Donat Krispy Kreme kini di Malaysia

Sebut saja donat, siapa yang tidak suka? Terbayang di fikiran akan kelembutannya disaluti pula gula kastor atau gula halus. Donut lazat, tetapi ringan kerana pemakanan kuih itu lebih bercirikan snek dan manisan.

Beratur panjang, penat berdiri ataupun memakan masa lama hanya untuk sekeping donut, bukanlah penghalang bagi penggemar donut. Donut semakin digemari kerana kepelbagaian ragam, hiasan menarik dan cita rasa yang memukau selera.

Selalunya, kuih donut dinikmati ketika menikmati sarapan pagi atau minum petang. Namun, ia sudah menjadi satu budaya terkini kebanyakan masyarakat menikmatinya setiap masa di mana saja.

Selari dengan memahami kehendak serta cita rasa penggemar donut sejak 72 tahun lalu, jenama sajian donut terkemuka dari Amerika Syarikat, Krispy Kreme Doughnuts membuka kedai pertamanya di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Eksekutif Berjaya Krispy Kreme Sdn Bhd, Datuk Francis Lee, berkata kedai pertama Krispy Kreme di Berjaya Times Square adalah tulen seperti yang boleh didapati di Amerika Syarikat. Bahan-bahan dan ramuannya dibawa terus negara berkenaan bagi mengekalkan keenakan, kualiti dan kesegaran donut untuk santapan masyarakat Malaysia.

“Cita rasanya pelbagai dengan warna menarik dan perasa yang menyelerakan. Krispy Kreme mampu menjadi sebahagian daripada budaya dan kehidupan pemakanan orang Malaysia.


“Sehubungan itu, Krispy Kreme akan terus diperluaskan di seluruh negara dengan sasaran membuka kira-kira 20 kedai donut itu dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kedai pertama Krispy Kreme di ibu kota, baru-baru ini.

Pelancaran berkenaan dirasmikan oleh Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, James R Keith. Turut hadir, Presiden Krispy Kreme International, Jeff Welch; Naib Presidennya, Jim Rogers serta Pengarah Eksekutif, Berjaya Corporation, Datuk Robin Tan.

Krispy Kreme Doughnuts diperkenalkan sejak 1937 lagi dalam peruncitan donat yang bermutu premium. Selain menawarkan donat berkualiti sejak diperkenalkan di pasaran, Krispy Kreme Doughnuts turut menawarkan minuman kopi.

Kedai Krispy Kreme Doughnuts mempunyai keluasan sehingga 1,600 kaki persegi sambil memberi peluang kepada pelanggan menyaksikan secara langsung pembikinan donut menerusi ‘Teater Donut’. Mesin pembikinan donut berkenaan boleh menghasilkan kira-kira 18,000 donut dalam sehari, malah pelanggan boleh menikmati donut pilihan mengikut kreativiti sendiri.

Hari ini, Krispy Kreme Doughnuts mempunyai sebanyak 525 kedai donut di seluruh dunia dan akan melebarkan sayap kedua dengan membuka cawangan seterusnya pada hujung Mei ini di pusat beli-belah Mid Valley.

Memeriahkan pembukaan itu, Krispy Kreme Doughnuts menarik perhatian ramai dengan menganjurkan peraduan dua hari sebelum pelancaran pembukaannya dengan menawarkan hadiah Golden Ticket, Silver Ticket dan Bronze Ticket iaitu bekalan sajian donut Original Glazed® Donat mengikut kategori.

Berkat kesabaran dengan terpaksa bermalam bersama rakan di depan kedai berkenaan, pelajar tingkatan lima, Sekolah Sri Suria, Kuala Lumpur, Joey Tham Li Yen berjaya memenangi Golden Ticket berkenaan sekali gus berjaya menerima bekalan donut asli selama setahun.

Beliau yang tidak pernah menggemari donut sebelum ini sekali gus mengubah persepsi berkenaan selepas mendapati hidangan berkenaan sedap dan enak. Malah, katanya, donut yang diperkenalkan Krispy Kreme Doughnuts berkualiti dan banyak pilihan.

Bagi pemenang kedua dan ketiga adalah rakan sekelasnya iaitu Alex Leong Kok Weng yang memenangi Silver Ticket, sementara Bilal Ahmad pula merangkul anugerah Bronze Ticket. Masing-masing menerima bekalan donut dari Krispy Kreme Doughnuts selama enam bulan dan tiga bulan selepas seharian beratur serta bermalam bagi memenangi peraduan berkenaan.

Mereka berpendapat, donut jenama baru di kalangan masyarakat tempatan itu memasuki pasaran tempatan lebih lembut, terbaik dan sedap. Bekalan berkenaan tidak akan disia-siakan dengan berkongsi pengalaman itu bersama rakan dan keluarga mereka.

Oleh Hidayah Mohammad