Produk Elhajj khas untuk jemaah

KEBELAKANGAN ini, sana sini orang sibuk bercerita atau ambil peduli aspek kehalalan sesuatu produk. Kalau pada peringkat awal dahulu, yang paling menjadi tumpuan ialah berkaitan produk makanan.



Namun lama-kelamaan, umum mula lebih memahami konsep sebenar halalan toyiban, sekali gus prihatin dan cuba mempraktikkannya dalam segala aspek kehidupan.

Elhajj Products Sdn. Bhd. adalah syarikat milik bumiputera yang telah menongkah arus dan satu-satunya syarikat yang datang dengan idea penghasilan rangkaian produk penjagaan kulit khas kepada para jemaah haji dan umrah. Apatah lagi, menyedari ada segelintir jemaah yang begitu teliti berkaitan larangan sepanjang berihram.

Menurut Pengarah Urusan Elhajj Products Sdn. Bhd., Muhammad Hamudi Abdul Khalid, rangkaian penjagaan kulit Elhajj tidak mengandungi sebarang jenis pewangi.

Ia berasaskan air dan mudah dibersihkan ketika berwuduk, kandungan pelembap yang tinggi, mengandungi vitamin E dan Pro Vitamin B5, herba terpilih, tanpa pewarna serta tidak menggunakan bahan kimia yang melampau adalah antara kelebihan dan kekuatan serta diyakini dan diakui memang boleh digunakan semasa berihram.

Kata Muhammad Hamudi, ketika itu belum ada satu syarikat pun yang menghasilkan produk berkaitan penjagaan kulit yang halal untuk haji dan umrah. Memang diakui ada banyak produk berkaitan penjagaan kulit tetapi kebanyakan produk di pasaran tidak sesuai untuk ibadat haji dan umrah.

"Menyedari bahawa salah satu larangan semasa mengerjakan haji ialah memakai wangi-wangian. Jadi kita lihat apa yang ada di pasaran, hampir semuanya tidak bersesuaian atau tidak menepati dengan kehendak atau syarat sepanjang bergelar jemaah haji dan umrah.

"Jadi dari situlah datang idea kita mengambil keputusan menghasilkan produk berjenama Elhajj pada tahun 2003 setelah beberapa tahun proses penyelidikan pembangunan (R&D) dan pengesahan daripada Kementerian Kesihatan.

"Malah kami adalah syarikat yang pertama di dunia yang memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta persijilan daripada Organisasi Piawaian Arab Saudi (SASO) dan Bahagian Penguatkuasaan Kawalan Dadah (DCA), Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rangkaian produk sebegini," kata Muhammad Hamudi yang ditemui di pejabatnya di Medan Niaga Seri Kuching, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bergerak dengan moto, 'Tenangkan Jiwa Dalam Ibadah' terang Muhammad Hamudi lagi, rangkaian produk penjagaan kulit Elhajj terdiri daripada Pelembap Krim Haji Elhajj, Losen Tangan dan Badan Elhajj, Pencuci Muka Berpelembap Elhajj, Pencuci Muka Elhajj, Skrub Muka Elhajj, Pelembap Bibir Elhajj, Krim Tumit Elhajj, Krim Muka UV SPF15 Elhajj dan set Pek Pengembaraan yang dijual pada harga yang berpatutan.

"Pada musim haji tahun ini kami telah memperkenalkan satu lagi produk terbaru iaitu Sabun Badan Anti Bakteria 100ml. Produk ini pula disediakan dalam bentuk cecair bagi memudahkan jemaah yang kerap bergerak, contohnya dari kota suci Madinah ke Mekah, Mina, Arafat, Muzdalifah dan sebagainya. Setiap produk adalah hasil daripada maklum balas pengguna serta permintaan daripada para jemaah. Sabun ini juga diberikan percuma kepada setiap jemaah haji tahun ini hasil kerjasama dan sumbangan CIMB Islamic sebagai Sahabat Korporat Lembaga Tabung Haji 1431H.

"Mungkin bagi ramai pengguna akan mempersoalkan mengapa kami menggunakan SPF15 bagi produk Krim Muka UV. Sebenarnya, kami juga mendidik para pengguna secara tidak langsung. Setiap individu mempunyai tempoh berbeza untuk permukaan kulit mereka terbakar. Mungkin ada orang mengambil masa 10 minit ataupun lebih. SPF15 bermakna 15 kali ganda daripada tempoh ketahanan kulit kita.

"Jadi SPF15 di sini membawa maksud, kulit seseorang itu akan mendapat perlindungan dari sinar UV lebih kurang dua setengah jam berjemur di panas matahari.

"Oleh itu, tempoh dua setengah jam itu dikira memadai kerana jemaah haji kita bukannya akan terdedah terlalu lama pada matahari," katanya gembira kerana Elhajj adalah satu-satunya syarikat yang menjadi pemula dan peneraju dalam menepati piawaian syariat.

Menyentuh aspek halal, ujar Muhammad Hamudi, halal baginya bukan sahaja menyentuh soal mendapat kelulusan pihak bertanggungjawab atau sijil semata-mata tetapi turut diambil berat merangkumi aspek penggunaan bahan-bahan serta yang paling utama cara bagaimana perniagaan ini diuruskan atau beroperasi.

"Bagi saya sendiri, pada awal bila sahaja mula merancang untuk menghasilkan produk ini, aspek halal tidak tertumpu kepada bahan yang digunakan. Ditambah pula, pada saat itu halal hanya tertumpu kepada produk makanan.

"Malah aspek kewangan juga diambil kira, jadi kita gunakan kewangan sendiri serta dibantu daripada agensi kewangan Islam yang pada ketika itu disediakan oleh PUNB. Kita berusaha menjadi aspek halal ini dalam segenap hal," kata Muhammad Hamudi.

Orang ramai yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai rangkaian produk penjagaan kulit Elhajj boleh melayari laman web di www.el-hajj.com atau menghubungi pejabat 03-6257 3225.