Kolam Desa Fishing Sport

Kolam Desa Fishing Sport
Kolam pancing Desa Fishing Sport yang terletak bersebelahan Taman Tema Air Desa Water Park, berdekatan lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, menjadi tumpuan pemancing tegar di ibu kota untuk melepaskan gian.

Lokasi strategiknya membolehkan kaki pancing dari pelbagai penjuru ibu kota singgah mencuba nasib memancing pelbagai spesies air tawar dan udang di situ.

Diusahakan Yee Kek Leong, perniagaan keluarga ini mempunyai keluasan suku padang bola sepak mampu menampung hampir 50 pemancing dalam satu masa.

Bagi pengunjung yang berminat untuk mencuba nasib, deposit RM20 dikenakan dan setiap satu jam berikutnya bayaran sebanyak RM7 akan dikenakan.

Kek Leong berkata, kolamnya menyediakan pakej memancing menarik termasuk jualan umpan dan sewaan joran jualan minuman dan makanan ringan.

Katanya, kolam pancing berkenaan menetapkan etika tersendiri iaitu melarang pemancing menggunakan umpan usus ayam untuk menjinakkan ikan antara lain baung, jelawat, patin, sultan, pacu, tongsan, rohu dan tilapia.

Semua ikan yang berjaya dikail boleh dijual semula kepada pemilik kolam mengikut jenis dan berat ikan.

Keistimewaan kolam pancing Desa Fishing Sport ialah acara cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai barangan elektrik setiap Ahad hujung bulan sebagai tanda menghargai pemancing.

Antara hadiah ditawarkan seperti televisyen, wang tunai, bingkai gambar digital dan pelbagai hadiah lumayan lain.

Bagi yang ingin mencuba memancing di kolam ini waktu operasinya bermula dari jam 9 pagi sehingga jam 5 pagi setiap hari.

INFO

* Waktu operasi 9 pagi - 5 pagi keesokannya

* Kawasan parkir percuma

* Tangkapan boleh dijual semula

* Cabutan bertuah bulanan

* Umpan usus ayam dilarang