Bengkung Qurratu' dan Yuslaily Yunos Corset

Bengkung Qurratu' dan Yuslaily Yunos Corset

Perniagaan bengkung? Bunyinya mungkin agak kurang komersial pada halwa telinga malah boleh mengundang komen-komen sinis yang memedihkan hati.

Itulah juga yang dialami Yuslaily Yunos, 34, ketika memulakan perniagaan bengkung apabila ramai yang mengejek dan mentertawakannya.

Orang memandang kecil terhadap perniagaan tersebut yang pada pandangan mereka bukan perniagaan menguntungkan.


Ini kerana jika setakat dibeli oleh wanita yang menunggu masa untuk bersalin, berapa sangatlah yang boleh dijual.

Perniagaan bengkung itu mungkin dianggap sebagai perniagaan kecil-kecilan atau hanya sesuai untuk mak bidan sahaja.

Semua tanggapan itu tidak mematahkan semangat Yuslaily apatah lagi menyimpan dendam pada mereka yang sering mencemuh dan mentertawakannya.

''Saya bangun daripada setiap kegagalan dengan penuh rasa syukur. Satu perkara yang ingin saya kongsi dalam apa sahaja perniagaan yang saya ceburi, saya tidak pernah meminjam wang daripada mana-mana pihak kerana bagi saya jika mahukan ketenangan fikiran jauhi hutang,'' ujarnya.

Kini, walau sudah lebih 11 tahun kilangnya, Yuslaily Yunos Inspire beroperasi dan mengeluarkan bengkung berjenama Qurratu' Bengkung dan Yuslaily Yunos Corset, permintaan sentiasa ada dan berterusan.

Dalam sebulan, Yuslaily Yunos Inspire dapat mengeluarkan 5,000 hingga 10,000 helai bengkung kain belacu atau bengkung tradisional.

Bukan setakat mendapat keyakinan pengguna, malah Yuslaily meraih kepercayaan daripada syarikat-syarikat kosmetik dan jamu terkenal yang menempah bengkung tradisional secara eksklusif di kilangnya.

Yuslaily yang ditemui baru-baru ini di kilangnya di Ampang Waterfront berkata, permintaan bengkung amat laris kerana produk tersebut sesuai dipakai bukan saja wanita malah lelaki yang mengalami masalah perut buncit.

''Tambahan pula harga bengkung murah, pemakaian yang mudah dan paling penting keselesaan apabila memakainya.

"Keberkesanannya diperakui sejak zaman nenek moyang kita lagi. Sebab itu walaupun telah ada pelbagai jenis bengkung moden di pasaran namun bengkung kain belacu masih mendapat tempat di hati pengguna.

''Malah seorang pelanggan saya yang kini menjadi agen saya di Hong Kong berkata pemakaian bengkung ini hebat.

"Walaupun dia berbangsa Cina dan tidak tahu langsung tentang bengkung atau amalan tradisional orang Melayu bagi wanita selepas bersalin, dia dapat meyakinkan pengguna di sana akan keberkesanannya,'' jelas ibu kepada tiga orang anak perempuan itu.

Lebih hebat selain Hong Kong dan China, Bengkung Qurratu' turut mendapat tempat di Singapura, Indonesia, Brunei, Dubai, Arab Saudi, Jerman, Denmark, Australia, England dan banyak lagi.

Ini adalah hasil kecanggihan teknologi Internet dan melalui agen yang mempunyai keyakinan terhadap produk tersebut.

Beliau amat bersyukur dan berbangga kerana berkat kesabarannya bersama suami, Muhammad Hairul Afiq Abdullah, 34, dan jatuh bangun dalam dunia perniagaan, kini Yuslaily Yunos Inspire merupakan pengilang dan pengeluar bengkung terbesar di Malaysia.

Katanya, hampir semua pengusaha spa, salon dan peniaga jamu yang berjenama terkenal di pasaran dalam dan luar negara mendapat bekalan bengkung eksklusif dari kilangnya.

Bercerita mengenai masalah yang dihadapi dalam perniagaan tersebut, Yuslaily berkata, kenaikan harga barang seperti kain belacu, benang serta kekurangan tenaga kerja memberi tekanan kepadanya.

''Awal tahun ini mereka yang terlibat dalam industri pembuatan berkaitan fabrik dikejutkan dengan kenaikan harga kain sehingga 50 peratus kerana faktor ekonomi dan banjir besar di China dan Pakistan.

''Mulanya saya susah hati sehingga tidak boleh tidur malam. Tetapi apabila teringatkan bahawa rezeki datang dari Allah, terus hilang perasaan takut malah saya terus bersemangat untuk meneruskan perjuangan ini,'' katanya yang pernah berniaga nasi lemak di tepi jalan.

Yuslaily amat mengalu-alukan sesiapa sahaja di seluruh dunia yang hendak menjadi pengedar Bengkung Qurratu' dengan modal serendah RM168.

Kepada yang berminat boleh lawati laman web www.Qurratu.com atau hubungi 012-2254931.