Peraduan Yebo! Juara Dunia anjuran Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
Peraduan meneka pasukan pilihan dalam Piala Dunia FIFA 2010 yang akan layak ke setiap peringkat dalam pertandingan tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Nik Anura Nik Abd Rahman berkata, majlis perasmian tersebut turut dihadiri pemain bola sepak kebangsaan, Yong Kuong Yong dan pemain bola sepak Selangor, Asrarudin Putra Omar.
Menurutnya, orang ramai yang hadir pada hari berkenaan akan dihiburkan oleh penyanyi terkenal tanah air seperti Aliya dan kumpulan Badboyz.
''Pihak penganjur turut menyediakan aktiviti yang menarik untuk pengunjung yang hadir pada hari tersebut seperti pertandingan menimbang bola, melakar bola paling kreatif dan sesi autograf bersama ikon bola sepak.
''Orang ramai digalakkan hadir pada hari tersebut kerana pelbagai hadiah menarik untuk ditawarkan kepada pengunjung yang bertuah,'' katanya di sini, semalam.
Mengulas mengenai peraduan tersebut, Nik Anura berkata, borang hanya dikeluarkan pada 15 dan 16 Mei ini menerusi akhbar rasmi peraduan iaitu Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.
''Peraduan ini sangat mudah kerana peserta hanya diminta memilih pasukan pilihan yang akan layak bermula dari perlawanan pusingan kedua hingga ke akhir dalam pertandingan tersebut.
Beliau berkata, peraduan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,00 dan pemenang tempat pertama akan menerima sebuah kereta Honda City.
''Pemilihan pemenang peraduan akan ditentukan menerusi keputusan sebenar perlawanan Piala Dunia dan peserta yang berjaya meneka dengan tepat atau mengumpul markah paling tinggi dikira sebagai pemenang,'' katanya.