Didik wanita melabur emas

Pelaburan Emas Wanita

Selain untuk perhiasan memilik barangan kemas juga satu pelaburan jangka panjang.

Biarpun sehalus janggut udang barang hiasan emas tetap menjadi idaman golongan wanita sejak dari dulu lagi.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa emas menjadi sahabat baik wanita yang melambangkan kemewahan dan status seseorang.

Bagi yang lebih bijak menjadikan emas sebagai pelaburan jangka panjang sebagai harta yang boleh membawa keuntungan lumayan pada waktu diperlukan.

Malangnya, amalan itu tidak menjadi ikutan wanita generasi muda hari ini yang lebih suka kepada barangan berjenama lain bagi melambangkan kemewahan dan prestij.

Menurut Pengurus Besar Cantik Jewellery Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Habib Jewels, Abdul Razak Abdul Kadir, seharusnya generasi muda hari ini mencontohi 'orang lama' untuk membeli barangan kemas sebagai hiasan dan pelaburan.

"Membeli emas hari ini sangat menguntungkan, ia bukan sekadar barang perhiasan yang boleh digunakan untuk bergaya tetapi juga aset penting memandangkan harganya semakin meningkat dari hari ke sehari,'' tegasnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, nilai emas yang sentiasa meningkat dengan konsisten mengikut harga pasaran emas dunia menjadikan ia komoditi terbaik untuk pelaburan jangka panjang.

"Sambil berhias dengan barangan kemas berkualiti pada masa sama wanita juga sebenarnya telah membuat pelaburan jangka panjang," katanya.

Menurut Abdul Razak, sudah tiba masanya untuk golongan wanita mengubah cara hidup sekarang dengan menjadikan emas sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

"Sebagai contoh setiap tahun kita belikan emas kepada diri sendiri, atau pada anak-nak bagi menggantikan hadiah-hadiah lain.

"Biarpun nampak kecil namun nilainya akan bertambah dari semasa ke semasa. Keadaan ini jika dibiarkan untuk tempoh tertentu pastinya mendatangkan keuntungan,'' kata Abdul Razak.

Katanya lagi, emas boleh dijual semula mahupun digadaikan ketika masa sesak tanpa perlu menanggung susut nilai.

Bagaimanapun beliau menyeru supaya membeli emas di tempat atau di kedai yang mempunyai nama.

"Keadaan itu penting memandangkan ia mengelakkan daripada pelanggan di tipu serta memastikan kualiti emas itu terjamin,'' katanya lagi.

Di Habib katanya, pelanggan yang membeli barangan kemas akan diberikan sijil dan keadaan itu memberikan jaminan kepada pelanggan untuk terus membeli di premis tersebut.

Lagi pun pembelian emas yang dilakukan dalam negeri dapat membantu pembangunan kerana aliran wang berlaku dalam negara kita sahaja.

Menurutnya lagi, di Habib bukan sahaja menjual emas tetapi membeli semula emas lama untuk dileburkan.

Malah terbaru, Habib juga menawarkan pajak gadai yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menggadai barangan perhiasan tersebut.

Terangnya lagi, pihaknya kini mempunyai sebuah premis pajak gadai yang terletak di Ampang. Bagaimanapun pihaknya kini dalam persiapan terakhir untuk membuka lima lagi premis pajak gadai di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan.

"Uniknya pajak gadai di sini ialah turut menerima berlian dan batu-batu berlian untuk di gadaikan,'' katanya lagi.


Oleh ZUHAYATI YAZID