2 pengilat kuku boleh sebab barah

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai tidak menggunakan dua produk pengilat kuku jenama Skin Food kerana dikesan mengandungi bahan kimia bertoksik dikenali sebagai benzene, sejenis ejen penyebab kanser.

Dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datuk Eisah A Rahman berkata, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima status keselamatan terkini daripada Jabatan Sains Kesihatan Singapura mengenai penarikan balik dua produk pengilat kuku buatan Korea itu.

“Pengilat kuku itu adalah Skin Food Jojoba Pure Nail dan Skin Food Milk Creamy Nail Base Coat dikesan mengandungi bahan kimia benzene pada paras rendah iaitu masing-masing 22.3 bahagian per juta (ppm) serta 30.3 ppm.

“Benzene adalah bahan organik yang boleh menyebabkan kanser dan dilarang penggunaannya di Malaysia, negara Asean dan Kesatuan Eropah,” katanya.