Dalam mengharungi keadaan ekonomi yang tidak menentu, syarikat telekomunikasi DiGi Telecommunication Sdn. Bhd. (DiGi) terus memberikan yang terbaik untuk menarik pelanggannya.
Bagi menghargai kesetiaan pelanggan DiGi membina satu momentum dengan memberikan perkhidmatan terbaik bagi menarik pelanggan setianya.
Ketua Pegawai Komersialnya, Tom Schnitker menjelaskan menjelang 9 Mac akan datang, DiGi Priority Service akan mula menawarkan perkhidmatannya.
Apa yang lebih menarik perkhidmatan ini tidak hanya terhad kepada pelanggan pasca bayar tetapi juga pra bayar.
Tom melahirkan rasa bangga dengan tawaran perkhidmatan terkininya yang mendapat maklum balas yang amat menggalakkan daripada pelanggan semasa semasa sidang akhbar pelancaran DiGi Priority Service di Subang, Selangor.
"Kami mula dengan melancarkan kedai konsep DiGi360 November tahun lalu dan kini DiGi Priority Service akan terus membina strategi sebagai mengiktiraf pelanggan setia dengan memberikan perkhidmatan sehingga ke pintu," katanya.
Untuk tidak membebankan pengguna, keahlian perkhidmatan berkenaan adalah berdasarkan jemputan dengan merujuk kepada penggunaan bulanan, rekod pembayaran dan jangka masa menjadi pelanggan DiGi.
Misalnya, mereka yang telah menjadi pelanggan sekurang-kurangnya lima tahun akan terpilih sebagai Silver Priority Customer jika mempunyai bil bulanan sekurang-kurangnya RM100.
Selain itu terdapat kad bagi Gold dan Platinum.
Bagi semua pemegang kad berkenaan, mereka akan menikmati had kredit lebih tinggi dan dijamin mendapatkan penggantian kad SIM tanpa sebarang kos dihantar sehingga ke pintu rumah.
Pelanggan yang memegang kad Platinum Priority boleh memanggil Pakar Runding DiGi Priority Mudah Alih bagi mendapatkan bantuan dan menyelesaikan apa saja masalah teknikal mudah alih di lokasi pelanggan.
Selain itu mereka juga boleh mendapatkan insurans perjalanan tambahan sehingga RM1 juta, perkhidmatan tempahan perjalanan percutian dan menyewa limosin.
Sementara itu DiGi masih lagi mengekalkan faedah sedia ada seperti bonus, bonus hari jadi, baucer mudah alih bagi diskaun dan panggilan percuma bagi hotline DiGi.
Pelanggan yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh melayari www.digi.com.my/priority