Polident :Optimumkan pemakaian gigi palsu

Gigi merupakan anugerah yang tidak ternilai bukan saja sebagai sebahagian daripada organ penghadaman malah pelengkap kepada kepada penampilan diri.

Bayangkan saja jika sebatang gigi patah, pasti berasa teragak-agak untuk menguntum senyum dan membataskan seseorang untuk bertutur dengan jelas.


Malah ketiadaan gigi yang sempurna membuatkan kita bagaikan hilang nikmat untuk makan serta keyakinan untuk berdepan dengan orang lain.

Namun dengan ledakan teknologi, gigi yang patah atau rosak boleh diganti dengan penggunaan gigi palsu menjadikan ia kelihatan seperti gigi asal.

Di Malaysia terdapat tiga juta pengguna yang memakai gigi palsu. Daripada jumlah tersebut 52 peratus berumur di bawah 50 tahun dan daripada jumlah berkenaan 63 peratus adalah kaum wanita.

Tetapi sayangnya, biarpun bilangan penggunaan gigi palsu semakin meluas, pengetahuan menggunakan dengan cara yang betul masih tidak memuaskan.

Menurut pakar gigi dari Universiti Newcastle, Prof. Angus Walls, ramai pemakai gigi palsu masih samar-samar tentang aspek penjagaan asas dan cara untuk mengoptimumkan tahap keselesaan pemakaian gigi palsu.

Kata beliau, biarpun memakai gigi palsu namun ia masih boleh memberikan keselesaan sekiranya menggunakan dengan cara yang betul.

"Jangan bimbang dengan kehilangan gigi asal kerana pemakaian gigi palsu juga mampu menggantikan gigi yang asal sekiranya anda tahu menggunakan dengan cara yang betul,'' ujarnya.

Tegas beliau, biarpun memakai gigi palsu, ia harus dibersihkan secara konsisten seperti gigi asal bagi mengelakkan masalah seperti nafas berbau dan kesan -kesan kotor yang degil.

Pemakai gigi palsu juga mudah terdedah kepada risiko penurunan tahap kesihatan tubuh kerana penjagaan gigi palsu yang tidak betul dan masalah oral.

"Pembentukan bakteria biofilem boleh menyebabkan iritasi berterusan pada bahagian atas lelangit dan menyebabkan radang pada bahagian bawah gigi palsu.

"Keadaan itu mengakibatkan kerosakan pada tulang yang menyokong gusi," ujarnya.

Terang beliau lagi, pada peringkat permulaan pemakaian gigi palsu mungkin seseorang akan berasa sesuatu yang besar dalam mulut dan kurang selesa.

Selain itu, pengeluaran air liur juga turut meningkat kerana ketika itu mulut sedang menyesuaikan dengan gigi palsu yang baru.

"Tetapi jangan bimbang, sebaliknya harus relak dan bersikap positif. Seperti membuat perkara baru yang lain, ia mengambil masa untuk membiasakan diri,'' terangnya.

Katanya lagi, ketika mula memakai gigi palsu mungkin percakapan dan pendengaran seseorang itu sedikit berbeza.

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh bunyi yang dibawa kepada telinga memberikan getaran dalam tengkorak dan tulang rahang serta getaran tersebut telah diubahsuai oleh penggunaan gigi yang baru.

"Dalam situasi itu, cuba berlatih bercakap dengan kuat tetapi sebelum itu menggigit ke bawah dan menelan supaya gigi palsu siap 'diatur' dalam mulut," ujarnya.

Ditanya mengenai aspek pemakanan, Prof. Angus memberitahu, kekuatan untuk mengunyah dengan gigi palsu lebih rendah berbanding gigi asal.

"Keadaan ini mendorong pemakai gigi palsu memilih makanan yang lebih lembut atau yang dimasak terlalu lama dan akibatnya nutrisi berkurangan.

"Bagaimanapun penggunaan pelekap gigi palsu akan menguatkan kunyahan dan memberikan pemakai gigi palsu kebebasan untuk memilih variasi makan yang menjanjikan nutrisi yang lebih baik," katanya.

Kini satu krim pelekap gigi palsu telah diperkenalkan bagi memudahkan pemakai gigi palsu kelihatan lebih yakin.

"Hanya tampal sedikit krim Polident di lelangit gigi palsu anda ia diyakini mampu mengekalkan kestabilan gigi dan keyakinan diri," katanya.

Malah krim Polident itu juga akan membentuk lapisan perlindungan untuk mencegah partikel makanan daripada terperangkap di bawah gigi palsu.

"Keadaan itu mampu mengurangkan kesakitan kepada pemakai," ujarnya.

Oleh ZUHAYATI YAZID