Urutan tradisional Jawa

urut jawaTiada siapa yang tidak mempunyai masalah. Tertekan dek beban kerja di pejabat tambahan pula dengan masalah dalaman secara tidak langsung memberi kesan letih dan lesu pada badan.

Lazimnya, ke tempat hiburan sebagai ubat untuk mengatasi masalah tidak memberi kesan berpanjangan sebaliknya rawatan urutan badan ternyata memberi kelegaan, terutama pada bahagian badan yang sakit.

Urutan badan lazimnya bertujuan mengurangkan tekanan selain membantu menyegarkan semula tubuh. Malah, urutan badan itu dapat membantu meningkatkan peredaran darah dengan hanya sekurang-kurangnya setengah jam untuk memperoleh manfaatnya.

Pengurus Taman Sari Royal Heritage Spa, Noor Aisah Muda, berkata jika dulu urutan badan hanya sering dilakukan oleh wanita yang baru lepas bersalin, kini amalan itu dijadikan rutin di kalangan masyarakat termasuk lelaki.

“Pelbagai jenis urutan badan semakin terkenal di rantau ini antaranya urutan Melayu tradisional, Jawa, Balinese, Thai dan juga Swedish. Namun ia mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri pada bahagian badan yang memerlukan belaian urutan.

“Paling mendapat sambutan ialah urutan tradisional Jawa atau Javanese. Ia terkenal di Indonesia sejak berkurun lamanya. Keunikan urutan tradisional berkenaan mampu melegakan kesakitan, lenguh atau sengal pada tubuh kerana urutan tradisional berkenaan biasanya menggunakan tekanan agak kuat membabitkan urutan tisu dalaman. Terapi berkenaan bukan saja untuk melegakan tubuh, malah dianggap sebagai keperluan bagi sesetengah golongan,” katanya ketika ditemui di Taman Sari Royal Heritage Spa sempena lawatan media ke Awana Kijal Golf, Beach & Spa Resort, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Keunikan urutan Jawa sekali gus menjadi konsep utama bagi Taman Sari Royal Heritage Spa. Dibuka sejak 2001 lagi, konsep dalaman bermotifkan ala Jawa memberi ketenangan kepada mereka yang lari seketika daripada kesibukan kerja serta pencemaran alam di kota.

Sebelum memulakan rawatan, pelanggan terlebih dulu dijamu dengan minuman halia yang dicampurkan dengan gula merah dipanggil air wedang. Minuman berkenaan adalah bagi membantu pelanggan membuang angin serta membersihkan toksin dalam badan.

Noor Aisah yang juga Pengurus Perhubungan Awam Awana Kijal berkata, urutan Javanese di Taman Sari Royal Heritage Spa sangat berbaloi dan melegakan kerana ahli terapi mempunyai kemahiran mengurut. Urutan berkenaan hanya menggunakan ibu jari dan tapak tangan dengan kaedah menolak di seluruh bahagian badan.

“Lebih menghangatkan, urutan berkenaan menggunakan minyak kacang soya. Minyak berkenaan sangat bagus untuk kulit, malah ia membantu meningkatkan aroma bau badan segar. Urutan saja tidak cukup tanpa mendapatkan rawatan kulit dengan teknik penyental.

“Alang-alang mendapat rawatan kelegaan sengal di badan, lebih menarik jika rawatan penyental dilakukan terus. Baik untuk kebersihan kulit, membuang sel kulit mati serta memberi kesan kelembutan dari dalam, Taman Sari menawarkan produk penyental Papaya Enzime daripada Mustika Ratu,” katanya.

Taman Sari Royal Heritage Spa terletak di dalam resort bertaraf lima bintang di Awana Kijal. dengan menawarkan lebih 13 pakej istimewa untuk dicuba pelanggan. Antaranya ialah Ultimate Spa Experience yang mengambil masa sehingga dua jam termasuk mandian buih susu dalam tab mandi jakuzi.

Rawatan yang ada ialah Ancient Healing, Physical Conditioning, Royal Essential Touch, Stress Reduction dan Beautiful Princess yang mengambil masa antara setengah jam hingga empat jam lamanya. Selain itu, rawatan selepas bersalin juga diberikan selama tiga jam setengah untuk mengembalikan kesegaran wanita selepas menimang cahaya mata.

Belaian istimewa yang terdapat di spa berkenaan ialah Taman Sari - Awana Spa Retreat mengambil masa selama enam jam membabitkan rawatan asas termasuk rawatan wajah, spa lunch, urutan kaki dan tangan aromaterapi serta rawatan rambut.

Selain itu, istimewa untuk pasangan baru berkahwin iaitu pakej Royal Honeymoon untuk suami dan isteri selama lima jam. Untuk lelaki rawatan yang diberikan ialah Pelvic Floor Excercise, rawatan wajah muka, refleksologi dan sebagainya sementara si isteri pula terdapat urutan Asmaragama, pupur badan (mangir atau bengkong), cucian dalaman dan rawatan

Untuk kecantikan lengkap bagaikan puteri, rawatan sampingan lain adalah rawatan kuku kaki dan kuku tangan (manicure dan pedicure) serta perkhidmatan buangan bulu anggota badan.

INFO: Taman Sari Royal Heritage Spa

* Lokasi: Awana Kijal Golf, Beach & Spa Resort, Kemaman, Terengganu.
* Rawatan:
o 13 pakej spa kecantikan
o enam urutan aroma terapi (leher dan bahu, sukan, Therapeutic, Queen dan Volcanic Stone)
o terapi kaki dan tangan (manicure, pedicure)
o rawatan kecantikan wajah (royal facial, rejuvenating, diamond peel dan Oxijet Facial)
o perkhidmatan membuang bulu badan (kaki, tangan, bawah lengan dan muka)
o penjagaan kecantikan kulit (penyental, mandian susu, balutan badan dan pupur badan)
o rawatan rambut (potong, membasuh, melurus, dan mewarnakan)


* Harga: RM250 hingga RM825
* Telefon: 09 864 1188.