itu, rejim pembersihan yang kerap penting untuk membantu menanggalkan kotoran dan sel kulit mati daripada permukaan kulit.

Kotoran, minyak dan sel kulit mati yang terkumpul bukan saja menyebabkan kulit kusam tidak bermaya tetapi turut menghalang kulit daripada menyerap kandungan berfaedah produk penjagaan kulit.

Jenama terkenal, Hada Labo memperkenalkan tiga produk pembersihan wajah terbaru iaitu pembersih wajah Deep Clean & Blemish Control, Deep Clean & Pore Refining dan Hydra & Whitening.

Setiap satu produk memberi tumpuan kepada masalah kulit tertentu dialami seseorang.

Ia dirumus dengan Bentonite Clay yang mempunyai 70 jenis mineral hasil mendapan abu gunung berapi semula jadi. Bahan ini membantu menyerap kotoran dan minyak dengan efektif daripada kulit.

Selain teksturnya yang halus, ia mampu menanggalkan sel kulit mati serta membersihkan liang pori dan memperbaiki tekstur kulit.

Asid hyaluronic ramuan penting dalam produk pembersih wajah ini kerana ia memiliki perintang kelembapan serta memelihara dan mengunci lembapan jauh ke dalam kulit untuk kelembapan berpanjangan.

Rangkaian pembersih wajah Hada Labo boleh didapati di farmasi seluruh negara.

Pembersih wajah Hada Labo Deep Clean & Blemish

* Ia sesuai untuk kulit berjerawat dan berminyak. Kandungan Wild Pansy dalam produk ini mempunyai kuasa antijerawat dan membantu menyeimbangkan kadar sebum kulit wajah.

Ia juga mengandungi asid salicylic untuk menghilangkan sel kulit mati serta menjadikan kulit lebih sihat, bersih dan mulus.

Pembersih wajah Hada Labo Deep Clean & Pore Refining

* Ia sesuai untuk kulit dengan bukaan liang pori yang besar serta berminyak. Produk ini membersih dengan mendalam, mengawal penghasilan sebum, membantu mengecilkan saiz liang pori dan memperbaiki penampilan kulit.

Produk ini mengandungi alpaflor alpsebum (dari pokok alpine) yang membantu mengawal aktiviti menghasilkan sebum, mengekalkan kulit tanpa kilauan dan liang pori kurang jelas.

Pembersih wajah Hada Labo Hydra & Whitening

* Produk ini sesuai untuk kulit kusam dan kering. Ia mengandungi bahan antioksidan dan agen pencerahan kulit yang efektif selain fucosorb iaitu ekstrak rumpai laut yang berfungsi dalam pembinaan rangkaian selular kulit dan mempunyai kesan lembapan serta antioksidan.