Selalunya, bila bercerita tentang beg tangan dan kasut pasti dikaitkan dengan wanita kerana kedua-dua aksesori ini bagaikan 'irama dan lagu' yang tidak boleh dipisahkan. Ia menguatkan lagi tanggapan tersebut apabila wanita yang berkerjaya, pastinya mempunyai pelbagai koleksi untuk digayakan setiap hari.
Terbaru, Ipanema menampilkan koleksi sandal bagi memperlengkapkan koleksi kasut bagi wanita yang mementingkan gaya.
Ia adalah pilihan sesuai untuk perjalanan kasual yang pastinya mampu memuaskan si pemakainya.
Bersesuaian dengan konsep, Ipanema, jenama sandal dari Brazil ini menampilkan koleksi bertemakan pantai yang pastinya memberikan gaya penuh bebas.
Menampilkan empat himpunan terbaru dengan corak dan gaya yang tersendiri pastinya tertarik untuk memilikinya dengan tawaran harga di antara RM69 hingga RM79.
Berwarna warni, rekaan yang terang refleksi feminin si pemakai selain menonjolkan imej bunga-bunga tropika yang dicetak di atas tapak.
Malah ia juga sesuai untuk majlis taman dan menepati kehendak gaya serta rekaan semasa yang penuh dengan warna-warna kehidupan.
Mengggunakan teknologi solar Anatomica Fem Ad, sandal Ipanema ini ringan dan mudah dipakai dengan ciri-ciri tanpa licin dan stabil agar si pemakai tidak perlu bimbang tentang lantai yang basah.
Menurut Penolong Pengurus Besar RSH (M) Sdn. Bhd., Manish Sapra, yang memasar dan mengedar kasut jenama Ipanema di negara ini, model sandal Ipanema Gisele Bundchen diwujudkan sebagai satu penyataan fesyen yang mempunyai mesej tersendiri.
''Gisele Bundchen merupakan salah satu wajah yang paling dikenali pada hari ini. Beliau merupakan salah seorang peragawati yang menerima bayaran paling mahal di dunia dan sering menghiasi pentas-pentas peragaan, iklan dan majalah serta kini menceburi dunia perfileman.
''Malah dia bukan sekadar seorang jelitawan yang tinggi lampai dan mempersonakan, tetapi seorang individu yang amat peka dan prihatin terhadap alam sekitar dan merupakan duta dan pereka bagi sandal terbaru Ipanema ,'' ujar Manish ketika ditemui pada majlis pelancaran sandal barunya di Aquaria KLCC baru-baru ini.
Ceritanya lagi tentang duta Ipanema, Gisele memberi nafas baru kepada rangkaian kasut tersebut dengan 'air' menjadi inspirasinya.
Menjelaskan bahawa koleksi tersebut merupakan kolaborasi kedua antara supermodel tersebut dengan Ipanema , Manish memaklumkan rangkaian itu diwujudkan dengan mesej pemeliharaan sumber penting kehidupan air.
''Oleh itu, bersama Ipanema , koleksi terbaru ini menyokong kempen air melalui pelbagai program memelihara dan memulihara air,'' jelas Manish.
Beliau turut memaklumkan bahwa sejak tahun lalu, ia memberikan fokus kepada sifat tanggungjawab dan menghormati kehidupan.
Oleh ZUHAYATI YAZID