Pada awal pengenalan, produk kecantikan Sheila Majid yang diberi nama Jerneh itu hanya dipasarkan menerusi Internet. Sesudah lebih lapan bulan dijual secara maya, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Ekoran itu, Sheila semakin berani dan kini, bayi barunya itu sudah melepasi banyak jangkaan.
"Memang mulanya saya cuma merancang untuk memasarkan dan mempromosikan produk ini seperti mana yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha produk kecantikan tempatan yang lain, diiklankan dalam majalah-majalah wanita tetapi hari ini (28 Ogos 2009), saya boleh katakan ia telah melepasi banyak jangkaan saya," luah Sheila bangga dengan pencapaian awal Jerneh.
Jerneh menjadi satu-satunya produk kecantikan tempatan yang berjaya menembusi tembok di gedung terkemuka Parkson yang dikuasai barangan berjenama dari luar negara. Di Parkson, produk Jerneh boleh diperoleh di butik kecantikan dan barangan Tanamera keluaran F.A Herbs.
Keberadaan di kelompok yang sebaris dengan puluhan jenama kosmetik dan kecantikan bertaraf antarabangsa sedikit sebanyak memberikan satu keyakinan baru buat Sheila dan rakan kongsinya, Mohamad Faisal Ahmad Fadzil yang juga pengusaha F.A Herbs Sdn. Bhd.
"Sebenarnya tiada kriteria khas yang ditetapkan pihak Parkson terhadap barangan tempatan yang ingin menempah tempat di sini. Tanamera sendiri dijual di serata dunia tapi saya tidak menafikan kredibiliti Sheila dalam bidang muzik antara penyebab yang membawa Jerneh sejauh ini," jelas Faisal yang turut bertindak sebagai Pengarah Urusan Jerneh.
Setakat ini produk Jerneh hanya boleh didapati di kaunter Tanamera Parkson Sunway Pyramid dan Parkson Kota Bharu, namun menurut penghibur berstatus ibu kepada lima anak itu, pencapaian Jerneh sudah cukup membanggakan buatnya.
"Sudah 10 tahun saya mengimpikan satu produk kecantikan yang tidak memudaratkan serta halal untuk umat Islam. Puncanya, saya sering menerima produk kecantikan percuma tetapi ragu-ragu terhadap kesan serta kandungan produk berkenaan," jelas Sheila yang selalu menjadikan anak gadisnya Khalida sebagai 'bahan' rujukan ke atas setiap produk kosmetik yang diragui.
Secara jujurnya Sheila mengakui dirinya menjadi pengguna setia produk miliknya itu sejak setahun setengah lalu. Kualiti serta hasil yang dirasai sendiri meyakinkan Sheila untuk berkongsi kegembiraan bersama seluruh peminat dan pengguna tercari-cari produk halal bermutu tinggi.
Besar harapan Sheila, satu hari nanti, Jerneh juga mampu mempunyai kaunter tersendiri dan sebaris dengan produk-produk kecantikan antarabangsa yang lain.
Fasa pertama di pasaran, Jerneh fokus kepada dua bentuk produk iaitu antipenuaan dan pembersihan yang boleh digunakan oleh pengguna lelaki dan wanita.
Untuk jangka panjang, Sheila dan rakan kongsinya turut merancang memperkenalkan produk khas untuk lelaki agar suatu hati nanti, Jerneh akan dekat di hati pengguna Malaysia sebagai produk tempatan berkualiti antarabangsa.
Segala maklumat tentang Jerneh boleh didapati dengan melayari www.jernehbysheilamajid.com