www.ayambrand-recipes.com

Resipi sihat di laman web

Mencari resipi bersesuaian lazimnya memang memeningkan terutama apabila membabitkan pemakanan seimbang bagi pengguna yang mementingkan cara hidup sihat.

Antara kaedah menarik adalah laman web resipi berkonsep video dan maklumat khasiat pemakanan bertujuan memupuk kaedah memasak dan cara hidup lebih sihat di kalangan pengguna.

Di laman web kelolaan jenama makanan dalam tin, Ayam Brand terdapat lebih daripada 100 resipi yang memaparkan arahan lengkap langkah demi langkah untuk menyediakan pelbagai jenis masakan enak, sihat dan senang disediakan.

Setiap resipi dipaparkan menurut kategori berbeza seperti buah-buahan, sayuran, santan, kacang panggang, tuna, mackerel dan sardin.

Video yang disediakan pula merangkumi penggunaan bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris untuk kemudahan pengguna.

Menurut Pengurus Besar Ayam Brand, Ting Seng Hee, kejayaan laman web video itu juga seiring dengan pembinaan laman web yang sama di Australia, China, Thailand dan Hong Kong.

"Maklum balas pengguna menunjukkan resipi video dan maklumat nutrisi disediakan memenuhi kehendak mereka yang baru belajar memasak dan mereka gemar mencuba masakan baru.

"Kami berbangga dapat memainkan peranan untuk menggalakkan kehidupan lebih sihat melalui resipi video di laman web serta menggalakkan lebih ramai pengguna mempelajari cara untuk memasak," katanya.

Menurutnya kini, terdapat peningkatan terhadap minat memasak daripada golongan pelbagai umur hasil program televisyen yang memaparkan chef selebriti.

Pada masa sama, keinginan menjalani kehidupan yang lebih sihat menyedarkan pengguna mengenai cara pemakanan yang lebih sihat dan kaedah menyediakan masakan mereka.

Laman web resipi video dan maklumat khasiat pemakanan serta kesihatan yang senang digunakan itu boleh dilayari menerusi www.ayambrand.com.my dan www.ayambrand-recipes.com.

Resipi boleh dicari berdasarkan bahan utama yang digunakan seperti mackerel, tuna, sardin dan kacang panggang apabila pengguna melayari www.ayambrand.com.my.

Bagi laman web www.ayambrand-recipes.com ,resipi yang diingini boleh didapati dengan membuat carian berdasarkan jenis masakan seperti masakan Malaysia, Cina, Thailand dan Jepun.

Selain itu, pengguna dapat memperoleh resipi berinovatif di bawah kategori Dishes Facelift serta pelbagai resipi sihat dan tip memasak.

Maklumat mengenai produk turut dilengkapi catatan khasiat pemakanan, rasa dan pensijilan bagi produk jenama terbabit bagi membolehkan pengguna yakin dengan pilihan masing-masing.

Malah, untuk memudahkan pengguna, resipi video berkenaan turut disediakan dalam format MP4 dan boleh dilihat melalui laman web, dihantar sebagai emel ataupun pautan serta dimuat turun ke dalam komputer, iPod, telefon pintar atau alat penyimpanan lain.

Bagi mereka yang gemar menyimpan salinan kertas, Ayam Brand juga menyediakan versi dokumen.

Pada majlis pelancaran, Chef Nathalie Arbefeuille melakukan demonstrasi empat resipi daripada laman web terbabit yang sesuai disediakan untuk sarapan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam menggunakan produk Ayam Brand.