Gerbang Cinta
Menyediakan persiapan untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan bukan kerja mudah lebih-lebih lagi apabila ada kekangan dari segi kewangan.
Tetapi sudah tentu segalanya akan jadi senang apabila ada pihak-pihak yang sedia berkongsi beban dengan menaja majlis yang diimpikan.
Tuah itu pernah jadi milik tiga pemenang utama Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia musim pertama iaitu Mohd. Afandi Mohd. Isa dan isteri, Nurfairuz Aina Mohd. Kohar; Md. Izudin Salleh dan Qistina Mohd. Nazri; serta Rizai Ali dan Ainul Farha Ramli.
Bukan setakat dapat merealisasikan impian untuk berumah tangga lebih awal daripada jangkaan malah paling penting memperoleh majlis perkahwinan yang ditaja hampir sepenuhnya.
Bagi Mohd. Afandi yang diijabkabulkan pada 23 Januari lalu, menjuarai Peraduan Gerbang Cinta musim pertama adalah kenangan paling manis yang sukar dilupakan.
''Peraduan tersebut banyak membantu saya merealisasikan impian untuk berumah tangga.
"Saya rasa ia memberi cara penyelesaian yang mudah kepada pasangan muda yang ingin berkahwin lebih-lebih lagi sekarang ini kos untuk mengadakan majlis perkahwinan semakin meningkat," katanya yang sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama.
Kata Mohd. Afandi melalui Peraduan Gerbang Cinta ini, bakal pengantin tidak perlu bersusah payah memikirkan persiapan yang perlu dilakukan kerana mereka hanya perlu 'membawa diri' dan selebihnya diuruskan oleh pihak penaja.
Sementara itu, bagi pemenang tempat ketiga, Ainul Farha pula menyifatkan Peraduan Gerbang Cinta ini sebagai satu usaha murni yang menyatukan dua insan melalui ikatan perkahwinan.
''Melalui peraduan ini juga, memberi peluang kepada pasangan muda yang ingin mendirikan rumahtangga tetapi mempunyai kos yang mencukupi.
''Program ini juga membantu pasangan yang merancang untuk berkahwin membina sebuah rumah tangga yang lebih sempurna," katanya.
Sementara itu Peraduan Gerbang Cinta Musim Kedua menawarkan hadiah lebih lumayan termasuk pakej perkahwinan bernilai lebih daripada RM300,000.
Peraduan yang sedang berlangsung bermula 4 Ogos lalu hingga 9 Oktober ini terbuka kepada semua pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.
Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Dino atau Liyana di talian 03-92210202 /0203.
Oleh ZUHAYATI YAZID