Kecantikan bukan saja dilihat dari paras rupa, tetapi juga dari dalam. Ini bermaksud, jika kulit saja cantik, tetapi badan tidak sihat dan cergas, ia tidak mendatangkan apa-apa makna.
Melakukan rawatan kecantikan kulit badan di spa perlu seimbang dengan melakukan latihan senaman. Tidak kira sama ada melakukan senaman di rumah mahupun di gimnasium, latihan senaman mampu mengekal bentuk badan cantik diselangi dengan rawatan di salun atau spa.
Pusat rawatan kecantikan Iris Spa & Fitness Center yang terletak di Taman Prima Saujana, Kajang yang dibuka sejak Ogos tahun lalu, sesuai bagi mereka yang mementingkan kecantikan luar dan dalam.
Pemilik pusat kecantikan berkenaan, Irma Syahadah Samsudin, berkata ramuan untuk rawatan badan di spa hanya berasaskan bahan rempah semula jadi yang dibancuh sendiri. Antara bahan yang dicampur untuk mengembalikan kesegaran badan ialah daun pandan, serai, kunyit, kulit kayu manis, bunga lawang, halia dan daun limau purut.
"Bahan berkenaan serasi dengan kulit badan berbanding menggunakan produk yang mengandungi banyak bahan kimia. Ia boleh mendatangkan kesan samping pada kulit menyebabkan saya tidak menggunakan produk luar yang ditawarkan.
"Menariknya di Iris Spa ialah Herbal Infusion iaitu bertungku. Ramai berpendapat bertungku baik untuk wanita lepas bersalin, tetapi rawatan itu juga elok untuk semua wanita tidak kira bujang atau berkahwin. Dengan hanya menggunakan kain, rempah semula jadi dicampur dan diikat menjadi seakan batu tunku, dan ia dipanaskan sebelum ditekap beberapa kali pada bahagian perut bagi melancarkan peredaran darah," katanya ketika ditemui di Iris Spa & Fitness Centre, Taman Prima Saujana Kajang, baru-baru ini.
Irma Syahadah yang menimba pengalaman sebagai terapi kecantikan sejak dua tahun lalu berkata, rawatan mengurut badan bagaikan satu ikutan semasa. Dengan kesibukan dan pelbagai tugasan harian, masyarakat sering mendapatkan rawatan mengurut bagi melegakan keletihan.
"Minyak aroma terapi dengan hayunan urutan tradisional membawa kepada ketenangan dan kelegaan pada otot dan urat. Urutan berkenaan lebih terasa selepas melakukan tangas di dalam kain yang disediakan dengan aroma panas rempah di dalamnya," katanya.
Beliau berkata, Iris Spa & Fitness Centre turut menyediakan ruang untuk menjalani latihan senaman menggunakan peralatan gimnasium. Ia dikendalikan seorang jurulatih bagi memantau jadual harian pelanggan yang menjalani latihan di samping meningkatkan stamina badan.
"Selain itu, ada juga bilik khas untuk mereka yang ingin mengikuti kelas aerobik serta tarian ballet. Kelas berkenaan diadakan tiga kali seminggu juga bertujuan membantu membuang kalori dan toksin dalam badan," katanya.
Namun, sebaik mana pun rawatan yang disediakan, susun atur dan ruang peribadi juga perlu dititikberatkan bagi keselesaan dan keyakinan pelanggan. Penggunaan langsir jarang, tab mandian serta ruang bertangas yang terlalu terbuka, malah terlalu dekat dengan pintu masuk boleh menyebabkan pelanggan rasa kurang selesa.
INFO: Iris Spa & Fitness Centre
Lokasi: G-2-1B, Jln Prima saujana 2/d, Taman Prima Saujana, Kajang.
Waktu operasi: Isnin hingga Sabtu (jam 10 pagi hingga 10 malam)