Mengikut fesyen tudung yang sedang menjadi trend saat ini iaitu yang mempunyai 'awning' atau teduhan, hijab berjenama Pearl Haya tampil memberikan nuansa yang berbeza tetapi tetap akan membuatkan si pemakai kelihatan cantik dan anggun.
Menurut pencetus idea bagi satu lagi reformasi tudung seperti ini yang terdiri daripada tiga sahabat karib, Zetty Rosli, 33, Suriyati Daman, 33, dan Nor Azlin Abdul Jalil, 39, dari Negeri Sembilan, rekaan untuk Pearl Haya bukan saja berawal dengan kepentingan untuk berpakaian sopan secara muslimah tetapi bahan yang digunakan juga nyaman dan menawan dengan ciri-ciri khasnya yang tersendiri.
Gaya istimewa pada rekaan Pearl Haya yang juga merupakan ciri-ciri khas tudung jenama tersebut terletak pada rekaan 'awning' atau teduhan yang mengkombinasikan dua lapisan fabrik di samping pemilihan fabrik yang bersesuaian dengan motifnya.
Untuk itu Pearl Haya menggunakan padanan yang dipilih daripada fabrik sutera Thai, sutera India, tenun sutera India dengan corak timbul, kain linen Itali, fabrik tenun sutera China dan tidak ketinggalan denim yang dijahit pada keseluruhan tudung.
Selain itu, Pearl Haya juga mementingkan aspek penjimatan masa, ringkas, praktikal, kemas, berkualiti, selesa dan menawan melalui pemilihan fabrik, variasi warna dan padanan pada teduhan yang dianggap mahkota.
Masakan tidak dengan pemilihan fabrik, warna dan corak yang bersesuaian Pearl Haya sesuai digayakan dalam pelbagai suasana seperti majlis perkahwinan, keraian, sambutan perayaan mahupun bersantai atau beriadah.
Bukan itu saja Pearl Haya turut menitikberatkan pemakaian hijab dalam aktiviti harian seperti ke pasar, di dapur, halaman rumah mahupun ke gimnasium.
Lebih menarik tentang Pearl Haya adalah ia direka untuk semua generasi kerana bukan wanita dewasa saja boleh menggayakannya tetapi juga kanak-kanak dan gadis remaja.
Setiap gaya direka bagi menepati cita rasa golongan berkenaan seperti kombinasi warna santai serta kasual menggunakan fabrik jenis kapas dengan gabungan 'awning' denim boleh digayakan oleh remaja.
Sementara bagi kanak-kanak pula kombinasi warna ceria dengan fabrik lembut dan tidak panas seperti kapas bakal menjadi pilihan.
Rekaan Pearl Haya juga dibawakan dalam tiga potongan labuh iaitu Pearl 1 direka pendek dan ringkas serta sesuai untuk digayakan oleh mereka yang mempunyai karier dalam bidang korporat yang senantiasa mementingkan penampilan yang kemas dan bergaya.
Sementara Pearl 2 yang sederhana labuh pula adalah untuk memenuhi keperluan untuk bergaya di majlis keraian kerana tudung boleh digayakan bersama kerongsang.
Pearl 3 pula yang labuh dapat dipelbagaikan pemakaiannya dan sesuai digayakan dengan busana muslim atau baju tradisional seperti baju kurung.
Bukan itu saja, Pearl Haya turut menyediakan khidmat khas tempahan hijab mengikut padanan warna, corak dan rona busana yang bakal dikenakan agar penampilan tampak lebih anggun.
Setiap pembelian Pearl Haya didatangkan dengan kotak eksklusif yang boleh dijadikan isebagai hadiah atau cenderamata. Bagi mereka yang ingin membuat tempahan sila layari, www.pearlhaya.com.
Oleh JAMLIAH ABDULLAH