"Wanita sering tersalah pilih warna bedak asas yang tidak bersesuaian dengan ton kulit mereka dan ia antara kesalahan yang biasa dilakukan ketika membeli di kaunter kosmetik.
"Ini kerana kebanyakan wanita sebenarnya mudah dipujuk untuk membeli sesuatu produk yang dipromosikan tanpa memikirkan kesesuaiannya dengan kulit sendiri.
"Kesalahan berkenaan menyebabkan wanita kadangkala tampil dengan solekan bedak asas yang terlalu putih, terlalu merah jambu dan ada ketikanya terlalu gelap untuk wajah mereka. "Sebaiknya, dapatkan dulu komen daripada mereka yang lebih pakar sebelum membelinya," kata jurusolek terkenal, David Arbid.
Arbid yang juga jurusolek antarabangsa dan seorang duta jenama untuk Make Up For Ever (MUFE) berpendapat, tidak semua wanita perlu bersolek tebal, tetapi apa yang penting, wanita harus tahu mengenai solekan asas.
Untuk memastikan solekan tampak lebih cantik dan sempurna, jurusolek berpengalaman luas itu berkata, pemilihan bedak asas yang bersesuaian dengan ton kulit serta gaya mekap amat penting kerana ia akan mempengaruhi solekan yang dihasilkan.
Jelasnya, wanita (terutama yang tidak bertudung) perlu memakai bedak asas ke seluruh kawasan muka termasuk leher kerana jika hanya memakainya di sekitar wajah, ia akan kelihatan seperti memakai topeng.
"Memang mengecewakan jika membeli produk yang mahal, tetapi tidak bersesuaian dengan ton kulit. Apatah lagi jika ia hanya dipakai di sekitar wajah dan menampakkan solekan seolah-olah sedang memakai topeng.
"Untuk itu, pastikan anda memakai bedak asas tidak kira apa jenis sekali pun ke seluruh wajah dan kawasan leher," katanya.
Selain itu, Arbid turut menyarankan supaya wanita tidak malu untuk bertanya perunding kecantikan di kaunter kosmetik mengenai produk serta teknik solekan terkini yang boleh mereka pelajari dan lakukan sendiri di rumah.
"Pengguna sepatutnya lebih banyak bertanya dan bukan hanya terus membeli apa yang dipromosikan," katanya.
Menurutnya, kaunter MUFE menyediakan khidmat perunding yang bukan saja profesional, malah sentiasa bersedia berkongsi petua solekan dengan pengguna.
"Jangan segan untuk bertanya kerana kami bukan hanya mahu menjual barangan, tetapi turut mahu berkongsi maklumat solekan yang diperlukan," katanya.
Arbid sebelum ini bekerjasama dengan ramai selebriti barat terkenal seperti Nelly Furtado, Kelly Rowland, Denise Keller serta model ternama, Naomi Campbell dan Claudia Schiffer.
Sebagai seorang duta jenama dan jurusolek antarabangsa MUFE, Arbid akui amat berpuas hati sekiranya dapat membantu memberi nasihat serta berkongsi pelbagai tip solekan dengan pengguna di seluruh dunia.
"Saya turut turun padang untuk melatih jurusolek tempatan supaya lebih mengetahui dengan lebih mendalam mengenai produk jenama ini.
"Ia menepati falsafah kerja saya sendiri iaitu mahu memastikan pelanggan berpuas hati dengan apa yang mereka miliki.
"Berbeza dengan jenama lain, MUFE amat mementingkan pendidikan, kreativiti dan pengetahuan yang seiring dengan penubuhan akademi kami sendiri," katanya ketika ditemui di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Arbid diterbangkan khas oleh MUFE dari Paris bagi mempromosikan jenama solekan terkenal itu kepada wanita di negara ini.
MUFE, produk solekan diperkenalkan pelukis dan pengukir Perancis, Dany Sanz, 26 tahun lalu, mulanya untuk kegunaan jurusolek profesional dalam penggambaran filem mahupun program televisyen.
Bagaimanapun, jenama itu kini bukan saja menjadi pilihan jurusolek profesional, malah turut diminati ramai wanita kerana ia mempunyai 1,400 produk dalam pelbagai rona dan dihasilkan menggunakan teknologi terkini yang cukup kreatif.
Jenama itu mempunyai tiga rangkaian kosmetik utama iaitu HD (sering digunakan untuk solekan artis ketika muncul di program kaca televisyen yang menggunakan format definisi tinggi), Aqua (produk kosmetik kalis air) dan Arty , yang bukan saja menjadi keutamaan jurusolek profesional, malah turut diminati ramai wanita.
"Produk solekan jenama ini bukan saja untuk kegunaan wajah, malah turut sesuai untuk lukisan pada badan, dalam apa juga gaya dan keinginan.
"Ia mempunyai rangkaian produk yang sesuai untuk semua jenis kulit. Solekannya kekal dan tahan lama biarpun selepas seharian dipakai sama ada di dalam atau luar pejabat," katanya.
Jenama berkenaan sudah bertapak lebih 10 tahun di negara ini yang dibawakan Hue Haven Sdn Bhd, yang diterajui dua wanita yang berpengalaman luas dalam industri, Alicia Chong dan Teresa Ong.
Ia boleh didapati di kaunter jenamanya di Parkson, pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya dan Suria KLCC, Kuala Lumpur.