Deepavali buffet di Maya Brasserie, Hotel Maya Kuala Lumpur

Masakan cita rasa India

Sempena sambutan Deepavali ini, jamu orang tersayang dengan pelbagai hidangan makanan laut segar yang disediakan di Maya Brasserie, Hotel Maya Kuala Lumpur.

Pelbagai menu menarik yang menggabungkan masakan masyarakat India boleh dinikmati seperti kari ketam, ikan tandoori, spageti marinara, salmon panggang dengan sos bawang, kurma sotong dan kepah yang dihidang bersama krim ketumbar.

Bermula 5 hingga 16 November ini, pengunjung boleh menikmati hidangan makan tengah hari secara bufet pada harga RM78 setiap orang.

Selain itu, terdapat juga promosi Deepavali Hi-Tea yang boleh dinikmati pada 13 November ini bermula jam 12 tengah hari hingga 4 petang dengan harga RM55 setiap seorang dan RM30 untuk kanak-kanak berumur antara lima hingga 12 tahun.

Untuk pengunjung yang menggemari hidangan sup, terdapat juga pelbagai pilihan yang disediakan di restoran Still Waters bagi mereka yang menitikberatkan makanan sihat.

Dihidang secara panas, ia boleh dinikmati bermula November hingga Disember bertempat di pintu masuk utama Hotel Maya Kuala Lumpur bermula pada harga RM38 hingga RM50 untuk makan tengah hari dan makan malam.

Pelbagai pilihan masakan Jepun seperti oki dobin mushi iaitu sup yang dimasak menggunakan makanan laut yang dikukus dan dicampur bersama sayur-sayuran yang menyegarkan tubuh badan.

Bagi mereka yang gemarkan masakan pedas pula, pilihan sup miso yang dimasak bersama makanan laut atau sup bebola itik antara hidangan menarik yang harus dicuba.

Hidangan sup Kantonis tidak dilupakan dan pengunjung boleh rasai keenakan sup ayam ginseng hitam, salmon, herba serta kerang bagi mereka yang inginkan rasa rempah sebenar.

Sementara itu, sepanjang November hingga Disember ini juga, jangan lepaskan peluang meluangkan masa bersama keluarga atau teman rapat di Ramah Tamah dengan menikmati keenakan pelbagai cita rasa kek dan sandwic.

Terletak di aras satu hotel berkenaan, ia menawarkan suasana santai untuk memberi keselesaan kepada pengunjung.

Dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula 7 pagi hingga 7 petang, ia menawarkan pelbagai cita rasa kek pada November ini seperti kek span coklat, marshmallow serta badam yang boleh dinikmati bersama sandwic berinti salmon salai, kepingan daging ayam belanda dan kentang goreng.

Pada Disember pula, nikmati kek enak yang menawarkan pilihan rasa epal hijau, badam atau gabungan limau vanila.

Tambah lengkap apabila hidangan kek berkenaan dinikmati bersama sandwic dengan hirisan daging ayam belanda yang dipanggang dan sos krim perisa kranberi, salad serta kentang goreng.

Rasai kemanisan dan keenakan pelbagai pilihan rasa kek yang ditawarkan untuk November dan Disember ini saja pada harga RM9 sepotong dan RM85 setiap kilogram manakala sandwic bermula RM25 setiap satu.