Pakaian dalam Lytess- Pedal Pusher

Senaman semata-mata dikatakan tidak dapat memberi hasil pelangsingan sepenuhnya andai tidak disertai diet pemakanan seimbang.



Apalah gunanya bersenam 30 minit hingga sejam sebanyak dua atau tiga kali seminggu jika masih mengambil makanan bergoreng, berlemak, terlalu banyak karbohidrat dan sebaliknya kurang sayur-sayuran.

Selain senaman dan pusat pelangsingan badan, wujud alternatif lain seperti krim dan pakaian dalam yang dikatakan berupaya membantu membentuk semula tubuh, sekali gus mengurangkan selulit.

Pakaian dalam Lytess, antaranya, bukan sekadar membentuk tubuh, malah melembap kulit dengan teknologi kosmetotekstil eksklusif iaitu gabungan kosmetik dan tekstil yang dicipta di Perancis hampir enam tahun lalu.

Menurut Pembantu Pengurus Bahagian Pemasaran dan Penjenamaan inLife (M) Sdn Bhd yang memasarkan rangkaian Lytess di Malaysia dan Singapura, Ariel Sit, Lytess dilabel sebagai kosmetik yang sedia dipakai pertama di dunia kerana ia selesa, mudah dipakai dan menunjukkan hasil fizikal pada kulit dalam tempoh 28 hari.


"Rangkaian Lytess adalah produk pelangsingan badan paling selesa dalam pasaran ketika ini. Ia boleh dipakai secara berasingan atau bertindak sebagai pakaian dalam dan mampu membuatkan pengguna rasa selesa kerana seakan-akan terasa seperti kulit kedua.


"Himpunan pembentukan badan inovatif ini bukan sekadar menyerlahkan lengkungan badan, malah melembapkan kulit, menjadikannya licin dan lembut. Semua produk Lytess diuji secara klinikal dan ia muncul antara produk pelangsingan popular di Eropah ," katanya.

Menerusi teknologi eksklusif itu, berjuta-juta kapsul mikro yang mengandungi ekstrak kosmetik aktif seperti kafein, mentega mangga, resin elemi, copaiba, badam, ekstra alga merah dan ekstrak pangoda Jepun ditenun di dalam tekstil, lalu bahan itu dibebaskan secara perlahan-lahan sebelum meresap ke dalam kulit apabila tekstil bersentuhan dengan kulit.

Teknik tenunan itu pula bakal memberikan kesan urutan mikro secara berterusan bagi mengurangkan ukuran pinggul serta membantu menghapuskan selulit.

Produk Pedal-Pusher pelangsingan dan sarung balut kaki pelangsingan misalnya, memberikan keselesaan maksimum dan sokongan sempurna. Ia membalut garis badan untuk membentuknya dengan lebih efektif. Pengaitan tidak berkelimnya memberikan keseragaman dan kelicinan untuk kesan kulit kedua. Tali pinggang pemulihan pula melekap elok di bahagian perut bagi mengurangkan saiz pinggang. Tali pinggang ini mengandungi kafein dan mentega shea yang lembap dalam kapsul mikronya membantu menangani perut menggeleber secara beransur-ansur untuk abdomen lebih langsing dan berbentuk. Ia disyorkan dicuci setelah tiga ke empat kali penggunaan dan 15 peratus ramuan aktif di dalamnya masih kekal selepas 30 kali cucian.

Sementara itu, seluar dalam keanjalan pemulihan Lytess memampatkan punggung dengan tindakan pemulihan pada kulit. Tenunan kelim di sekelilingnya membolehkan ia dipakai dengan busana lembut kerana tidak menampakkan garisan seluar dalam berbanding seluar dalam biasa.

Pedal Pusher antiselulit pula berupaya mengurangkan masalah kulit oren sehingga 65 peratus apabila dipakai selama lapan jam sehari. Urutan mikro berganda di dalamnya mewujudkan tindakan mekanikal melintang dan menegak seiring dengan pergerakan badan. Sistem eksklusif ini mengurut dan menguatkan badan lalu menangani selulit secara selamat.

Berdasarkan pengalaman penulis mencuba Pedal Pusher antiselulit selama lapan jam setiap hari, selulit di kawasan paha berjaya dikurangkan sehingga 50 peratus dan seluar jeans 'skinny' serta 'legging' yang lama tersimpan di dalam almari kini sudah boleh digayakan. Namun, hasil peratusannya berbeza mengikut individu. Untuk hasil peratusan yang lebih tinggi, penulis turut menggunakannya ketika latihan tenis dan menyertai aktiviti senaman.

Perlu diingatkan bahawa pemakaiannya juga tidak mudah terutama apabila ke tandas sepanjang minggu pertama. Malah, pengguna juga mungkin akan cepat berpeluh apabila melakukan aktiviti luar. Aspek pemakanan juga perlu dijaga kerana produk ini berfungsi semata-mata sebagai alat bantuan mengurangkan masalah seperti di pinggul, perut serta paha dan bukannya menghapus terus masalah kawasan itu. Bagaimanapun semua rasa tidak selesa itu hilang sejurus minggu kedua hingga tamat tempoh 28 hari penggunaannya kerana Lytess sememangnya bagaikan kulit kedua pada tubuh. Bagi pasaran Malaysia, Lytess hadir dalam tiga siri produk - pembentukan, pemulihan dan antiselulit yang masih boleh digunakan walaupun selepas 30 kali cucian mesin.

Untuk maklumat lanjut mengenainya, layari laman web www.lytess.com.my.

Oleh Nor Faizah Mohamed