Lip Smoothie Clinique - Pewarna bibir antioksidan

Pewarna bibir antioksidan



Tidak hanya cantik tetapi produk sihat memang dinanti ramai pengguna terutama mereka yang prihatin mengenai ramuan satu-satu produk.

Apatah lagi apabila ia digunakan pada anggota wajah yang agak sensitif misalnya bibir yang perlukan penjagaan dan perlindungan berterusan.

Malah, bibir juga terdedah kepada masalah kedutan serta semakin menipis dan mengering. Pada masa sama, ia turut kehilangan sedikit warnanya.

Pakar kecantikan jenama Clinique kini mengetengahkan ramuan yang turut memberi manfaat rawatan pada bibir. Ia disertai bahan antioksidan yang kaya dengan lembapan dan pada masa sama, menyerlahkan bibir menarik.

Dikenali sebagai pewarna bibir antioksidan Lip Smoothie yang disertai vitamin C, rumusan yang kaya dengan vitamin ini diperkaya dengan bahan yang membantu untuk memperbaiki keadaan bibir.

Kandungan vitamin C aktif dalam rumusan terbabit membantu untuk menyerlahkan penampilan bibir manakala bahan antioksidan utama seperti buah delima membantu untuk melindungi bibir daripada bahan pencemar alam sekitar dan kerosakan di masa depan.

Apa pun, bahan antioksidan utamanya adalah beri acai yang diperakui pakar daripada Makmal Clinique.

Beri kecil yang banyak ditemui di hutan hujan Amazon di Brazil ini memiliki antioksidan paling banyak antara buah-buahan.

Bersama vitamin C dan buah delima, beri acai melindungi kulit daripada tekanan yang menyebabkan penuaan pramatang.

Bahan lain termasuk dua jenis mentega iaitu mentega shea dan bijian theobroma grandiflorum yang membantu kulit lebih selesa, lembap dan lembut sambil mengurangkan masalah kekeringan.

Ia disediakan dalam bentuk cukup mudah iaitu pewarna disertai berus kecil. Untuk penggunaan pertama, pusingkan batang pewarna terbabit yang mengeluarkan bunyi 'klik' berulang kali sehingga keluar pewarna terbabit di hujung mata berus.

Pilihan enam warnanya juga terdiri daripada warna popular kegemaran wanita daripada merah jambu ke perang muda menerusi pilihan Raisin the Bar, Mango-thon, Pink Me Up, Berry Boost, Goodness Grapecious dan Peach Powder.

Ia dihasilkan bebas daripada sebarang pewangi dan diuji oleh pakar dermatologi. Pewarna terkini itu boleh didapati pada harga RM66 dan mulai berada di semua kaunter Clinique pada November ini.