Aneka pizza di Pizza San Francisco

Berkonsep kasual dan persekitaran yang pintar, Pizza San Francisco merupakan satu pilihan terbaik jika anda mahu menikmati hidangan menyelerakan di tempat yang eksklusif dan mewah, namun pada harga yang berpatutan.

Suasana persekitarannya yang santai dan selesa membuatkan pengunjung pasti tidak keberatan untuk melakukan kunjungan buat kali kedua dan seterusnya.

Memulakan operasi sejak 2002, Pizza San Francisco yang diasaskan dan dimiliki sepenuhnya oleh anak tempatan menawarkan variasi resipi hidangan Amerika yang unik dan hidangan tradisional Itali dengan sentuhan cita rasa Asia.

Menurut Pengurus Operasinya, Dennis Koh, selain suasana yang menenangkan, mereka turut menyediakan pelbagai pilihan menu kepada para pelanggan yang menepati selera semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia.

Terdapat lebih 100 menu yang disediakan di restoran itu yang ditawarkan dari harga serendah RM2.90 (nasi mentega) sehinggalah RM59.90 (kambing bakar).

Ujarnya, keseluruhan hidangan yang meliputi aneka piza dan pasta, hidangan pembuka selera dan salad, pencuci mulut, aneka stik, hidangan berasaskan ayam dan ikan serta pelbagai jenis minuman panas atau sejuk.


“Menariknya, biarpun kesemua hidangan ini merupakan hidangan Barat, namun kami menerapkan elemen tempatan seperti penggunaan cili padi dan pelbagai rempah ratus yang pastinya memberikan rasa yang unik dan berbeza,” katanya.

Dennis berkata, antara hidangan yang wajib dicuba di restoran itu ialah San Special, iaitu piza yang dibalut separuh bersama sos, daging ayam belanda dan keju mozarela.

Di samping itu, katanya pengunjung juga boleh mencuba Mushroom Bruscheeta, iaitu roti oat perang dengan campuran cendawan saute yang lazat dan berkrim. Pasta Olive Gamber yang dicampur udang segar dan pelbagai rempah-ratus juga mampu membuka selera pengunjung.

“Jangan lupa juga mencuba hidangan pencuci mulut kami seperti Brownies yang dihidangkan panas bersama ais krim dan sirap coklat atau Espresso Delight yang merupakan ais krim vanila yang ditaburi kopi espreso di atasnya,” jelas Dennis.

Selepas membuka lima cawangan di sekitar Lembah Klang iaitu di Bukit Jelutong, Shah Alam; Bangi dan The Mines Resort City, di Selangor; Wangsa Maju serta yang terbaharu, KL Festival City Mall, Kuala Lumpur, Dennis berkata pihaknya bakal membuka dua buah lagi cawangan restoran iaitu di Kota Damansara dan Cyberjaya.

Katanya, sempena pembukaan cawangan baharu di Festival City Mall, Setapak pihaknya turut menawarkan dua promosi menarik kepada pelanggan.

Pertama, dengan membeli dua set pasta pelanggan berpeluang mendapat diskaun sebanyak 50 peratus bagi set pasta yang mempunyai harga paling rendah.

Kedua, dengan membeli dua set Mushroom Bruscheeta, pelanggan berpeluang mendapat diskaun sebanyak 50 peratus bagi set Mushroom Bruscheeta yang kedua.

Pihak pengurusan Pizza San Francisco mendakwa sumber bahan mentah dan kaedah penyediaan makanannya menuruti konsep halal. Sebagai komitmen terhadap pelanggan Muslim, pengesahan status halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diberitahu sudah dimohon untuk diproses.

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA