Peraduan mega susu Cap Teko
Menu sarapan pagi atau minum petang saban hari tentu sekali tidak akan sempurna tanpa secawan teh mahupun kopi panas.
Kesegaran minuman itu pasti akan lebih lazat dengan gabungan susu pekat manis dan susu sejat Cap Teko (Tea Pot).
Setelah lebih tiga dekad mengukir nama sebagai antara jenama terunggul susu pekat manis dan susu sejat dalam pasaran tempatan, kini ia tampil dengan wajah baru.
Pelancaran pakej baru susu itu secara tidak langsung menanda aras kemajuan dan pencapaian cemerlang syarikat F&N Dairies (M) Sdn. Bhd.
Kualiti dan keenakan produk susu pekat manis dan susu sejat jenama itu membuatkan ia menjadi pilihan kebanyakan rakyat negara ini yang setia bersama Cap Teko sejak 30 tahun lalu.
Reka bentuk label terbaru dengan penampilan kombinasi warna dan grafik yang lebih menarik adalah untuk menyegarkan kembali wajah keseluruhan jenama berkenaan.
Berdasarkan penyelidikan pasaran, reka bentuk dan visual kontemporari jenama itu mencerminkan mutu dan kelazatan serta kedudukan sebagai pilihan utama mereka yang benar-benar menggemari susu pekat manis dan susu sejat sejajar dengan cogan kata Tiada Bandingan (Nothing Else Compares).
Menurut Pengurus Kanan Kumpulan Produk Susu Pekat Manis F&N Dairies (M), Eileen Chan, pakej terbaru yang telah berada di pasaran sejak Jun lalu berjaya meraih sambutan baik daripada para pelanggan.
Ia juga secara tidak langsung dapat mengekalkan permintaan tinggi para pengguna di samping menarik lebih ramai lagi untuk menikmati produk tersebut bersama kaum keluarga.
"Para pengguna hari ini semakin bijak menilai dan memilih produk yang memenuhi cita rasa mereka.
"Bagi memastikan jenama ini terus relevan dan kekal bersaing di pasaran kami mempercayai tiba masanya untuk membuat perubahan kepada Cap Teko.
"Walaupun jenama ini sudah mendapat tempat di hati pengguna, namun inovasi yang berterusan memastikan kami sentiasa segar di mata pelanggan," kata Eileen pada majlis pelancaran pakej terbaru itu.
Sempena meraikan pelancaran pakej terbaru dan menghargai sokongan padu para pengguna selama ini, F&N Dairies mengadakan pelbagai promosi pengguna seperti Peraduan Ganjaran Mega Tea Pot bermula mulai 1 Julai hingga 5 September ini.
Pertandingan menawarkan sebuah rumah impian mewah bernilai RM448,000 kepada para pengguna bersama hadiah-hadiah menarik yang lain.
Selain itu, para pengguna juga boleh menebus satu set teko eksklusif terhad seperti gambar yang tertera di label dengan mengemukakan 120 keping label tin daripada mana-mana produk Cap Teko.
Borang-borang peraduan boleh diperoleh di pasar-pasar raya dan pasar-pasar besar utama serta kedai-kedai runcit besar.
Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan ini atau untuk muat turun peraduan layari laman sesawang www.fndairies.com.