Sinopsis Novel: Bukan Isteri Sempurna

Sinopsis Bukan Isteri Sempurna

JUDUL: Bukan Isteri Sempurna
PENULIS: Tulip Ungu
PENERBIT: Kaki Novel
HARGA: RM21

Bukan Isteri Sempurna mengisahkan watak Nayli Imanina ataupun Nina yang menjadi mangsa perkosa Danish Arham. Kejadian berlaku ketika Nina menggantikan tugas ibunya sebagai pembantu rumah di banglo milik Datuk Zainudin dan Datin Rogayah.

Malangnya disebabkan perbuatan keji Danish Arham, dia mengandungkan anak lelaki itu.

Ibu Nina, Salamah terperanjat mengetahui anak perempuannya mengandung anak luar nikah dan memaksa Nina memberitahu perkara sebenar.

Salamah yang terkejut dengan pengakuan anak gadisnya bertemu keluarga Datuk Zainudin untuk meminta lelaki itu bertanggungjawab namun dia menerima reaksi negatif Datuk Zainudin apabila Datuk Zainuddin menuduh Nina memulakan semuanya.

Lelaki itu menuduh Nina sengaja mengadakan cerita untuk menutup malu dan mahu tumpang senang dengan kekayaan mereka. Bagi Datin Rogayah, dia percaya dengan semua kata Salamah kerana mengenali sikap dan perangai Danish Arham, kebetulan anak lelakinya itu melarikan diri ke luar negara.

Bersimpati dengan nasib Nina, Datin Rogayah meminta kembar Danish Arham, Daniel Arman menikahi Nina. Daniel Arman dan Danish Arham walaupun dilahirkan sebagai kembar, peribadi kedua-duanya sangat berbeza. Daniel Arman anak yang lebih mendengar kata berbanding abang kembarnya Danish Arham.

Datuk Zainudin juga seorang bapa yang tidak adil apabila dia lebih menyayangi Danish Arham melebihi Daniel Arman. Oleh kerana dia berprasangka Nina yang ingin menikmati kemewahan keluarganya, dia bersetuju apabila Datin Rogayah memilih Daniel Arman supaya menggantikan tempat Danish Arham. Adakah Daniel Arman bersetuju berkahwin dengan Nina?