Resepi Bonda buat wanita moden

resepi bondaGaya hidup zaman ini yang sentiasa mengejar masa membuatkan wanita berkerjaya sentiasa mencari produk yang mampu membantu mereka dalam menyediakan makanan dengan cepat tetapi pada masa yang sama ia tetap mengekalkan rasa yang enak dan menyelerakan.

Senario itu turut menyebabkan ramai usahawan cuba melahirkan produk masakan mesra pengguna agar kaum wanita tidak lagi perlu bersusah payah menyiapkan perencah atau rempah-ratus secara tradisional yang pastinya akan mengambil masa agak lama untuk disediakan.

Tidak terkecuali, Caberawet Holdings Sdn. Bhd. yang memperkenalkan produk rempah-ratus jenama Bonda dalam usaha memenuhi permintaan wanita yang sentiasa sibuk dengan kerjaya sehingga sukar bagi mereka hendak menyediakan masakan enak dalam masa yang cepat.

Menurut pengasasnya, Zawiyah Ahmad, lahirnya produk Bonda dulu hanya untuk suka-suka, dijual kepada rakan dan jiran sekitar kediaman beliau. Itupun hanya pecal dan acar buah yang dibuat sendiri.

Kini, Bonda telah menghasilkan lebih banyak produk masakan seperti rempah sup, rempah sup soto, pes taucu, kacang tumbuk dan lempeng perisa pisang serta kelapa.

''Masa mula menjual, tidak sangka ramai menyukai kedua-dua makanan tersebut dan menggalakkan saya terus menjual resepi turun-temurun keluarga itu kepada masyarakat. Dan kini, wanita sekitar Kuala Lumpur dan Selangor boleh mendapatkan ramuan dan rempah-ratus jenama Bonda dengan mudah.

''Semua ini adalah untuk memudahkan lagi tugas wanita yang terlalu sibuk tetapi perlu juga meluangkan masa untuk memasak bagi seisi keluarga," katanya.

Zawiyah, 53, berkata, istimewanya sehingga kini, produk Bonda masih dihasilkan sendiri di rumah. Bahannya dikisar dan diadun secara tradisional oleh beliau sendiri tanpa mengabaikan kebersihan. Malah, kualitinya juga dijamin serta tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

Katanya, untuk menghasilkan produk berkualiti, beliau tidak membuat dalam kuantiti yang banyak. Ada masanya hanya 30 hingga 40 kilogram ramuan dapat disediakan dalam sebulan.

Jelasnya, Bonda yang sudah berada di pasaran sejak setahun lalu itu dihasilkan di Sepang dan kini boleh didapati di 80 kedai runcit seluruh Kuala Lumpur dan Selangor.

Tambah beliau, biarpun wujud saingan yang besar daripada produk-produk lain, tetapi ia tidak menghalangnya untuk bersaing dengan mempertingkatkan mutu keluaran produk Bonda. Malah tarikannya, Bonda mempunyai keunikan dan kekuatan cita rasa tersendiri.

''Contohnya, penggunaan rempah-ratus Bonda untuk masakan sup mampu menghasilkan aroma yang membangkitkan selera walaupun ia disiapkan dalam tempoh yang cepat. Rasanya juga sedap dan sama seperti sup yang disediakan secara tradisional," katanya yang juga merupakan penulis buku cerita kanak-kanak.

Mengulas lanjut mengenai penghasilan produk rempah-ratus Bonda ini, Zawiyah berkata, lebih mendorong beliau mengkomersialkan resepi turun-temurun keluarganya setelah mendapati sesetengah produk yang terdapat di pasaran tidak dijamin halal dan diragui tahap kebersihannya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Caberawet Holdings, Mohd. Azhari Ahmad berkata, pihaknya akan memperluaskan pasaran produk Bonda di seluruh negara. Setakat ini, Bonda sudahpun mengorak langkah menembusi pasaran Sabah dan Sarawak.

''Selepas ini, kami akan cuba memasuki pasaran utara Malaysia terutama di Kedah dan Langkawi. Malah, kami juga akan meningkatkan lagu usaha memperbanyakkan bekalan untuk pasaran tempatan dan menambah beberapa produk baru bagi memenuhi permintaan pelanggan.

''Bonda sentiasa berusaha menghasilkan formula terbaik untuk menyediakan makanan dalam tempoh yang cepat,'' katanya.

Oleh ROSMAWATI MION