Butik DNA Dynas Mokhtar di The Curve, Mutiara Damansara

Pelakon jelita tinggi lampai, Dynas Mokhtar telah melancarkan kios terbarunya yang dinamakan Dynas Nursing Attire (DNA).


Kios ini berbeza dengan butik yang pernah dmilikinya sebelum ini. Jika dulu dia menjual koleksi pakaian kasual, kali ini Dynas tampil dengan koleksi pakaian yang direka istimewa untuk wanita yang menyusu badan dan wanita hamil. Istimewanya koleksi ini, ia juga boleh digayakan oleh mana-mana wanita kerana rekaannya cukup bergaya dan trendi. Bahkan, koleksi ini direka sendiri oleh Dynas.

“Idea untuk muncul dengan perniagaan ini sudah tentu datang daripada Khyra. Saya pun tidak pernah terfikir akan terlibat dengan bisnes materniti ini, tapi saya memang ghairah dalam rekaan fesyen. Jadi, selepas berfikir seketika, saya akhirnya buat keputusan untuk memulakan bisnes ini.

Selain itu, saya juga mahu menggalakkan penyusuan ibu kerana ia memberi banyak manfaat kepada pembesaran bayi. Apabila kita mengamalkan penyusuan ibu ini, sudah pasti kita memerlukan pakaian dan keperluan yang sesuai. Jadi atas sebab itulah, saya tampil dengan DNA ini. Saya sedar tidak banyak pakaian sebegini yang ada di luar sana. Koleksi ini diilhamkan mengikut pengalaman saya sebagai seorang ibu,”jelas Dynas yang tampil sedondon dengan puterinya yang berusia setahun lebih.

Bercerita lanjut tentang koleksi pakaian rekaannya itu, Dynas memberitahu dia mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk mereka koleksi pakaian tersebut. Jelas pengacara Si Kecilku Chakk! ini, dia tidak menjadikan mana-mana label pakaian sebagai inspirasi, sebaliknya hanya melihat pakaian yang sering digayakan oleh ibu-ibu sekarang ini.

“Memang bukan mudah untuk mereka pakaian, saya mengambil masa kira-kira setahun setengah untuk menghasilkan koleksi yang ada ini. Buat masa ini DNA ada koleksi kasual, pakaian pejabat, pakaian formal, baju kurung, jubah dan juga pakaian sedondon ibu dan anak. Mengikut perancangan, saya akan keluar dengan rekaan terbaru pada setiap tiga bulan, tetapi tidak pasti lagi sebab saya mahu lihat maklum balas daripada pelanggan. Mungkin juga saya akan keluar dengan koleksi raya tidak lama lagi, “ ujar Dynas teruja.

Dalam masa yang sama, pelakon ini juga mengaku yang dia sebenarnya sangat berdebar-debar dengan bisnes terbarunya itu.

“Walaupun saya mendapat sokongan padu daripada suami dan ahli keluarga yang lain, tetapi saya tetap berdebar-debar menanti maklum balas daripada pelanggan. Saya keluarkan modal sendiri sebanyak RM150,000 untuk DNA dan sudah pasti saya harapkan perniagaan ini berjaya. Memang ibu saya banyak memberi nasihat dan kata-kata perangsang, tetapi individu yang banyak menyokong saya untuk terlibat dalam bidang ini ialah Rita daripada Nurturing Concepts Sdn Bhd. Saya kenali dia melalui program Si Kecilku Chakk!,” cerita Dynas lagi.

Bagi yang berminat untuk mengenali DNA dengan lebih dekat, anda boleh ke kios DNA yang terletak di K-F3-D, 1st Floor, The Curve, Mutiara Damansara. Pakaian di sini berharga RM50 ke atas dan ia boleh didapati dalam saiz S, M, L , dan XL. Selain menyediakan koleksi pakaian bergaya, kios ini turut menyediakan barangan keperluan bayi yang dibekalkan oleh Nurturing Concepts Sdn Bhd di bawah label Mum’s Little One.