Keuntungan Maxis RM2.44b pada 2014

Keuntungan Maxis RM2.44b pada 2014

Maxis Bhd mencatat keuntungan sebelum cukai RM502 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat 17 peratus berbanding RM428 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi kukuh suku keempat itu disumbangkan oleh pertumbuhan 2.2 peratus hasil perkhidmatannya kepada RM2.09 bilion, daripada RM2.05 bilion pada suku terdahulu.


Bagi keseluruhan tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, syarikat telekomunikasi itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM2.44 bilion, bersandarkan pendapatan sebanyak RM8.38 bilion.

Maxis terus meningkatkan hasil daripada segmen data, walaupun mengalami impak daripada hasil yang terjejas sebanyak RM16 juta berikutan kajian semula harga caj bayar bagi setiap penggunaan (PPU) untuk segmen pascabayar.

Hasil internet mudah alih (MI) meningkat 8.4 peratus pada suku keempat, didorong oleh momentum yang diperoleh daripada bahagian segmen produk 'bebas berasa risau' dan penembusan telefon pintar lebih tinggi.

Setakat akhir Disember 2014, Maxis mempunyai 8.8 juta pengguna internet mudah alih dengan penembusan telefon pintar 57 peratus.

Hasil daripada MI syarikat itu kini merangkumi 32 peratus daripada pendapatan mudah alih.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Morten Lundal, berkata terdapat banyak perubahan yang perlu dilakukan syarikat ketika ia melangkah ke tahun 2014, namun berjaya melaksanakan perubahan terbabit.

Malah, katanya peralihan Maxis kepada sebuah syarikat digital berprestasi tinggi juga semakin mantap.

"Kami terus berjaya menambahkan lagi pelanggan yang menjana hasil, terutama dalam segmen prabayar yang mengalami kemerosotan besar sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Mengenai masa depan, Lundal berkata Maxis mempunyai momentum positif dan dalam kedudukan yang baik untuk menawarkan rangkaian data terbaik dan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan.