Hutan menyimpan seribu rahsia alam. Hanya individu yang rajin meneroka hutan saja yang mungkin mengetahui sejauh mana keistimewaan hutan yang ada di negara kita. Misalnya, tongkat ali atau kacip fatimah yang tergolong dalam kategori tumbuhan herba yang ada di dalam hutan sana dan diperakui bermanfaat untuk kesihatan luar dan dalam.
Hakikatnya, hutan di Malaysia mempunyai lebih daripada itu kerana ada tumbuhan hutan yang boleh dipelbagaikan kegunaannya termasuk menjadi produk kosmetik hebat untuk kecantikan wanita. Forest'secret membongkar rahsia dan khazanah hutan untuk kesejahteraan manusia umumnya.
Barangkali ada yang masih ingat beberapa laporan mengenai produk kosmetik dari luar negara yang didakwa dihasilkan daripada uri manusia dan kosmetik mengandungi bahan hidrokuinon yang mendatangkan kesan buruk kepada pemakai.
Ramai yang mula berhati-hati memilih jenama produk kecantikan wajah dan badan kerana tidak mahu menggunakan produk daripada bahan berbahaya untuk kesihatan secara menyeluruh.
Sehubungan itu, produk tempatan berasaskan bahan semula jadi seperti herba dan tumbuhan hutan mula menjadi perhatian kerana diyakini kesahihan statusnya dari segi halal haram serta kesan jangka masa panjang yang tidak memudaratkan pengguna.
Menyedari keyakinan pengguna terhadap produk kosmetik berasakan alam semula jadi mula mendapat perhatian, ada ramai pengusaha mengambil langkah positif memanfaatkan hasil alam untuk dijadikan produk kosmetik.
Antara jenama alat kosmetik yang memanfaatkan kebaikan bahan semula jadi itu ialah Forest'secret yang memasarkan pelbagai jenis produk penjagaan badan dari hujung rambut hingga hujung kaki dan juga produk kosmetik.
Pengurus Besar Forest'secret, Intan Hyriatee Mohd Zawai, berkata FS adalah rangkaian kedai kelengkapan kesihatan yang diwujudkan Perbadanan Nasional Bhd (PNS), menerusi anak syarikatnya, PNS Francais Sdn Bhd bagi membantu usahawan tempatan memasarkan produk buatan tempatan.
"Forest'secret diwujudkan dalam usaha menyediakan peluang perniagaan kepada pengusaha produk kosmetik tempatan di samping memanfaatkan hasil kekayaan hutan semula jadi yang ada di negara ini.
"Sehingga kini, Forest'secret mempunyai 18 pengusaha yang membekalkan produk kosmetik yang dihasilkan sepenuhnya daripada herba dan tumbuhan tempatan selepas melalui proses kajian serta penyelidikan rapi mengenai manfaatnya kepada pengguna sebelum dipasarkan kepada masyarakat," katanya ketika ditemui di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Forest'secret lebih kepada rangkaian kedai seperti pusat sehenti yang berfungsi mengumpul produk yang diperoleh daripada pengusaha produk kecantikan dari seluruh negara. Kebanyakan yang membekalkan produk daripada herba semula jadi itu adalah usahawan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.
"Forest'secret mendapat bekalan daripada pengusaha terbabit. Kemudian produk berkenaan akan dibungkus, dilabel dan melalui proses penjenamaan semula serta akan dijual di kedai di bawal label Forest'secret.
"Sehingga kini, jenama Forest'secret merangkumi empat kategori iaitu kelengkapan penjagaan badan, set spa dan aromaterapi, makanan kesihatan serta pelbagai himpunan warna untuk solekan," katanya.
Mungkin ramai yang sangsi apabila mengetahui bahawa Forest'secret memasarkan produk tempatan, hakikatnya pengusaha tempatan juga mengamalkan standard tertentu dalam pengawalan mutu selain melalui beberapa fasa kajian dan penyelidikan berbulan lamanya untuk memastikan produk akhir yang sampai ke tangan pengguna adalah memuaskan.
"Bagi memastikan mutu produk adalah memuaskan dan setanding dengan produk luar, kajian dari pelbagai aspek dilakukan. Malah ada yang memakan masa lebih daripada setahun bagi mendapatkan hasil yang benar-benar meyakinkan.
"Sehubungan itu, pengguna tidak perlu risau mengenai mutu pembuatannya kerana ia melalui prosedur yang ditetapkan sebelum produk berkenaan dipasarkan," katanya.
Sehingga kini, terdapat lebih 68 produk berasaskan herba di premis Forest'secret, antaranya di The Curve, Petaling Jaya, Sunway Pyramid, One Utama, Pasar Seni, Jonker Street, Melaka dan Plaza Angsana Johor Bahru.
Individu yang berminat menerokai perniagaan berasaskan herba mungkin boleh mengintai peluang menjadi pengedar produk itu melalui sistem kiosk atau butik berdarkan syarat yang ditetapkan Forest'secret. Sebarang maklumat mengenainya, hubungi talian 03-77257527 atau layari laman web www.forestsecret.com.
Produk daripada herba diiktiraf
Pengiktirafan The Brandlaureate Asia Pasific yang diterima pada 2007 ternyata membuktikan produk berasaskan herba semula jadi itu diperakui masyarakat global akan kebaikannya.
Herba semula jadi seperti tongkat ali, mas cotek, misai kucing, kacip fatimah, roselle, bunga raya, delima, minyak kelapa dara, limau purut, inai, pegaga, sirih dan manggis antara yang diperoleh daripada alam semula jadi Malaysia sebenarnya kaya dengan bahan yang amat berguna untuk kulit manusia.
Pengurus Besar Forest'secret, Intan Hyriatee Mohd Zawai, berkata Forest'ssecret adalah produk berasaskan semula jadi yang memberi banyak manfaat untuk individu yang menggunakannya, justeru penerimaan anugerah Jenama Terbaik Kelengkapan Badan dan Kulit untuk Pengguna 2007 membuktikan produk herba diterima luas penggunaannya dalam kehidupan seharian manusia.
"Tidak dinafikan tumbuhan herba mempunyai banyak kebaikan untuk manusia. Justeru, Forest'secret mengambil langkah tepat apabila menghimpunkan produk daripada herba di bawah satu bumbung untuk memudahkan pengguna mendapatkan bahan semula jadi bagi kegunaan harian mereka.
"Himpunan solekan seperti gincu, pelembap bibir, bedak padat, bedak asas dan maskara misalnya, bahan utama pembuatannya adalah minyak kelapa dara yang membekalkan kelembapan semula jadi kepada kulit," katanya.
Intan berkata, ekstrak manggis yang terdapat di dalam bedak padat, bedak asas dan bedak serbuk juga diketahui mengandungi bahan antioksidan yang sangat berguna untuk kesihatan manusia.
Selain ekstrak manggis, betik dan gamat, sirih juga tidak terkecuali menjadi bahan penting dalam proses pembuatan produk berasakan herba yang dipasarkan Forest'secret itu. Cogankata 'semula jadi seperti anda' yang menjadi moto jenama itu ternyata meletakkan produk berasaskan herba semula jadi ini pada tahap membanggakan kerana produk yang dihasilkan menawarkan perkhidmatan bertaraf global.
Set makanan kesihatan pula seperti teh serai, teh sirih, teh mas cotek dan kopi, manakala minuman pula dihadirkan dalam gabungan roselle dan misai kucing, tongkat Ali, halia, kayu manis serta madu.
Minuman herba itu dirumus khusus untuk melancarkan perjalanan darah dalam badan, meningkat stamina dan metabolisme, menyahtoksid dalam badan, membantu proses penghadaman dan membekalkan gaya hidup sihat kepada individu yang memanfaatkan produk berkenaan.