Sinopsis novel Beautiful Asmara karya Aina Emir

 Sinopsis novel Beautiful Asmara

Beautiful Asmara membawa kisah gadis kampung berusia 23 tahun, Fira Asmara atau Fir, siswazah tempatan yang digelar fashionista dalam kalangan rakan kerana pandai bergaya, tetapi masih belum mahu bekerja tetap kerana mempunyai minat dan kecenderungan berbeza.

Fir hanya melakukan pelbagai kerja yang disukainya termasuk mengambil upah menjadi penyelidik dan berkhidmat sebagai sukarelawan di rumah anak yatim dan dalam masa sama, bercinta dengan rakan sekampungnya, Jazli yang dikenalinya sejak di sekolah lagi.

Hubungan itu berlanjutan sehingga lelaki itu kembali ke tanah air meskipun selepas melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat selama lima tahun, tetapi konflik mula timbul selepas Jazli dipaksa bekerja dengan rakan ibu bapanya yang kaya raya, Sharif.

Dalam diam, ibu Jazli mahu menjodohkannya dengan anak perempuan Sharif dan hal itu menyebabkan hubungan Jazli dan Fir menjadi dingin, tetapi langkah gadis itu mengambil upah melakukan penyelidikan di internet membuka kesempatan kepadanya berkenalan dengan selebriti terkenal, Reez Putra.

Pertemuan di luar duga


Pemuda itu kebetulan sedang mencari maklumat untuk program televisyen terbaru kelolaannya dan perhubungan yang pada mulanya dingin, berdua berubah menjadi rapat apabila Fir dan Reez sering bertukar pandangan dan saling membantu bagi menghasilkan rancangan televisyen berkenaan.

Di sebalik kejayaan dikecapi Reez, rupa-rupanya pemuda itu menyimpan kisah duka zaman kanak-kanaknya dan rasa marah yang dipendam begitu lama akhirnya berubah menjadi dendam tidak berkesudahan terhadap ibu, apalagi bapa tirinya.

Ingin tahu kisah selanjutnya di antara Reez atau Mr Celebrity dan Fir atau Miss Kampung, Beautiful Asmara bakal menceritakan segala-galanya dan bacalah sendiri untuk menilai sama ada novel terbaru Aina ini berjaya menambat hati anda atau tidak.

Beautiful Asmara

* Pengarang: Aina Emir

* Tebal: 542 halaman

* Penerbit: KarnaDya Solutions Sdn Bhd

* Harga: RM 23.90 senaskhah


Aina Emir atau nama sebenarnya, Latifah Emir dilahirkan di Kuala Kangsar, pada 1956. Menamatkan Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara di Universiti Malaya (UM), sebelum melanjutkan pengajian Sarjana Pengurusan Sumber Manusia di Universiti Liverpool pada 1990.

Ibu kepada empat cahaya mata ini, mula menulis secara serius pada 2003 apabila muncul dengan karya sulungnya, Sesuci Cinta, sebelum disusuli Seharum Kasih, Setulis Janji, Aura Cinta, Bunga-bunga Kemboja, Kau Laksana Bulan, Hanya Kita Berdua dan Selamat Malam Kekasih.

Novelis yang pernah berkhidmat sebagai Pengurus Latihan dan Motivasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama 17 tahun itu, turut mengadaptasi novelnya, Kau Laksana Bulan ke drama bersiri dengan judul sama. Beliau cergas menganjurkan program bimbingan penulisan dan sering dijemput untuk berinteraksi pada seminar, perbincangan dan bengkel anjuran universiti tempatan dalam bidang penulisan kreatif.

Peminat novelis mapan ini boleh mengikuti perkembangan dan karya terbarunya menerusi blog, www.aina-emir.blogspot.com atau e-mel ke emir_aina@yahoo.co.uk.