Bengkel Cantik Sihat Pancaindera akan menemui pembaca terpilih di Kuantan, Pahang pada 13 Mac depan, di Port Dickson (21 Mac) dan Johor Bharu (28 Mac).
Mereka yang mahu menyertai bengkel yang dianjurkan dengan kos hanya RM25 (termasuk makan-minum) ini perlu membuat tempahan segera di talian 012-2707191 dan mengisi borang yang bakal kami terbitkan minggu depan di akhbar ini.
Rahsia cantik sihat Mak Dara!
Sebagai menghargai pembaca kesayangan kami, akhbar Mingguan Malaysia akan menganjurkan acara Bengkel Cantik Sihat Pancaindera sepanjang Mac 2010.
Dengan kerjasama Jamu Mak Dara, bengkel kecantikan dan kesihatan ini akan memberi fokus kepada tips-tips dalaman dan luaran wanita berkerjaya dan berumah tangga.
Menurut Pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib, beliau sudi memperturunkan ilmu penjagaan badan dan rawatan tradisional yang berkesan untuk diamalkan oleh setiap wanita.
"Banyak wanita malu, segan untuk bercerita tentang masalah peribadi mereka terutamanya membabitkan hal-hal hubungan intim dengan suami.
"Ibu bersedia untuk berkongsi petua terbaik untuk kebahagiaan rumah tangga mereka. Justeru, atas permintaan ramai, ibu akan hadir bersama-sama dengan Pancaindera ke lokasi terpilih untuk berkongsi tip-tip hebat bagi menjaga keharmonian rumah tangga melalui amalan senaman dan pemakanan yang baik," kata Ibu Halimah.
Ibu Halimah juga secara peribadi akan memperturunkan petua-petua penting ke arah mengekalkan keharmonian rumah tangga melalui hubungan intim yang berkualiti dan menjawab permasalahan yang dihadapi oleh setiap peserta.
Selain ibu Halimah, penyanyi, pelakon dan pengacara Ifa Raziah juga turun padang bekerjasama menjayakan bengkel ini.
Ifa akan berkongsi tips cara hidup sihat yang diamalkan, selain cara penjagaan kulit wajah yang berkesan yang boleh diamalkan di rumah.
Duta produk berjenama antarabangsa Coway itu juga akan berkongsi pelbagai tips lain yang sesuai dengan peserta bengkel sepanjang acara berkenaan.
Jurusolek profesional yang melahirkan jenama Zamri Beauty Inspiration, Mohd Zamri Sulaiman pula akan mengajar teknik-teknik solekan wajah moden menggunakan barangan kosmetik harga patut.
"Banyak orang anggap produk mahal sahaja yang berkesan, sebenarnya tanggapan itu silap sama sekali. Dengan mencalit kosmetik berjenama tempatan berharga sederhana pun, hasil solekan ke tempat kerja dan majlis keraian akan nampak menarik jika kena dengan tekniknya," ujar Zamri.
Selain tiga fasilitator ini, turut diketengahkan petua penjagaan alat sulit wanita, pemakanan yang betul dan pelbagai tips yang cukup berguna untuk dikongsi oleh peserta.