Restoran Tanjung Seafood & BBQ

Restoran Tanjung Seafood & BBQ

Selalunya jika ingin menikmati pelbagai jenis makanan laut segar, destinasi yang dituju tentunya restoran atau gerai yang terletak berdekatan pantai.


Bagi warga Lembah Klang, mereka tidak perlu pergi jauh kerana terdapat restoran-restoran yang menawarkan hidangan makanan laut yang disaji dengan pelbagai cara.

Itulah keunikan dan keistimewaan yang ditawarkan di Restoran Tanjung Seafood & BBQ.

Anda bukan sahaja boleh menikmati keenakan sup ayam yang ditawarkan untuk hidangan stimbot malah pelbagai jenis makanan laut secara barbeku.

Bersesuaian dengan tempatnya yang strategik, terletak di tengah-tengah kawasan bandar dan merupakan destinasi pilihan golongan remaja ataupun seisi keluarga, Restoran Tanjung Seafood dan BBQ pastinya memenuhi selera anda.

Terletak di Ampang Water Front (fasa 2) anda berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan laut termasuk bebola ikan, bebola ketam, bebola udang dan sayur-sayuran.

Menurut pemilik restoran, Allyn Rabiah Seddek, 40, hidangan stimbot yang disediakan di restorannya istimewa kerana ia turut menawarkan masakan secara barbeku dalam satu periuk yang sama.

Pada masa yang sama, konsep pilihannya adalah menampilkan resipi asli dari selatan Bangkok dan ini dapat dilihat daripada penghasilan sos-sosnya.

Untuk merasai lebih keenakan ketika menikmati stimbot ataupun berbeku, empat sos disediakan iaitu sos hijau dan merah Thai, sos cili dan sos cili padi.

''Di sini kami menawarkan pelbagai jenis makanan laut yang segar setiap hari. Harganya berpatutan iaitu RM52 untuk pakej dua hingga empat orang makan.

''Kami akan sentiasa memastikan setiap bahan yang disajikan kepada pelanggan adalah segar dan sos-sos yang disediakan juga adalah hasil air tangan chef kami sendiri.

''Untuk stimbot, kami menawarkan sup ayam dan jika ada pelanggan yang inginkan tomyam, mereka juga boleh memesannya dengan tambahan RM5,'' ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya baru-baru ini.

Berbeza dengan restoran-restoran yang sedia ada, Tanjung Seafood dan BBQ turut menawarkan hidangan sampingan yang boleh dipesan secara ala carte sama ada nasi goreng Tanjung, siakap goreng Tanjung, udang goreng mentega, daging masak halia dan kerabu seafood.

Restoran ini juga mengetengahkan konsep satu meja satu dapur yang memberi peluang kepada mereka merebus dan memanggang sendiri mengikut selera masing-masing.

Untuk memberikan keselesaan kepada para pengunjung, menurut Allyn, dia telah membesarkan lagi kedainya dengan membuka ruang di tingkat atas.

Tidak ketinggalan, Restoran Tanjung Seafood dan BBQ merupakan tempat paling sesuai untuk pelbagai majlis seperti majlis makan malam, majlis pelancaran, sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan kerana terdapat kemudahan audio sistem dan pentas.

Selain itu, restoran ini mampu menampung maksimum seramai 80 di tingkat atas dan 200 orang di tingkat bawah dalam satu-satu majlis.

Sementara itu, bilik solat untuk pelanggan dan tempat meletak kereta yang mudah antara ciri-ciri yang boleh menarik pelanggan.

Restoran ini beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan dibuka setiap hari.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan bolehlah hubungi talian 017-3827864 (Azman).


Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA