"Umpama mimpi dalam mimpi, itulah perkataan yang tepat hingga tercetusnya ilham saya ini. Saya tertanya sendiri, Adakah saya seorang yang suka berimaginasi hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi? Pelik tapi benar, selama tiga malam berturut-turut saya bermimpi satu kisah yang sama.” Itulah komen penulis novel Andai Itu Takdirnya, Siti Rosmizah.
Novel menakjubkan ini, penuh konflik lagi mendebarkan sehingga enam kali dicetak ulang meskipun baru diterbitkan tahun lalu dan saya sama seperti pembaca lain, yakin ia dapat memberi kepuasan walaupun hanya menampilkan realiti kehidupan berumah tangga zaman kini.
Dengan membaca novel ini, pembaca dapat melihat realiti, betapa perbezaan darjat, gaya hidup, faktor persekitaran mencorak jati diri seseorang insan dan hanya pegangan serta penghayatan didikan agama saja yang mampu membawa manusia kembali ke jalan benar.
Pengarang melalui Andai itu Takdirnya menyedarkan pembaca betapa manusia sering alpa lagi hanyut dengan kemewahan dunia sehingga mengabaikan tanggung jawab kepada Yang Maha Esa dan segala-galanya dipaparkan melalui corak penulisan yang hebat.
Gadis cantik, Aleya digambarkan pengarang membesar dalam keluarga sederhana, ditakdirkan menaruh perasaan kepada anak tokoh korporat ternama, Syed Adam Aizril, rakan sekuliahnya di universiti di United Kingdom, tetapi hanya memendamkan perasaannya kerana sedar hakikat perbezaan darjat dan gaya hidup mereka.
Susuk tubuh dan wajah tampan milik Syed Adam Aizril menjadikan dia kegilaan ramai gadis, tetapi limpahan kemewahan mengakibatkan dirinya terlalu ego, lalu kesombongan menguasai diri sehingga dirinya menjadi manusia mementingkan darjat serta menutup pintu hatinya daripada mendengar bicara hati walau ketika ada getaran di hatinya buat Aleya.
Syed Aizril melawan perasaannya dengan memberi layanan buruk terhadap Aleya sepanjang di United Kingdom dan sekembali ke tanah air, masing-masing meneruskan perjuangan kehidupan berbekalkan segulung ijazah, tetapi tanpa diduga takdir mempertemukan mereka semula.
Maka terjadilah peristiwa hitam di sebuah kondo milik Syed Aizril sehingga menyatukan mereka tanpa kerelaan hati dan akibatnya gadis malang itu tidak diterima keluarga sendiri dan terpaksa berhadapan dengan kerenah Syed Aizril setiap hari selepas bergelar isteri.
Beberapa babak kezaliman Syed Aizril pasti meruntun hati dan kezaliman lelaki bergelar suami selepas selepas isteri berbadan dua, benar-benar menggoncang jiwa pembaca sehingga menimbulkan rasa geram, marah, tidak puas hati, sedih dan pilu silih berganti dalam diri pembaca sementara ‘menunggu’ kesudahan cerita.
Kemalangan yang hampir meragut nyawa Syed Aizril dan keluarganya, membuktikan kuasa cinta tiada siapa dapat menghalang, apabila Aleya masih sudi membantu Syed Aizril, menaikkan semula semangatnya untuk terus hidup, meskipun dirinya menerima layanan buruk daripada suaminya selama ini.
Tindakan murni Aleya itu akan dilihat pembaca sebagai usaha mencantumkan kembali serpihan kaca yang berkecai. meskipun, kenangan pahit sepanjang bersuamikan Syed Aizril dulu masih segar dalam ingatan, tetapi tanggungjawab sebagai isteri mengatasi segala.
Tindakan Aleya kembali kepada Syed Aizril ditentang keras sahabat baiknya, Umairah, tetapi Aleya pasrah, memikirkan nasib anaknya yang masih memerlukan kasih sayang seorang bapa dan ketika ingin menyulam bahagia serta menyemai kasih antara dua hati, Sharifah Emilin, sepupu Syed Aizril muncul mengganggu kebahagiaan.
Sekali lagi, rumah tangga mereka dipukul badai apabila Sharifah Emilin sama seperti Syed Aizril, ego dan bongkak, menolak hakikat sepupunya itu sudah beristeri menyebabkan dirinya menjadi manusia pendendam lagi iri hati dalam usaha merebut kasih daripada Syed Aizril.
Konflik yang tercetus menyebabkan pembaca dihanyuti pelbagai macam perasaan, selain ragam Sharifah Emilin menimbulkan rasa meluat pembaca, tetapi mengumpan simpati kepada Aleya yang bijak membongkar rahsia penyelewengan wang syarikat dan pengorbanan terhadap anak.
Nilai persahabatan sejati antara Umairah dengan Aleya, menjadikan pembaca bertambah asyik meneruskan bacaan selain menjadi antara punca yang dapat merangsang pengarang menulis novel yang mampu memukau perasaan pembaca, meskipun hakikatnya tema lumrah ditampilkan Siti Rosmizah.
Air mata makin deras mengalir di pipi pembaca apabila Aleya disahkan mempunyai ketumbuhan di otak, sedangkan Syed Aizril terus melayannya dengan penuh ego lagi bongkak, hingga hubungan mereka tegang dan memaksa Aleya merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan suami.
Apakah nasib anak kandung Aleya, Dania? Mampukah Dania dibesarkan dengan sempurna tanpa kasih sayang seorang ibu? Bagaimana penerimaan Umairah apabila mengetahui penyakit sahabat baiknya? Bagaimana pula dengan Syed Aizril? Adakah Syed Aizril mampu teguh berdiri tanpa Aleya di sisi?
Mampukah Aleya diterima semula oleh keluarganya ketika dia berada pada penghujung hayatnya dan sempatkah Aleya bertemu dengan ibunya untuk memohon ampun dan restu? Apakah jalan terbaik bagi Aleya agar tidak ada hati yang kecewa dan berduka.
Mampukah Aleya menanggung segala keperitan sendirian sehingga memudaratkan diri? Segala persoalan ini akan terjawab dalam novel setebal 583 halaman ini dan pelbagai konflik tragis yang mewarnai novel ini, pasti mendorong pembaca pasti berpuas hati dengan kesudahan kisah.
Garapan peguam muda
SITI Rosmizah Semail membuktikan dunia penulisan kreatif mampu diceburi oleh sesiapa yang mempunyai kesungguhan, tanpa perlu menerima latihan formal dalam bidang ini seperti pengalamannya.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Mac 1972, membuktikan keupayaannya menerusi novel pertamanya, Andai Itu Takdirnya.
Novel pengamal bidang guaman ini yang dihasilkan berdasarkan kepada mimpinya selama tiga hari berturut-turut meskipun baru diterbitkan pada tahun lalu, sudah enam kali dicetak ulang, menjadikan novelis terkenal, Sharifah Abu Salem sebagai idolanya.
Kelahiran novel sulungnya itu, membuktikan kesungguhannya menguliti dunia penulisan kreatif di negara ini sehingga memungkinkannya menyiap novel keduanya, Cinta Kau dan Aku yang berada di pasaran sejak Mac lalu, sudah dua kali dicetak ulang.
Ibu kepada dua cahaya mata ini, menganggap kemunculannya dalam dunia penulisan kreatif bukan untuk bersaing dengan penulis tersohor tanah air, tetapi untuk berkongsi idea, ilmu dan pengalaman hidupnya bersama pembaca.
Oleh Nur Azzureen Nor Hisham