Jadi ahli forensik, kerjaya ahli forensik

Keunikan bidang kerjaya ahli forensik sering dipaparkan di televisyen, malah menjadi antara kerjaya kian diminati ramai dan menyedari keperluan itu, Management & Science University (MSU) melalui Fakulti Kesihatan dan Sains Hidup menawarkan pengajian sains forensik peringkat ijazah sarjana muda selama tiga tahun.

Secara asasnya, pasukan forensik perlu mengambil masa serta teliti dalam setiap tugasan selain mengambil kira pelbagai aspek dalam menjalankan siasatan di tempat kejadian. Disiplin tinggi dalam kerja berpasukan serta ketahanan mental dan fizikal perlu ada selain sanggup memenuhi tuntutan masa bekerja yang tidak menentu.

Ketika ini, sains forensik tempatan terus maju dan sentiasa diutamakan sebagai kaedah saintifik dalam penyiasatan kes jenayah serta menegakkan keadilan dalam kes pendakwaan.

Perkembangan positif ini sekali gus meningkatkan keperluan pakar forensik dalam pelbagai sektor awam dan swasta termasuk Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Selain menjadi pegawai forensik, graduan bidang ini boleh berkhidmat sebagai pakar linguistik forensik yang antara tanggungjawabnya termasuk mengkaji dan menganalisis maklumat bertulis, lisan dan dokumentasi yang direkodkan pelaku jenayah di tempat kejadian atau sesi soal siasat.

Bagi memenuhi tuntutan modal insan bidang itu, graduan bidang sains forensik dilatih supaya berpengetahuan luas dalam bidang penyiasatan sama ada menerusi pembelajaran atau latihan diterima di universiti mahupun sesi praktikal.

Pembelajaran yang diterima merangkumi segala asas bidang forensik iaitu cara penyiasatan kejadian jenayah, psikologi, kriminologi atau kajian perlakuan penjenayah, perubatan forensik, kimia analitikal, kriminalistik, balistik, DNA, serologi dan sistem pengadilan jenayah.

Bagi pelajar berminat mengikutinya, asas kukuh kimia dan biologi adalah satu kemestian selain matematik, matematik tambahan dan bahasa Inggeris.

Dengan kelayakan asas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi atau diploma diiktiraf, pelajar yang berminat boleh mengikuti program ini. Penuntut didedahkan dengan pembelajaran amali dan teori bagi membantu mereka mengaplikasi ilmu dengan lebih berkesan.

Maklumat lanjut , hubungi Jabatan Kaunseling dan Komunikasi MSU di talian 03-5521 6868, SMS dengan menaip MSUINFOnama dan e-mel kepada 019-3419152/016-356 8251/012-249 6551 atau layari www.msu.edu.my.