Restauran Tasik Raban
TK 19, Kampung Kota Tampan,
33400 Lenggong, Perak.
Aroma ikan yang dipanggang dengan arang saja sudah cukup membuatkan kecur air liur, apatah lagi apabila hidangan sudah tersaji di depan mata.
Biarpun saiz ikan bakar yang disediakan di Restoran Tasik Raban agak besar dan mencukupi buat dua orang menjamu selera, penulis penuh yakin meminta seekor untuk dihabiskan bersendirian supaya dapat menikmati menu itu sepuas-puasnya.
Enaknya menikmati isi ikan yang masih panas dan berasap. Isinya yang manis dan segar, begitu menyelerakan apabila dimakan dengan kuah sambal di lapisan. Ingin lebih enak, air asam turut disediakan sebagai pencicah.
Ramuan istimewa kuah sambal mengandungi serai, lengkuas, bawang merah yang digoreng menjadi tarikan utama ikan bakar restoran itu.
Bagi penggemar ikan bakar, antara pilihan ialah meratah ikan tanpa mengambil nasi kerana ia sudah cukup mengenyangkan atau makan bersama masakan kampung lain.
Menjamu selera di restoran dengan nama bersempena tasik di Lenggong itu memang menyeronokkan. Terletak kira-kira 20 kilometer dari Plaza Tol Kuala Kangsar, restoran yang menyajikan pelbagai masakan ala kampung, ulam-ulaman, sambal dan gulai tempoyak itu meriah dengan pelanggan terutama pada waktu makan tengah hari.
Kakitangan restoran berkenaan, Meor Hasshim Meor Ahmad, berkata restoran yang mula dibuka 10 tahun lalu itu menyajikan ikan sungai seperti tengalan, kerai, kelabo, lampam jawa, patin, sebarau, kaloi dan tilapia.
"Ikan air tawar mempunyai peminat tersendiri. Rasa ikan sungai lebih manis, kurang hanyir dan lebih enak berbanding ikan sangkar.
"Ikan tengalan antara yang termahal berikutan bekalannya tidak menentu. Ia bergantung kepada musim kerana ikan ini hidup dalam persekitaran semula jadi.
"Anggaran berat seekor ikan yang dibakar 700 atau 800 gram dan paling berat ialah 1 kilogram.
"Untuk ikan tilapia, terdapat dua pilihan sama ada pelanggan mahukan ikan sungai atau ikan sangkar. Ikan tilapia sungai harganya lebih mahal," katanya.
Restoran menyajikan makanan asli Perak seperti pekasam goreng dan gulai tempoyak, turut mempunyai cawangan di Jalan Kompleks Sukan, Ipoh dan Seksyen 18, Pengkalan, Ipoh.
Selain itu, turut disajikan ialah ikan patin, daging masak hitam, gulai lemak tengalan, sayur kampung, kari, masak lemak nangka, lemak keladi, terung kari, acar timun nanas serta pucuk manis masak lemak.
Jenis ulam-ulaman pula termasuklah kacang botol, kacang panjang, ulam raja, pucuk gajus, jantung pisang, timun, petola, peria kata celur, bayam celur, terung celur yang enak dicicah sambal belacan.
Menurut Meor lagi, kebanyakan pelanggan datang dari luar Lenggong kerana restoran itu terletak di jalan utama antara Perak dan Kelantan, di samping kakitangan kerajaan dan swasta.